![]()
SETIAP penerima manfaat Kempen Menginspirasikan Hari Esok memperoleh polisi insurans bernilai RM30,000.
|
KEMPEN Menginspirasikan Hari Esok oleh syarikat tenusu terkenal, Dutch Lady Milk Industries Berhad yang dijayakan selama 10 bulan berjaya mengukir senyuman pada wajah 50 kanak-kanak Malaysia yang bertuah.
Ini kerana kesemua mereka menerima polisi insurans berjumlah RM1.5 juta untuk tujuan membantu mereka mengecapi impian dan inspirasi masing-masing pada masa depan.
Setiap kanak-kanak itu memperoleh polisi insurans bernilai RM30,000 yang akan matang ketika mereka berusia 18 tahun.
Kempen tersebut dijayakan bersama UniAsia Life Assurance Berhad. Pihak penaja yakin polisi tersebut akan menjadi satu bentuk pelaburan yang baik untuk masa depan kanak-kanak yang terlibat.
Kempen itu dilancarkan sebagai sebahagian daripada sambutan meraikan ulang tahun Dutch Lady Malaysia yang ke-50 tahun. Ia seiring dengan matlamat syarikat tersebut untuk membantu rakyat Malaysia maju ke depan dalam kehidupan dengan pengambilan nutrisi tenusu yang boleh dipercayai.
Selain itu, kempen Menginspirasikan Hari Esok dilahirkan bagi memulakan langkah pertama dalam mewujudkan program yang mampu memberi kesan meluas terhadap kanak-kanak. Seramai 50 kanak-kanak terpilih untuk menerima dana pelajaran dalam bidang kepakaran yang ingin diceburi mereka.
Mereka dipilih berdasarkan tiga kategori iaitu 10 daripadanya dipilih melalui kerjasama dengan Kementerian Pelajaran, 10 orang daripada rumah kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Malaysia dan 30 yang lain dipilih menerusi pertandingan rakaman video umum.
Manfaat
Pengurus Pemasaran Dutch Lady Malaysia, Ramjeet Kaur Virik berkata, kempen tersebut merupakan satu lagi hasil kejayaan kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam memberi manfaat kepada masyarakat.
![]()
MOHAMAD ISLAH HAKIM ISMAIL (kanan) menghiburkan orang ramai dengan persembahan angklung yang mempesonakan.
|
“Maklum balas terhadap kempen ini sungguh mengujakan sekali gus menunjukkan ibu bapa di Malaysia amat menitikberatkan pelaburan untuk pelajaran anak mereka pada masa depan.
“Kami akan terus memainkan peranan untuk menjadi inspirasi dan menyemarakkan semangat generasi muda negara ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Kira-kira 800 penyertaan diterima, 156 daripadanya dari sekolah di Kelantan dan Terengganu. Setiap sekolah hanya dibenarkan untuk menghantar satu penyertaan dan nama murid bagi penyertaan tersebut dicadangkan oleh guru besar sekolah berkenaan.
Penyertaan daripada orang awam pula memerlukan ibu bapa menghantar rakaman video tentang bagaimana mereka memberi inspirasi kepada anak-anak dalam mencari potensi sebenar.
Sebanyak 625 rakaman video diterima penganjur dan daripada jumlah tersebut sebanyak 30 penerima bertuah telah dipilih oleh juri daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pelajaran dan wakil penganjur. Selain itu, juri lain yang terlibat ialah pakar psikologi, Prof. Madya Dr. Mariani Mohd. Nor, penyanyi terkenal, Ziana Zain dan Faizal Tahir.
Sokongan orang ramai membuatkan pihak penganjur berhasrat untuk memanjangkan tempoh kempen dengan mengadakan bengkel Menginspirasikan Hari Esok kepada 50 kanak-kanak tersebut sehingga bulan depan.
Bengkel kepimpinan dan nutrisi bakal dilaksanakan secara bersiri. Tumpuan yang lebih diberikan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia.
Ia merupakan usaha untuk memberi peluang kepada lebih ramai orang dalam menyebarkan harapan yang memupuk hubungan erat antara ibu bapa dan anak mereka.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: