Thursday, November 28, 2013

Jimmy kahwin atau tidak?

JIMMY SHANLEY menjawab dengan tenang spekulasi tentang dirinya yang dikatakan sudah berkahwin lagi, kali ini dengan seorang janda.


PADA bulan Jun lalu, di sebuah akhbar tempatan ada tersiar gosip mengatakan pengacara dan penyampai radio kontroversi, Jimmy Shanley yang dikatakan sudah berkahwin dengan seorang janda beranak satu.
Ramai yang ingin tahu kesahihan perkahwinan duda kepada anak jutawan kosmetik, Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimy itu.
Ini kerana tiada pengakuan yang dibuat oleh Jimmy biarpun diasak dengan pertanyaan mengenai perkahwinannya itu.
Bagaimanapun, teka-teki mengenai status perkahwinan Jimmy bakal terjawab apabila dia mengakui akan mengadakan satu sidang akhbar tidak lama lagi.
Namun, Jimmy sudi untuk berkongsi serba sedikit mengenai wanita yang rela menerima dirinya seadanya itu kepada Kosmo! ketika dia ditemui pada majlis pelancaran stesen radio baharu Ultra FM di Hotel Concorde, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain bercerita mengenai hal peribadinya, bekas pengacara program Trek Selebriti itu juga meluahkan perasaan mengenai gandingannya bersama pelawak Mamat Sepah dalam segmen Ultra 610 untuk stesen radio terbaharu berkenaan.
Kosmo!: Sebelum ini ada yang mendakwa Jimmy sudah berkahwin semula dan ikut ceritanya, dengan seorang janda. Benarkah?
JIMMY: Cerita kahwin itu bukan datang dari mulut saya. Apa yang pasti, saya tidak akan sesekali berkahwin di Siam.
Jadi, apakah status Jimmy sekarang? Berkahwin atau masih duda?
Saya akan adakan satu sidang akhbar tidak lama lagi bagi memperkenalkan dia serta memberitahu segalanya. Buat masa ini, saya mahu selesaikan dulu kes mahkamah dengan bekas isteri.
Kes mahkamah apakah yang dimaksudkan Jimmy itu?
Pada 12 Disember ini, saya akan hadir ke mahkamah ekoran tuntutan bekas isteri yang mahukan hak penjagaan sepenuhnya ke atas anak kami, Zahrah Rania, 2. Sebelum ini, saya dapat kebenaran mahkamah untuk bersama anak selama tiga hari dua malam setiap minggu. Bagaimanapun, dia (bekas isteri) mahu hak penjagaan sepenuhnya.
Apakah perasaan Jimmy bila bekas isteri bertindak sedemikian?
Saya kecewa dengan apa yang berlaku. Sebelum ini lagi kata mahu bagi anak beraya dengan saya tetapi tidak bagi. Sekarang, mahu tuntut sepenuhnya pula hak penjagaan anak. Banyak sangat isu yang cuba dibangkitkannya tetapi saya tidak akan mengalah dan mahu mempertahankan hak penjagaan anak ke atas saya.
Adakah Jimmy sedih dengan apa yang terjadi?
Saya anggap apa yang berlaku ke atas kami adalah salah saya sendiri.
Apa yang boleh Jimmy perbaiki dengan kesilapan lalu itu dan praktikkan dalam perkahwinan selepas ini?
Saya akan lebih menghargai pasangan dan bersikap lebih sabar berbanding dahulu. Saya juga akan cuba memahami kehendak pasangan. Selepas ini, saya tiada masalah kalau dia ingin keluar bersama teman. Asalkan dia tidak melanggar batas-batas seorang isteri dan agamanya.
Boleh ceritakan mengenai wanita yang berjaya mencuri hati Jimmy itu?
Dia seorang yang bertudung dan sangat memahami saya. Dia juga sanggup terima perkara yang terjadi dalam hidup saya.
Beralih pada soalan lain, boleh kongsikan mengenai gandingan dengan Mamat dalam stesen radio baharu Ultra FM?
Saya tiada masalah kerja dengan orang tetapi mungkin orang lain yang akan ada masalah bekerja dengan saya. Sebabnya, saya seorang yang tegas dan berdedikasi dalam bekerja. Saya tidak boleh terima alasan orang yang ingin cuti lama.
Saya juga lebih suka berbual mengenai isu semasa berbanding hiburan. Esok (hari ini) adalah hari pertama kami bakal ke udara dalam segmen Ultra 610 bermula pukul 6 hingga 10 pagi di 101.3 FM.
Kalau boleh saya tidak mahu beri tekanan kepada Mamat. Bagi dia tempoh sebulan untuk mencari keserasian bersama saya. Saya tidak kisah dia merapu asalkan ada isi dan maklumat yang cuba disampaikannya.
Selain menjadi penyampai radio, bagaimana pula dengan bidang pengacaraan?
Saya masih mengacarakan program Fun Dance setiap hari Sabtu di TV2.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: