Friday, November 22, 2013

Aznil, Nabil cari keserasian

ACARA Anugerah Industri Muzik ke-20 dijangka meriah disuntik aura dan aksi Aznil dan Nabil selaku hos bersama.


DATUK Aznil Nawawi, 51, dan bidang pengacaraan sememangnya tidak boleh dipisahkan. Bernafasnya Aznil dalam bidang itu sama seperti semangat yang dikongsikan setelah berpuluh-puluh tahun bergelar pengacara.
Pelbagai rancangan televisyen dan majlis-majlis anugerah berprestij telah berjaya dikemudikannya dengan penuh sukses. Tiada satu pun dilabelkan oleh khalayak sebagai membosankan, jauh sekali gagal.
Ketika ditemui pada majlis sidang akhbar pengumuman nama pengacara bagi Anugerah Industi Muzik ke-20 (AIM20) di Hotel Istana baru-baru ini, Aznil mengakui, senggang masa tanpa sebarang aktiviti pengacaraan menyebabkan dia perlu mengecas semula 'bateri' sebelum kembali beraksi di atas pentas.
Lebih-lebih lagi apabila dia digandingkan dengan juara Raja Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad, tenaga yang bakal dikeluarkan perlulah sepadan dan selari pada malam anugerah itu.
"Saya akui sudah lama tidak mengendalikan apa-apa program sama ada secara rakaman mahupun langsung. Nabil pula sememangnya aktif membuat persembahan dan mengacara.
"Sebab itu 'bateri' saya yang agak lama tidak bernyawa perlu dihidupkan kembali supaya gabungan antara saya dan Nabil mampu memberikan impak yang baik serta bermutu," ujarnya.
Isu lagu ciplak
Personaliti yang mesra disapa dengan panggilan Pak Nil itu berkata, kehilangannya dalam dunia pengacaraan bukan bermakna telah sampai serunya untuk bersara daripada bidang tersebut.
Ternyata kehilangan bersifat sementara itu sebenarnya memberikannya ruang untuk Aznil melatih bakat-bakat baharu dalam bidang pengacaraan.
"Dulu, kita mempunyai personaliti yang tugas azalinya adalah mengacara. Azwan Ali dan Mahathir Lokman merupakan pengacara seangkatan dengan saya yang dikenali kerana bakat mereka sebagai pengacara.
"Namun, hari ini, bakat-bakat seperti itu seolah- olah tiada. Ramai antara pengacara sedia ada merupakan pelakon, penyanyi ataupun penyampai radio. Disebabkan itu saya terpanggil untuk melatih pengacara baharu yang tugasnya hanyalah mengacara," ujarnya yang mewujudkan rancangan realiti, On Air atas dasar yang serupa.
Aznil memberitahu, dia juga turut terbang ke kota London untuk mengadakan uji bakat mencari pengacara baharu yang terdiri daripada pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di sana.
Katanya, mereka dipilih bukan sahaja kerana bakat tetapi kerana pengetahuan yang diperoleh berbeza mengikut bidang yang mereka pelajari.
"Apabila pulang ke Malaysia, mereka akan diasuh mengenai dunia pengacaraan secara intensif selama enam bulan sebelum dilepaskan untuk mengacara," katanya lagi.
Dalam pada itu, Aznil turut bercerita tentang dirinya yang terbabit dengan isu ciplak lagu.
Beberapa bulan lalu, timbul isu mengenai lagu Profesor Klon nyanyian Aznil diciplak oleh produser dari Chile.
Instrumental yang diberi judul Lobster Tureen itu digunakan sebagai lagu runut bunyi untuk sebuah telenovela di sana, Pobre Rico.
Ditebak mengenai perkara itu, ujar Aznil, walaupun agak berang, dia turut melahirkan rasa 'bangga' jika pihak KRU selaku produser lagu tersebut berada di pihak yang benar.
"Siapa yang tidak bangga jika lagu anak tempatan mendapat tempat di arena antarabangsa?
"Jika benar mereka yang menciplak lagu tersebut, saya tetap berasa bangga kerana masih ada orang yang memandang bakat yang kita ada sehingga mahu meniru hasil kerja kita," ujarnya penuh optimis.
Peluang seumur hidup
Lain pula ceritanya dengan anak jati Negeri Sembilan, Ahmad Nabil Ahmad. Dia yang baru menjangkau usia 30 tahun pada bulan September lalu ternyata gugup apabila berbicara mengenai kolaborasinya bersama Aznil itu.
Ujar Nabil, peluang yang diberikan oleh pihak penganjur kepadanya ternyata besar dan tidak mungkin akan menolak tawaran tersebut.
"Aznil merupakan idola saya. Saya meminatinya sama seperti dia meminati Allahyarham Sudirman. Jadi, apabila diberi peluang seumpama ini, saya menjadi teruja dan tidak sabar untuk bergandingan dengannya.
"Jadi, untuk menyediakan diri sebagai pengacara AIM20, saya akan menonton kembali rakaman lama dan belajar mengenai cara pengacara terdahulu mengendalikan anugerah itu. Saya mahu menjadi pengacara yang berpengetahuan, bukan sekosong tin aluminium," ujarnya bersemangat.
Nabil turut memberitahu, banyak perbincangan perlu dilakukan dengan Aznil agar perjalanan majlis itu nanti akan bertambah sempurna.
"Dia sudah lama mengacara. Saya pula masih baharu. Jadi, perlu ada persediaan awal agar tiada percanggahan yang berlaku pada malam itu nanti," ujarnya.
Nabil turut berkongsi, telah menjadi impiannya sejak dahulu untuk mengacarakan majlis-majlis besar secara langsung.
"Memang saya ada memasang angan-angan untuk mengacarakan sebuah majlis yang berprestij tinggi. Mungkin AIM20 ini menjadi platform pertama saya untuk terus mengejar impian itu," ujarnya penuh yakin.
Kereta dipecah
Pada 18 November lalu, kecoh mengenai kejadian cermin kereta jenis Mitsubishi Lancer milik Nabil dipecahkan.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan yang dialami oleh Nabil mahupun isterinya.
"Ketika itu saya dan isteri baru sahaja habis menjamu selera di sebuah restoran makanan di Sungai Buloh. Sewaktu berjalan ke kereta, isteri saya terpijak kaca-kaca yang berselerak di tanah.
"Tidak mengesyaki apa-apa, saya hanya menyuruhnya supaya berhati-hati. Bagaimanapun, sewaktu ingin mengundurkan kereta, baru saya perasan tingkap belakang sebelah kiri telah dipecahkan," kata Nabil yang agak panik ketika kejadian itu berlaku.
Dia menjelaskan, kejadian itu sememangnya menakutkan kerana dia bimbang jika ia mungkin berkait dengan perasaan dengki atau dendam orang yang tidak dikenali.
"Namun, sebaik kami tiba di Balai Polis Damansara, isteri saya memberitahu, beg yang berisi pakaian gim kami telah hilang.
"Ia membuatkan saya sedikit lega kerana orang yang bertanggungjawab memecahkan kereta saya hanya berniat untuk mengambil beg itu, bukan untuk menakut-nakutkan kami," katanya lagi.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: