Sebahagian daripada awak-awak yang ditahan selepas didapati tidak memiliki sebarang dokumen sah.
Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Abdul Khalil Abdul Karim berkata, dalam tangkapan kira-kira jam 1.30 petang itu, bot pukat tunda milik nelayan warga Vietnam ditahan selepas didapati sedang berlegar-legar di sempadan pelantar minyak tersebut dalam keadaan mencurigakan.
“Dari segi keadaan fizikal, bot berkenaan lengkap mematuhi undang-undang ditetapkan, tetapi setelah dibuat pemeriksaan selanjutnya, mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen sah.
“Malah, semasa anggota penguat kuasa menghampiri bot tersebut, awak-awak serta tekong di dalam bot itu telah pun berkumpul di satu sudut menyerah diri kerana mengetahui kesalahan mereka,” katanya ketika ditemui di jeti Pelabuhan Perikanan Chendering.
Abdul Khalil berkata, mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan jika sabit kesalahan, manakala bot berkenaan boleh disita.
Selain itu, dua buah bot pukat tunda tempatan turut ditahan dalam operasi tersebut selepas didapati melakukan kesalahan menggunakan saiz mata pukat tunda di bawah ukuran 38 milimeter (mm).
“Kedua-dua buah bot tempatan itu didapati menggunakan saiz mata antara 24 mm hingga 26 mm dan itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 yang boleh dikenakan kompaun, jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Jelasnya lagi, tangkapan itu juga merupakan tangkapan pertama di Terengganu sejak undang-undang berkenaan dikuatkuasakan bermula 1 November lalu.
Menurut Abdul Khalil lagi, dalam operasi yang bermula seawal jam 10 pagi itu, seramai 32 nelayan warga Vietnam termasuk tiga tekong berusia antara 20 hingga 65 tahun ditahan.
“Sejumlah kira-kira RM30,000 hasil tangkapan turut berjaya dirampas,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Abdul Khalil berkata, lambakan pelbagai spesies ikan pada musim tengkujuh menjadi daya tarikan nelayan warga asing untuk menceroboh masuk perairan di negara ini.
“Selain itu, nelayan warga asing ini juga mengambil kesempatan pada musim tengkujuh kerana nelayan tempatan kurang beroperasi disebabkan faktor cuaca,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: