- Pertemuan yang diaturkan keluarga membawa pasangan ini ke jinjang pelamin.
Nurhayati Abd Hamid, 34, sah bergelar isteri kepada Abd Razak Abd Husin, 39, dengan sekali lafaz yang dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Mukim Kesang, Abd Rahman Abd Karim tepat jam 12.10 tengahari di Kampung Pajar, dekat Kesang di sini, semalam.
Perkahwinan pasangan istimewa yang berasal dari kampung berkenaan dan Kampung Serom 5 Hilir itu menarik perhatian ramai biarpun diraikan dalam majlis persandingan secara sederhana tetapi meriah dihadiri lebih 1,000 tetamu.
Nurhayati berkata, dia bersyukur bertemu jodoh dengan suami yang sangat memahami dan penyayang serta mengharapkan perkahwinan mereka berkekalan hingga ke akhir hayat.
Mengimbau kembali detik perkenalan tersebut, Nurhayati berkata, suaminya merupakan cinta pertamanya selepas pertemuan pertama berlaku di rumah kakak sulungnya di sini.
“Kami bertukar nombor telefon dan kemudiannya saling berhubung menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). Kelakarnya awal perkenalan abang (suami) tidak pernah telefon, hanya SMS sahaja.
“Pada mulanya abang berasa ragu dengan kesudian saya berkawan dengannya dan kemudian percaya dengan keikhlasan saya selepas berkali-kali meyakinkannya hubungan kami menjadi serius (bercinta),” katanya ketika ditemui Sinar Harian di majlis tersebut.
Katanya, walaupun mereka daripada golongan kerdil tetapi mempunyai perasaan sama seperti insan normal yang lain.
Sikap pelawak yang ada pada diri suaminya merupakan tarikan pertama membuatkan Nurhayati jatuh cinta.
“Selepas ini saya akan pindah tinggal bersama suami di Serom 5 kerana dia (suami) bekerja sendiri di sana.
“Memang sedih apabila terpaksa berpisah dengan kakak sulung yang menjaganya lebih 30 tahun lalu selepas ibu bapa meninggal dunia,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: