• Demi isteri tercintaMohd Adnan memerlukan bantuan kewangan bagi mengubati isterinya yang menghidap barah usus tahap tiga.

KUALA TERENGGANU - “Saya terpaksa buang rasa malu semata-mata nak lihat isteri saya kembali pulih dan menjalani hidup seperti sedia kala,” demikian luahan Mohd Adnan Abd Hamid.

Pemuda yang berusia 29 tahun dan berasal dari Keruak, Besut itu berkata, dia sudah kehabisan ikhtiar dan mengharapkan belas ihsan daripada orang ramai untuk membantu meringankan bebannya merawat isteri tercinta, Suhaiza Che Pa, 32, yang menghidap barah usus tahap tiga.

Mohd Adnan berkata, dia yang hanya bekerja kampung, tidak mampu untuk menampung perbelanjaan rawatan isterinya kerana berpendapatan kurang RM1,000 sebulan.

“Isteri saya sakit sebelum kami berkahwin lagi. Walaupun tahu dia menghidap barah, saya tetap berkahwin dengannya kerana cinta dan niat untuk membantunya. Sementelah dengan sakitnya ini, dia tidak mampu untuk bekerja.

“Tapi dengan kos sara hidup yang tinggi dan adanya dua anak yang masih bersekolah rendah, saya tidak mampu untuk membiayai rawatannya," katanya.

Menurut Mohd Adnan,  bapa mentuanya juga banyak membantu meringankan bebannya walaupun mereka bukan orang senang.

"Saya sangat mengharapkan ada insan mulia yang boleh membantu menampung kos rawatan isteri," katanya di pejabat Sinar Harian, semalam.

Sebagai ikhtiar, dia kini dalam proses untuk memohon bantuan daripada Tabung Darul Iman setelah dinasihati rakan.
Sementara itu, Suhaiza berkata, dia hanya menyedari menghidap barah pada 2010 setelah mengalami sakit perut berterusan sehingga menyebabkan dia terpaksa berhenti kerja.

“Pada mulanya doktor menyatakan saya hanya mengalami sakit perut biasa. Namun setelah berulang kali ke klinik dan hospital, doktor mengesahkan saya menghidap barah usus. Sekarang ini sudah berada di tahap ketiga.

“Saya sudah tiga kali menjalani pembedahan dan kini perlu membuat rawatan kemoterapi. Sekarang, saya sudah tidak mampu melakukan kerja berat, namun mujurlah suami dan keluarga banyak membantu kerana memahami keadaan saya,” katanya.