Wednesday, November 6, 2013

Iktiraf bakat pelukis muda

HANED (belakang enam dari kanan) bergambar bersama para pemenang Cabaran Seni Pelancongan.


POTRET pengarah dan penerbit filem terkenal, Allahyarham Yasmin Ahmad menjadi subjek utama dalam lukisan karya pelukis muda, Nazmi Ismail, 25 yang bertajuk Beautiful Mind.
Pemilihan itu berikutan filem-filem yang diarahkan oleh Yasmin mengangkat nilai-nilai perpaduan masyarakat Malaysia yang hidup harmoni di bawah satu pemuafakatan.
“Semasa hayatnya, kebanyakan filem yang dihasilkan berteraskan konsep kesepaduan masyarakat berbilang kaum. Ia bertepatan dengan tema yang cuba saya sampaikan,” ujarnya ketika ditemui usai penyampaian hadiah cabaran Seni Pelancongan (1MCAT) di Auditorium Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Karya Nazmi diangkat sebagai penerima tempat ketiga kategori terbuka bersama tiga pelukis muda yang lain dalam pertandingan yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu.
Seorang lagi pemenang tempat ketiga kategori terbuka, Muhammad Syahrin Mohd. Nazri, 25, telah menghasilkan lukisan bertajuk The Passion Is Under Construction yang dilukis di atas medium kepingan aluminium.
“Lukisan ini menonjolkan idea futuristik berdasarkan penggunaan bahan-bahan yang berada dalam kehidupan seharian. Saya mengibaratkan ia sebagai pengantaraan hidup kita yang sentiasa diselubungi kerja,” ujarnya.
Pertandingan yang memasuki edisi ketiga itu mengangkat karya-karya yang dihasilkan oleh pelukis-pelukis muda dalam dua kategori iaitu pelajar institusi pengajian tinggi tempatan dan terbuka.
Kurang aspek teknikal
Kriteria pemenang dinilai menerusi keaslian hasil, mesej positif, penekanan unsur kontemporari, penggunaan material dan persembahan keseluruhan.
“Ramai bakat muda di negara kita mempunyai kemampuan lukisan yang baik tetapi mereka masih kurang dalam beberapa aspek teknikal.
“Terdapat beberapa lukisan yang tidak bersesuaian dengan tema pertandingan ini, menyebabkan kami sepakat untuk tidak meletakkan lukisan di tempat pertama untuk kedua-dua kategori,” ujar salah seorang juri, Bibi Chew.
Ketua Pengarah Balai Seni Visual Negara, Haned Masjak berkata, pertandingan tersebut dapat dijadikan platform untuk mengiktiraf bakat pelukis-pelukis dan penggiat seni tempatan.
“Melalui pertandingan ini, ia akan menarik lebih ramai golongan muda menceburi bidang seni lukis, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai lokasi utama seni,” ujarnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: