Wednesday, November 6, 2013

Projek air ancam penduduk China


KERJA-KERJA pembinaan kini giat dilaksanakan oleh pemaju biarpun menerima bantahan penduduk setempat.


CHINA bakal mencipta sejarah tersendiri apabila merancang untuk melencongkan arah air dari bahagian selatan ke utara yang padat dengan penduduk.
Projek mega yang dijangka memakan hampir setengah abad itu menelan belanja berbilion-bilion dollar.
Bagaimanapun ketika ujian awal dilaksanakan tahun ini, penduduk kampung yang menetap di sepanjang laluan itu mendakwa, aliran air mencemar kawasan tasik sehingga menyebabkan banyak ikan mati. Ini sekali gus menjejaskan punca pendapatan mereka.
Pihak berkuasa di wilayah timur Shandong, bagaimanapun menolak dakwaan itu, namun kejadian itu menimbulkan kebimbangan sama ada Rancangan Melencongkan Air dari Selatan ke Utara itu memberi kesan yang lebih buruk pada masa hadapan.
Projek pembinaan kompleks geo kejuruteraan itu telah bermula pada 2002 dan mengambil masa 50 tahun serta melibatkan kos sehingga 500 bilion yuan (RM260 bilion).
Ia meliputi pembinaan saluran termasuk meletupkan gunung-ganang di zon gempa bumi di dataran tinggi Tibet.
Sekiranya berfungsi, ia akan membentuk tiga saluran berasingan yang berpunca dari Sungai Yangtze dan menghasilkan kira-kira 45 bilion meter kubik air setahun. Projek itu meliputi terowong dan terusan sepanjang 4,350 kilometer ke Beijing dan bahagian utara yang lain.
Menurut laporan Bank Dunia, dengan hanya satu perlima daripada jumlah bekalan dalam negara, utara China menyokong hampir separuh daripada populasi penduduk dan ekonomi serta dua pertiga daripada tanah pertanian.
China mempunyai sejarah panjang dalam pelaksanaan projek mega berkaitan air menerusi Terusan Utama yang memanjang dari Shanghai sehingga Beijing.
Projek yang bermula sekitar 2,500 tahun lalu terus berkembang dalam tempoh beberapa dekad ini.
Menurut laman web rasmi projek berkenaan, usaha untuk mengembangkan rangkaian air dari Selatan ke Utara itu merupakan cetusan bekas pengasas republik itu, Mao Zedong.
AIR dari Sungai Yangtze akan disalurkan menerusi terusan dan terowong sepanjang 4,350 kilometer ke utara.


Beliau yang dikenali mempunyai cita-cita besar memulakan idea itu pada 1952: "Bahagian selatan mempunyai bekalan air yang banyak, di utara pula sedikit. Sekiranya air dapat disalurkan ke sana pasti dapat menyelesaikan banyak masalah pada masa hadapan."
Bagaimanapun, ia terdedah kepada pelbagai masalah. Pencemaran akan menyebabkan air sungai tidak boleh digunakan, saluran panjang menerusi kawasan berbukit memerlukan kuasa yang besar untuk mengepamnya dan ia akan menyebabkan penduduk di kawasan yang terlibat terpaksa dipindahkan.
Kesan kehidupan
Jika projek itu berjaya sekalipun, permintaan terhadap bekalan air masih tidak mencukupi berikutan jumlah penduduk di negara yang semakin meningkat saban tahun.
Ancaman pencemaran utama terletak di laluan timur yang dipilih untuk menyalurkan air dari wilayah Jiangsu ke Shandong dan bahagian utara menjelang akhir tahun ini.
Dibina di atas saluran air sedia ada di kawasan pesisir yang rancak membangun di China, ia akan meningkatkan risiko pencemaran sejak awal sehingga akhir pembangunan projek itu.
"Tumpuan utama pada fasa pertama projek ini adalah untuk menguatkan penyeliaan terhadap pencemaran," kata laman web rasmi itu lagi.
Bagaimanapun di Gupang, penduduk mendakwa air yang disalirkan ke Tasik Dongping ketika ujian awal yang dilakukan selama sebulan menyebabkan banyak ikan mati.
Seorang bekas penternak ikan, Pang, 72 berkata: "Tasik ini pada asalnya dipenuhi ikan dan kini ia semakin berkurangan. Banyak ikan yang mati akibat pencemaran."
Kini, kebanyakan penduduk di sekitarnya terpaksa mencari sumber pendapatan lain. Sebahagian jaring yang dipasang nelayan serta bot-bot nelayan terbiar begitu sahaja.
Penduduk mendakwa kehilangan pendapatan tahunan sehingga RM26,000 apabila anak-anak ikan yang dilepaskan mati ketika ujian yang dilakukan pada Jun lalu. Disebabkan tidak mampu menanggung kerugian, ramai anak muda berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan untuk menampung kehidupan mereka.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: