![]() |
PERNAH dipandang sepi, pelik atau mungkin kekampungan, teori individu terhadap pakaian berkonsep ikat celup (tie dye) jarang sekali seia, terutamanya di Malaysia. Teknik tersebut kurang memikat masyarakat di negara ini, barangkali kerana campuran warna terang dan pola corak tidak senada membuatkan kita kurang berani menyarungkan pakaian ikat celup.
Secara realistik, fesyen ikat celup merentasi jalur masa yang mengagumkan. Dipercayai mula tercipta seawal abad ke-6 di India, Jepun dan Afrika, fabrik ikat celup kemudiannya berkembang ke serata dunia termasuk di Amerika Syarikat (AS).
Metodologi tradisional teknik tersebut masih dapat dilihat di India menerusi corak bandhani, antara teknik ikat celup tertua di dunia.
Bandhani memaparkan seni ikat celup menggunakan benang halus dan celupan warna bagi membentuk corak berbintik kecil.
Jepun pula mempunyai shibori yang kini menyerupai teknik ikat celup moden. Berteraskan indigo iaitu pewarna biru yang diperoleh daripada tumbuhan indigofera yang kebiasaannya diguna untuk membuat nila bagi mewarnakan pakaian mereka, masyarakat Jepun mengadaptasi teknik itu pada fabrik yang diperbuat daripada sutera atau gentian hem.
Menjengah tahun 1960-an, ikat celup dibawa ke AS melalui gerakan hipi iaitu golongan yang hidup berlandaskan kebebasan berfikir dan mempunyai identiti pakaian tersendiri. Hipi mahukan eskapisme daripada norma sosial yang terlalu terkawal pada zaman itu. Pakaian ikat celup dipilih sebagai salah satu madah ekspresi terhadap prinsip kebebasan hidup mereka.
Pengenalan
Dunia menerima ikat celup sebagai cabang kesenian klasik yang sederhana. Harus diakui, pengaruhnya di negara ini kurang menyegat, jika adapun ia banyak dijadikan penghias utama selendang atau kain pario untuk kegunaan wanita.
Sabar menanti untuk mencapai kemuncak penerimaan orang tempatan, fesyen ikat celup kini mula mendapat perhatian sewajarnya daripada masyarakat di sini. Gerakan label tempatan di bawah nama 27 Legacy Tie & Dye (27 Legacy) membuka ruang bagi gaya retrospektif itu untuk melebarkan pengaruhnya kepada kelompok remaja.
![]()
PENGLIBATAN 27 Legacy pada festival pakaian lokal seperti Tempatan Fest baru-baru ini memberikan mereka pendedahan yang baik.
|
Buah fikiran Faiz Hakim Hassan, 24, salah seorang penggerak 27 Legacy akhirnya memacu jenama itu ke tahapnya sekarang. Hasil bimbingan bapanya, Hassan Ismail, lima ahli 27 Legacy secara suka-suka mencipta pakaian ikat celup untuk kegunaan sendiri. Kepintaran mereka meneroka reka bentuk ikat celup yang segar melahirkan minat awam.
“Tiba-tiba ada orang tempah 30 helai baju yang pada asalnya dibuat untuk dipakai sendiri. Bermula saat itu, permintaan semakin banyak dan kami sepakat membuka gerai di Bazar Larut Malam Cheras, Kuala Lumpur,” kata Rashdan Nasaruddin, 24, membuka cerita ketika ditemui Stailo.
Langkah awal graduan-graduan jurusan Teknologi Maklumat Perniagaan dan Sains Komputer Kolej Poly-Tech Mara, Kuala Lumpur itu bermula secara rasmi pada bulan Januari lalu.
Secara serentak, 27 Legacy memperkenalkan bisnes pakaian ikat celup dalam talian. Sambutan menggalakkan jualan dalam talian mendorong mereka fokus kepada medium pemasaran itu dan menutup gerai di Cheras.
Rekaan sulung berupa baju-T di bawah nama flower power dengan cantuman lebih 10 warna menjadi dasar pengenalan 27 Legacy.
Kreativiti mereka mengeluarkan helaian berciri ikat celup pada singlet dan baju kurung memberi isyarat bahawa fesyen tersebut mampu menembusi pasaran yang lebih luas.
Jalur Gemilang
Apabila rekaan baju-T ikat celup yang dicorak menyerupai Jalur Gemilang dikeluarkan, 27 Legacy berjaya menjangkau lingkungan peminat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan usia. Penerapan nilai patriotik itu membangkitkan sentimen cintakan negara dalam diri belia menerusi madah yang moden.
“Kami hasilkan rekaan itu khusus untuk menyemai patriotisme dalam kalangan orang muda. Kalau kita tengok baju-baju atau fesyen sedia ada yang cuba mempromosikan semangat kenegaraan tidak lagi relevan dengan peredaran zaman.
“Remaja mahukan sesuatu yang segar, menarik dan sesuai dengan usia mereka. Jadi kami gunakan teknik ikat celup berpandukan warna teras Jalur Gemilang. Bulan dan bintang berbucu 14 ditambah pada rekaan tersebut sekali gus memberi imej Malaysia yang bertenaga,” jelas seorang lagi ahli 27 Legacy, Mohammed Hafiiz Mohammed Yusoff.
Dikeluarkan sempena sambutan bulan kemerdekaan negara pada Ogos dan Hari Malaysia pada September lalu, Koleksi Jalur Gemilang 27 Legacy menerima permintaan di luar jangkaan. Sempurna dipakai ketika menonton perlawanan bola sepak yang melibatkan pasukan negara, rekaan itu masih dibuka untuk tempahan hingga 31 Disember depan.

SELAIN rekaan yang menarik, kualiti terbaik material yang digunakan pada baju 27 Legacy menambah keyakinan pelanggan terhadap jenama tersebut.
Penghasilan
Material yang digunakan 27 Legacy juga dipilih bersesuaian dengan reka corak dan cuaca di tanah air. Fabrik kapas menjadi pilihan mereka disebabkan ketahanannya terhadap kelunturan warna.
Sekiranya anda penggemar gaya polos, baju-T satu rona dengan percikan warna ikat celup pada bahagian poket akan menepati cita rasa anda. Rekaan poket origami itu boleh dipadankan mengikut kecenderungan warna peribadi sama ada putih, hitam, merah atau kelabu.
Bercerita mengenai pembuatan pakaian mereka, kata Hafiiz, 24, setiap 100 helai baju yang diproses memakan masa tiga atau empat hari untuk siap sepenuhnya. Setiap rekaan dilakar terlebih dulu sebelum dijelmakan secara realiti.
Rekaan baharu akan dihasilkan sebanyak satu unit sahaja bagi memastikan ia benar-benar tercipta mengikut jangkaan asal dan berpotensi untuk dipasarkan.
Cuaca menjadi peranan utama kepada keseluruhan proses. Selepas kesemua baju dicelup warna mengikut paten tersendiri, ia perlu dijemur di bawah matahari. Bantuan sinar suria amat penting bagi menghasilkan efek terbakar dan pengembangan warna secara semula jadi.
Sekiranya hujan, proses penghasilan tetap dijalankan tetapi hasilnya kurang memuaskan berbanding pakaian yang dijemur di bawah terik mentari.
Langkah 27 Legacy dalam menyemarakkan fesyen jalanan tempatan dilihat kian cemerlang. Perancangan membuka sebuah studio, konsep butik dalam rumah diatur rapi dan dijangka bakal direalisasikan menjelang hujung tahun ini.
Setakat ini, selain pembelian dalam talian, item keluaran 27 Legacy juga boleh didapati di butik jenama tempatan seperti The Stone Street Store, Kuantan, Pahang; Rare Distro, Bangi; Bragamen, Uptown Puchong; Uptown Damansara, Selangor dan Brandesign Bazaar, Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: