Siti Nadimah mengajar kelas solekan anjuran Empower di Kampung Batu Melintang, Jeli.
Siti Nadimah Ab Rahman, 33 berkata, sebelum ini, dia hanya menoreh getah dengan pendapatan sekitar RM500 sebulan dan nasibnya mula berubah selepas mengikuti kursus solekan di bawah program Empower.
Katanya, berbekalkan kemahiran dipelajarinya daripada kursus percuma selama enam bulan dan sokongan berterusan Empower, dia kini mampu meraih pendapatan lebih RM3,000 sebulan.
“Mulai awal tahun ini, saya dilantik mentor program Empower untuk bidang solekan dan diberi tanggungjawab mengajar dua kelas solekan sebulan di sekitar daerah Jeli dengan bayaran RM800.
“Saya juga bekerjasama dengan kedai pengantin untuk solekan pengantin selain aktif mengajar kelas solekan berbayar bagi penduduk luar daerah Jeli,” katanya, semalam.
Siti Nadimah berkata, selain menambah pendapatan, khidmat mengajar ditawarkan itu sebagai memenuhi impiannya untuk berkongsi ilmu dengan orang lain terutama wanita di pedalaman.
“Kita tahu wanita yang duduk di kampung pedalaman susah nak tinggalkan suami dan anak untuk pergi kursus, jadi saya bergerak ‘bawa’ kelas solekan ini ke kampung mereka.
“Saya juga nak buktikan modal untuk berniaga memang penting tetapi apa yang lebih penting adalah ilmu. Walaupun tidak ada kedai, kita masih boleh buat duit jika ada ilmu,” katanya.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, antara kenangan manis sebagai usahawan Empower ialah apabila dipilih penerima Anugerah Usahawan Harapan sempena sambutan Ulang Tahun Kelima ECER, Ogos lalu.
“Saya berterima kasih kepada Empower kerana banyak memberikan bantuan dan sokongan dalam apa jua usaha untuk saya berkembang lebih jauh dalam bidang solekan.
“Malah, sejak tamat kursus pada 2011, Empower sudah libatkan saya dalam ekspo dan pameran besar termasuk di pusat pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Kelantan (UMK),” katanya.
Tambah Siti Nadimah, dengan sokongan berterusan Empower, dia yakin akan dapat mencapai impiannya untuk memiliki premis tetap bagi menjalankan perniagaannya dalam bidang solekan suatu hari kelak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: