|
PENGLIBATAN selebriti dalam bidang perniagaan bukanlah sesuatu yang asing. Lebih-lebih lagi jika perniagaan yang diusahakan bermula secara kecil-kecilan untuk mengisi masa senggang.
Ada antara mereka yang melibatkan diri dalam bidang perniagaan makanan dan tidak kurang juga beberapa artis popular yang hadir dengan butik dan pakaian rekaan sendiri.
Namuni, lain pula kisahnya dengan pelakon terkenal, Que Haidar. Aktor yang kini sedang berjinak-jinak dengan perkhidmatan pengaturcaraan majlis itu mengakui tidak dapat menghadiri Anugerah Skrin 2013 (ASK 2013) yang akan berlangsung pada hujung bulan ini kerana terikat dengan jadual perniagaan baharunya.
Ikuti temu bual dengannya ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen Alta Moda - Lord’s Taylor 2013 di pekarangan pusat beli-belah Suria Kuala Lumpur City Centre (KLCC) baru-baru ini.
Kosmo!: Benarkah Que tidak dapat menghadiri ASK 2013?
QUE: Ya, saya tidak dapat menghadiri ASK 2013 kerana tuntutan kerja. Saya sekarang sedang berjinak-jinak dalam bidang pengaturcaraan majlis dan kebetulan, tarikh ASK 2013 bertembung dengan acara yang bakal saya aturkan nanti.
Sejak bilakah Que menceburi bidang pengaturcaraan majlis?
Sebenarnya, ia berlaku secara tidak sengaja. Ketika merancang majlis cukur jambul anak saya tahun lalu dengan Linda, rakan-rakan ada bertanya adakah saya boleh merancang untuk majlis yang ingin mereka adakan. Seronok melakukan kerja-kerja merancang majlis, saya pun bersetuju.
Jadi sejak insiden itu, adakah khidmat Que dalam bidang atur cara majlis mendapat perhatian?
Tidak dinafikan, sejak majlis cukur jambul itu saya mendapat banyak permintaan untuk menguruskan majlis-majlis kecil seperti majlis hari jadi. Dalam hal ini, rakan-rakan yang banyak membantu dalam mempromosikan khidmat saya ini.
Selain daripada perkhidmatan pengaturcaraan majlis, apakah yang Que dan Linda tawarkan?
Saya turut melakukan kerja-kerja hiasan dalaman. Perkara ini juga terjadi secara tidak sengaja setelah saya selesai mengubah suai rumah saya baru-baru ini. Kawan-kawan yang datang ke rumah suka dengan cara saya dan Linda menghias rumah lalu meminta saya untuk berbuat perkara yang sama untuk rumah mereka. Jika ada kelapangan, Linda juga turut mengusahakan perniagaan menjual kek cawan secara kecil-kecilan.
Tiada perancangan untuk mengembangkan perniagaan dalam bidang ini?
Saya dan isteri melakukan kerja-kerja ini sebagai memenuhi masa lapang. Jika ada kelapangan saya akan buat, jika sibuk saya terpaksa tolak. Buat masa ini, tidak terfikir untuk memperluaskan perniagaan.
Apakah perkembangan terbaharu Que?
Saya akan memulakan pengambaran filem Rock 3 pada penghujung tahun ini tetapi saya masih menunggu skrip daripada pengarahnya, Mamat Khalid.
Selain itu, saya masih lagi mengajar kelas lakonan di Kolej Sunway dan Linda juga sibuk dengan studio tariannya. Bagaimanapun, banyak masa kami luangkan untuk anak-anak kerana mereka masih kecil dan memerlukan banyak perhatian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: