Monday, November 25, 2013

Musim baharu pembalasan


BARISAN juri dan peserta yang menyertai program MasterChef All Stars.


SELEPAS empat siri rancangan realiti masakan, MasterChef bersiaran di saluran Astro Ria, musim terbaharu MasterChef Malaysia All Stars ditayangkan pada 23 November.
Bukan calang-calang siri kerana MasterChef Malaysia All Stars menghimpunkan barisan peserta daripada MasterChef Malaysia dan MasterChef Selebriti masing-masing daripada musim pertama dan kedua sebelum ini untuk berentap merebut gelaran juara All Stars.
Bagaimanapun, bekas juara MasterChef Malaysia musim pertama iaitu Dr. Ezani musim kedua, Izyan Hani dan MasterChef Selebriti musim pertama, Fazley Yaacob dan musim kedua, Syura, tidak turut serta.
Seramai 10 orang selebriti dan 10 bekas peserta kegemaran musim terdahulu sedia untuk berperang dengan hidangan pembalasan dalam MasterChef Malaysia All Stars.
“Peserta amatur dan selebriti daripada musim terdahulu akan diberikan peluang kedua dalam MasterChef Malaysia All Stars dan kami fikir sekarang waktu yang tepat untuk menerbitkan siri ini.
“Pastinya ramai yang teruja untuk menantikan pemenang setelah diberikan peluang kedua,” ujar Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad yang ditemui pada majlis pelancaran MasterChef Malaysia All Stars di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Seramai 20 orang peserta yang diundang ialah Karl Shafek, Soo Wincci, Raja Azmi, Kenchana Dewi, Celina Khor, Sharifah Shahora, Michael Ang, Syanie, Enot.
Selain itu, bekas peserta MasterChef Malaysia iaitu Brian, Imelda, Zamir, Che Lah, Ah Hong, Along, Azlina, Azni, Ary Malik dan Shahriah juga terbabit sama.
Masih mengekalkan konsep dan format sama seperti musim yang pernah diterbitkan sebelum ini, peserta MasterChef Malaysia All Stars akan berdepan dengan pelbagai cabaran untuk menyediakan hidangan setiap minggu, menerima penilaian juri dan bakal berdepan penyingkiran.
KENCHANA DEWI turut muncul dalam program MasterChef All Star.


“Menariknya untuk musim ini, kesemua 20 orang peserta bukan saja disatukan di dapur untuk mengejar misi yang sama tapi juga beramal apabila setiap peserta yang terlibat akan menyumbangkan wang kepada badan-badan amal yang diwakili,” tambahnya.
Membawa tema ‘Hidangan Pembalasan’, MasterChef Malaysia All Stars akan menggabungkan tiga juri daripada musim terdahulu iaitu Chef Johari Edrus (Papa Joe), Chef Zubir Md Zain dan Chef Adu Amran.
Menantikan pelbagai kejutan daripada peserta MasterChef All Stars kali ini, kata Cef Adu Amran dia bersama dua cef juri akan lebih teliti daripada segi persembahan dan kualiti hidangan.
“Kami harap mereka akan boleh memasak dengan lebih baik berbanding sebelum ini dan saya nampak memang ada antara peserta yang lebih mahir menyediakan hidangan.
“Oleh kerana itu, saya rasa tidak salah untuk kami barisan juri menjadi lebih tegas kerana peserta musim ini pun sudah pernah melalui pengalaman di Masterchef sebelum ini,” ujarnya.
Selain itu, sebanyak empat program akan ditayangkan selama seminggu iaitu Peti Saji Misteri & Ujian Cipta Rasa (Sabtu), Ujian Penyingkiran (Ahad), Cabaran Berkumpulan (Isnin) dan Ujian Penyingkiran (Selasa).
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan MasterChef Malaysia All Stars setiap hari Sabtu hingga Selasa, pukul 9 malam bermula 23 November lalu di saluran Astro 104 dan Maya HD saluran 135.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: