• Tiga hero kecil harum nama negeri

BACHOK - Didedahkan dengan komputer seawal usia dua tahun membuatkan seorang pelajar tahun enam dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kandis cenderung meminati bidang tersebut dan menanam cita- cita sebagai ‘programmer’ kelak.

Justeru, tidak hairanlah Muhammad Safwan Mohd Rahim, 12, bersama dua rakannya diberi kepercayaan untuk membawa nama Kelantan sebagai juara pertandingan robotik peringkat antarabangsa di Hang Tuah World Heritage, Melaka pada 22 hingga 24 September lalu.

Safwan bersama sepupunya, Muhamad Muaz Mohd Lazim dan seorang lagi rakan, Muhammad Haziq Nordin, masing-masing mempunyai peranan tersendiri untuk pertandingan tersebut.

“Saya biasanya bahagian programmer, Muaz bahagian teknikal dan Haziq bahagian reka bentuk. Kami bergabung idea untuk menjayakan tugasan bagi pertandingan yang diadakan,” katanya.

Katanya, persiapan awal dilakukan sejak April lalu meliputi pelbagai aspek untuk memantapkan kemahiran mereka.

Bapa Safwan, Mohd Rahim Ali berkata, dia mengesan bakat anaknya itu yang berminat dengan komputer sejak kecil.

“Umur dua tahun dia dah bermain dengan komputer. Ketika itu saya sambung belajar peringkat sarjana di Universiti Malaya.

“Umur enam tahun dia dah boleh kuasai 'microsoft office' yang mudah. Bila ada pertandingan ini yang dianjurkan pihak Sasbadi, dia setuju  untuk sertainya. Saya bantu dan galakkan dia untuk lahirkan lebih ramai anak Kelantan yang berkebolehan dalam bidang ni,” katanya yang menjadi jurulatih tidak rasmi bagi pasukan tersebut.

Mohd Rahim berkata, dia bertuah kerana mendapat sokongan penuh daripada pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bachok dalam membantu pelajar sepanjang tempoh pertandingan itu.

Selain itu, pasukan SK Kandis itu juga membawa nama Malaysia ke Jakarta di peringkat antarabangsa dalam World Robotic Olimpiad (WPO) pada 15- 17 November lalu bagi kategori ‘batik’.

“Bagi pertandingan peringkat negeri dan kebangsaan, mereka dibimbing guru Khairul Azman Awang Ahmad dan saya sendiri bantu sedikit sebanyak.

“Tetapi bagi ke peringkat antarabangsa, mereka dibimbing oleh jurulatih khas dari Sasbadi untuk kuasai beberapa teknik tertentu sebagai persediaan pertandingan,” katanya.

Manakala Pegawai Pendidikan Bachok, Saupi Majid menyifatkan tiga pelajar itu yang mengharumkan nama Bachok dan Kelantan sebagai hero.

“Tahniah kepada pelajar ‘genius’ dari Kandis ini. Ini membuktikan kita orang kampung juga mempunyai kebolehan untuk berjaya dalam pelbagai bidang bukan sahaja orang bandar.

“Untuk itu, PPD Bachok ingin memberikan sagu hati kepada pelajar ini iaitu segala pakaian seragam untuk persekolahan sesi 2014 akan ditanggung sepenuhnya oleh PPD Bachok,” katanya.