Antara pasangan pengantin yang dirai pada majlis di Stadium MPPG, semalam.
Yang Dipertua MPPG, On Jabbar berkata, majlis itu diwujudkan kembali selepas kali terakhir diadakan pada 2008.
“Objektif program ialah membantu pasangan pengantin dirai beramai-ramai dengan mengekalkan adat dan budaya.
“Ia juga dapat menerapkan budaya jimat cermat dalam perbelanjaan selain merapatkan ukhuwah dan silaturahim,” katanya selepas majlis yang turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Jelasnya, program itu akan diadakan setiap tahun dan bakal membuka peluang kepada pasangan kurang mampu menyertainya secara percuma.
“Buat masa ini, pasangan yang ingin sertai dikenakan bayaran RM500. Kita setuju dengan idea MB, ia perlu ditawarkan secara percuma kepada pasangan kurang mampu,” katanya.
Majlis dimulakan dengan akad nikah jam 8.30 pagi di Masjid An Nur, sebelum pasangan diarak ke Stadium MPPG.
Majlis adalah program anjuran MPPG dan Jabatan Agama Johor, Johor Corporation dan Hospital Penawar.
Pasangan ditemui, Mohd Mirza Abd Rani dan isteri, Nur Suria Mohd Said masing-masing bersyukur perkenalan empat tahun lalu ketika menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Mersing, diakhiri ke jinjang pelamin.
“Kami berkenalan di tingkatan empat, kebetulan sekelas dan berhasrat disatukan akhir tahun ini. Kakak isteri memberi idea menyertai program ini, malah ia bertepatan dengan kehendak kami yang mahu majlis sederhana,” kata Mohd Mirza.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: