Monday, November 18, 2013

Keterujaan seni tempur campuran di Rusia


KEJOHANAN MMA kini mendapat sambutan hebat oleh ribuan peminatnya di Rusia.


DUA lelaki Rusia sedang bergelut dalam kurungan besi dan para penonton bersorak apabila salah seorang daripada mereka menumbuk lawannya dengan ganas. Aksi tersebut merupakan salah satu acara sukan yang pernah diharamkan di banyak negara suatu ketika dahulu.
Dalam ribuan penonton yang bersesak-sesak menyaksikan Kejohanan Seni Tempur Campuran (MMA) Moscow itu kedengaran jeritan, Ayuh, pukul... pukul kuat lagi'.
Sukan yang dikenali sebagai perlawanan tanpa peraturan di Rusia itu telah lama dilupakan. Ia bermula pada tahun 1920-an dan popular di peringkat antarabangsa pada tahun 1990-an. Bagaimanapun, di Rusia ia semakin digemari apabila peserta kategori heavyweight negara itu, Fedor Emelianenko muncul juara dalam beberapa siri kejohanan antarabangsa sedekad yang lalu.
Sejak itu, banyak kelab baharu muncul di Rusia dan ia tidak terhad untuk golongan lelaki sahaja malah golongan wanita dan kanak-kanak turut terbabit. Para peserta dilatih membabitkan teknik-teknik sepakan dan tendangan seperti yang dilihat dalam sukan judo, tinju, taekwando, karate dan kung fu.
Amat popular
Ivan Ivanov merupakan seorang pengarah Rod iaitu salah satu kelab utama di Moscow menjelaskan, MMA kini menjadi amat popular di Rusia dan hampir menyamai acara tinju lain yang telah lama wujud.
Ketika Rod dibuka pada tahun 2007, hanya terdapat beberapa dozen pelatih tetapi kini jumlah tersebut meningkat kepada 350 orang, kata Ivanov yang merupakan bekas pegawai polis.
"Anggota pasukan keselamatan antara yang teramai menyertai sukan ini. Para pelajar dan pekerja pejabat juga tidak ketinggalan turut serta," katanya. Di Rusia, kanak-kanak seawal usia enam tahun mulai terlibat dan berlatih sukan berkenaan.
Dalam sukan tersebut terdapat beberapa perkara yang dilarang seperti menggigit, mencucuk mata dan membuat serangan balas di bahagian tekak dan tulang belakang pihak lawan.

SEORANG jurulatih tekun melatih kanak-kanak dalam sukan MMA di Rusia.


"Sukan ini seumpama pertempuran jalanan," kata Vyacheslav Yurovskikh, peserta amatur MMA berusia 41 tahun dan merupakan pesaing tertua di kejohanan di Rusia.
"Cuaca di Rusia sangat sejuk, jadi kami bertempur untuk memanaskan badan," kata Yurovskikh dalam nada bergurau. Walaupun suatu ketika dulu hidungnya pernah cedera teruk tetapi dia menyifatkan sukan tersebut tidak begitu berbahaya.
"Di dalam gelanggang terdapat seorang pengadil yang akan memberhentikan perlawanan dengan serta-merta," katanya.
Peserta wanita
Peserta wanita dan juga juara tinju Thai, Anastasiya Yankova, 22, menyatakan dia terpaut dengan sukan ini sejak kali pertama mencuba MMA.
"Di dalam gelanggang, saya tidak mempunyai perasaan takut. Adrenalina saya memuncak untuk bertempur," katanya.
Namun begitu, penyertaan golongan wanita dilihat masih kurang di Rusia dan sebahagian peserta lelaki tidak menyukai pembabitan wanita.
Struktur MMA di Rusia juga turut dikaitkan dengan semangat nasionalisme dengan sebahagian kelab hanya melatih etnik Slavic dan mengenepikan masyarakat Islam dari wilayah Caucasus Utara.
Terdapat pertandingan amatur yang tidak membenarkan penyertaan penempur bukan daripada etnik Slavic dari kawasan selatan yang melahirkan ramai peserta hebat.
Salah satu penaja utama acara MMA adalah jenama pakaian terkenal, White Rex yang bertujuan untuk menyuntik semangat pertempuran dalam kalangan orang putih Eropah.
Dalam pada masa itu, MMA telah menarik perhatian Presiden Vladimir Putin yang aktif dalam sukan judo dan memiliki tali pinggang hitam. Bagaimanapun, penglibatan Putin tidak disenangi sesetengah pihak terutama musuh politiknya.
Antaranya, etnik Slavic yang tidak menyokong polisi Putin memberi dana kepada Caucasus Utara.
Putin juga pernah diejek ketika berucap pada majlis meraikan kejayaan Emelianenko menewaskan juara bertahan dari Amerika Syarikat, Jeff Monson di sebuah stadium negara itu.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: