Friday, November 29, 2013

Cabaran makyung Sofea, Vanida


TULANG belakang tenaga lakonan pementasan teater Makyung Kesaktian Anak Raja Gondang (dari kiri), Sofia Jane, Rosnan Ahmad dan Vanida Imran.


TIADA galang gantinya, teater makyung sering didokong oleh penggiat teater tersohor, Rosnan Ahmad sejak tahun 2006 lagi. Kini Rosnan sekali lagi menggalas watak makyung untuk teater Makyung Kesaktian Anak Raja Gondang yang bakal mengambil tempat di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 2 Disember.
Tidak keseorangan, teater yang mendapat sentuhan pengarah Fatimah Abdullah itu turut menampilkan dua pelakon hebat iaitu Datin Sofia Jane dan Vanida Imran.
Umpama menjadi tarikan penonton ke panggung menyaksikan makyung, ungkap Sofia, barangkali ramai yang masih belum mengenali makyung, namun disebabkan ingin menyaksikan Vanida menyanyi di pentas teater misalnya, ia secara tidak langsung membuka ruang kepada seseorang penonton itu mengenali sejarah makyung.
Sofia juga mengakui naskhah yang ditulis untuk pentas teater lebih dekat dengan masyarakat berbanding yang ditulis untuk drama atau filem. Sebagai pelakon, dia juga harus berusaha mencari dan melakukan naskhah yang mencabar seperti makyung.
“Sebagai pelakon, saya harus berusaha mencari dan melakukan naskhah seperti ini. Sebab ia adalah naskhah yang sangat bagus. Makyung adalah warisan negara kita.
“Tanggungjawab saya dan Vanida adalah untuk menguar-uarkan dan menarik golongan yang tidak mengenali makyung untuk menyukai seni tersebut. Seterusnya menganggap ia satu seni kebanggaan buat masyarakat Malaysia.
“Mungkin orang yang tidak kenal makyung mahu tengok Vanida menyanyi dan kemudian akan terus tertarik dengan seni makyung,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas lanjut, tutur Sofia, dia sudah mengenali sejarah makyung melalui pembacaan buku-buku dan juga persembahan makyung yang ditonton bersama Vanida.
Berkongsi mengenai cabaran berlakon dalam teater tersebut, kata Sofia, dia perlu bercakap dalam dialek Kelantan.
“Walaupun suami saya berasal dari Kelantan, bukan mudah untuk saya belajar dan bercakap dalam dialek tersebut. Selama tiga minggu lebih saya berusaha untuk belajar dan memantapkan dialek serta tarian makyung,” jelasnya.
Sementara itu, bagi Vanida pula, cabaran yang harus dipikulnya bukan sedikit apabila dia perlu menyanyi dalam dialek Kelantan dalam teater tersebut.
Bagaimanapun, dia menyahut cabaran tersebut dan tidak terlalu bergantung kepada skrip kerana kata Vanida, makyung dimainkan dengan cara improvisasi.
“Selain perlu bercakap dalam dialek Kelantan, ucapan yang dilontarkan dalam makyung juga ada caranya. Saya juga kena menyanyi dalam dialek tersebut dengan penggunaan muzik gamelan dan gong.
“Memang skrip ada diberikan tetapi ketika pementasan saya perlu melontarkan dialog secara improvisasi,” luahnya yang teruja menjayakan pementasan itu.
Makyung Kesaktian Anak Raja Gondang mengisahkan pengembaraan Anak Raja Gondang yang akhirnya sampai ke Negeri Hampa Beranyut.
Sebelum memulakan pengembaraan, baginda berpesan kepada bondanya, Puteri Gak Petera mengenai petanda selasih yang ditanam di dalam pasu tiang seri istana.
Kata baginda, jika pohon selasih itu layu di sebelah kiri bermakna dia dalam kesusahan dan sekiranya segar, maka dia dalam kesenangan.
Selepas itu, bermulalah pengembaraan Anak Raja Gondang dan baginda telah bertemu dengan tujuh orang puteri ketika sedang bersiram di Kolam Banjaran.
Anak Raja Gondang, seterusnya telah jatuh hati dengan Puteri Bongsu yang sudah bertunang. Tiket bagi menyaksikan pementasan tersebut dijual pada harga RM253, RM103, RM73, RM53 dan RM33.
Pembelian tiket boleh dibuat menerusi laman web AirAsiaRedTic.com atau di kaunter BoxOffice, Istana Budaya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: