SOALAN: Apakah kepentingan mengasihi ahli keluarga Nabi SAW? Apakah batasan-batasan kasih sayang tersebut dan bagaimana untuk membezakan di antara mengasihi atau pelampauan yang dikeji?
JAWAPAN: Allah SWT berfirman: "Katakanlah wahai Muhammad, aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah melainkan kasih sayang dalam kekeluargaan." (Surah asy-Syura, ayat 23)
Telah diriwayatkan secara sahih daripada Sa'id bin Jubair RA, beliau berkata tentang tafsiran ayat ini: "Tidak terdapat di dalam perut orang Quraisy melainkan terdapat hubungan persaudaraan."
Sabda Nabi SAW: "Kecuali apabila kamu menjalinkan hubungan di antara aku dan kamu dengan hubungan persaudaraan itu." (Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sohih Bukhari (4/1289).
Maka, ini merupakan satu bentuk wasiat dan nasihat untuk menjalinkan hubungan dengan Nabi SAW seperti yang disuruh oleh Allah.
Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menyuruh kita mencintai ahli keluarga baginda. Malah, Baginda turut telah mewasiatkan kita tentang peranan terhadap mereka di dalam banyak hadisnya.
Oleh itu, kita mencintai Allah SWT dengan kecintaan yang tinggi dan dengan kecintaan ini, kita mencintai pula Rasul-Nya yang membawa rahmat buat seluruh alam. Maka, dengan kasih sayang kepada Rasulullah SAW, kita mencintai ahli keluarga Baginda yang mulia.
Sungguhpun demikian, pelampauan tidak termasuk dalam kecintaan. Ia semua bergantung kepada pegangan akidah individu. Selagi mana seseorang Muslim itu mempunyai akidah yang betul, dia tidak akan melampau dalam kecintaan kepada Rasulullah SAW dan ahli keluarga Baginda.
Kita berpegang dengan konsep tiada tuhan selain daripada Allah dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Para nabi AS semuanya terpelihara daripada dosa, manakala selain daripada mereka dalam kalangan keturunan yang terpelihara bersama para sahabat, mereka ini tidak maksum. Akan tetapi, mereka dipelihara Allah SWT, dengan penjagaanNya terhadap para solihin.
Selagi seseorang muslim itu betul akidahnya, maka dia akan meletakkan kecintaan terhadap ahli keluarga Baginda SAW dengan sepenuh hatinya.
Maka, ketika mana bertambahnya kasih sayang seseorang muslim itu terhadap ahli keluarga Rasulullah, akan meningkat aras kecintaan ini sehingga mencapai tahap para solihin.
Ini kerana mengasihi ahli keluarga Nabi SAW merupakan petanda kasih sayang kepada Nabi Muhammad SAW. Ini seterusnya menandakan kecintaan kepada Allah SWT.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: