Wednesday, November 6, 2013

Kheng Leng juara cabaran Energizer


CHENG (empat dari kanan) bergambar dengan pemenang-pemenang pertandingan akhir Energizer Power Seal Mission 500K di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.


‘TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’. Itulah pepatah yang paling sesuai untuk menceritakan betapa bertuahnya seorang pegawai pemasaran apabila dia membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM15,000 baru-baru ini.
Ang Kheng Leng, 31, yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang diumumkan sebagai pemenang selepas mengalahkan 12 peserta lain pada pertandingan akhir Energizer Power Seal Mission 500K yang diadakan di Berjaya Time Square, Kuala Lumpur.
Kheng Leng yang merupakan penyandang juara pada pertandingan sama tahun lalu menerima hadiah yang disampaikan oleh Pengurus Kanan Jenama Energizer Malaysia, Dunstan Cheng.
Mengulas mengenai kemenangan itu, Kheng Leng berkata, dia berasa cukup bertuah dan tidak menyangka akan muncul sebagai juara sekali lagi selepas kejayaan membawa hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 pada pertandingan lalu.
“Saya merancang menggunakan wang kemenangan untuk melancong bersama keluarga di samping membelikan hadiah istimewa kepada mereka.
“Tanpa sokongan mereka saya mungkin tidak sampai ke tahap ini,” katanya.
Tambah Khee Leng, pertandingan akhir pada tahun ini lebih sengit dan menguji kekuatan mental serta fizikal setiap peserta yang perlu melepasi 10 halangan dan permainan.
“Paling mencabar ialah permainan Power Obstacle yang memaksa peserta membawa replika bateri Energizer Max sambil melepaskan diri daripada halangan bertali yang direntang di hadapan mereka.
“Saya terpaksa melepasi setiap tali dengan berhati-hati kerana sebarang kesilapan menyebabkan peserta terpaksa mengulanginya dari awal sekali gus terdedah kepada risiko penyingkiran,” katanya.
Pertandingan itu berlangsung selama 10 minggu pada 15 Julai hingga 20 September lalu yang menawarkan hadiah bernilai sehingga RM500,000.
Orang ramai boleh menyertai pertandingan itu dengan menghantar penyertaan berserta bukti pembelian produk Energizer atau bermain permainan video di laman sosial Facebook Energizer.
Pada pertandingan akhir itu, seramai 13 peserta dari Malaysia dan Singapura terpilih untuk melepasi 10 halangan yang ditetapkan dalam 10 pusingan penyingkiran.
Peserta yang tersingkir pada setiap pusingan berpeluang memenangi hadiah antara RM1,500 hingga RM7,000 setiap seorang.
Peserta terakhir berpeluang merebut salah satu daripada puluhan sampul mengandungi nilai hadiah wang kemenangan yang diletakkan dalam sebuah bilik khas.
Sementara itu, Dunstan berkata, penganjuran pertandingan yang memasuki edisi kedua itu menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 4,000 penyertaan daripada orang ramai termasuk dari Singapura.
Ujarnya, ia juga sebagai tanda penghargaan jenama itu kepada pelanggan-pelanggan setianya selama ini.
“Antara halangan yang ditetapkan ialah Power Seal, Light up Power, Power Pyramid dan Power Up Big Ben.
“Biarpun tampak mudah dan menghiburkan, namun ia tetap mencabar mental dan fizikal di samping menguji pengetahuan peserta tentang bateri Energizer.
“Pada masa yang sama, kami juga mahu mempromosikan bateri terbaharu Energizer Operation Power Seal dengan teknologi power seal yang bebas merkuri selain mampu bertahan sehingga 10 tahun,” jelasnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: