![]() |
KOLABORASI antara dua entiti muzik yang datang dari latar generasi berbeza bukanlah dianggap asing dalam dunia hiburan tempatan.
Sementelah, jika karya-karya yang dihasilkan melalui kolaborasi tersebut mendapat saluran promosi yang betul dan menerima sambutan hangat daripada para peminat.
Itulah yang diharapkan oleh penyanyi rock legenda, Amy Search, 55, selepas dia menyatakan persetujuannya untuk bergabung suara melalui single Rentak Laguku bersama band indie popular, Bunkface yang dianggotai Ahmad Farhan Hashim (Paan), Farouk Jaafar (Youk) dan Shamsul Anuar Mohd. Baharom (Sam).
Menurut Amy, band baharu seperti Bunkface perlu diberi peluang sama rata untuk menunjukkan bakat yang mereka ada supaya sesuatu luar biasa dapat diberikan kepada para peminat.
"Kebanyakan stesen televisyen kurang membuka peluang kepada band-band indie untuk menonjolkan bakat, lebih-lebih lagi dengan lambakan artis (program) realiti yang dihasilkan stesen televisyen tertentu saban tahun.
"Apabila hanya sesetengah artis sahaja kerap muncul, mereka yang berdiri sendiri seolah-olah tidak diendahkan, sekali gus semakin pudar dan dilupakan tanpa sebarang promosi," tegas figura itu yang popular dengan lagu Laila Namamu Teratas.
Jelasnya lagi, jika peluang hanya termaktub untuk artis-artis tertentu sahaja, maka bakat yang ada sudah pasti tidak akan dapat berkembang ke tahap yang lebih tinggi.
"Jika bakat yang baik gagal untuk berkembang, maka taraf industri seni kita tetap akan berada di takuk lama tanpa melalui sebarang arus perubahan," ujarnya.
Lagu balada
Dalam berkarya, pasti lagu-lagu yang ditulis mengikut rencah dan resipi band-band itu sendiri. Walhal, cita rasa pendengar juga perlu diambil kira.
Kongsi Amy, walaupun sesetengah band indie mengetengahkan genre rock atau rock alternatif, tidak semestinya mereka perlu menghasilkan album tanpa kehadiran lagu balada.
![]()
PAAN (tengah) diapit Sam (kanan) dan Youk kekal bersemangat untuk meneruskan perjuangan survival Bunkface.
|
"Bagi saya, lagu balada yang baik perlu ada dalam setiap album, tidak kira apa genre muzik yang dibawa oleh band tersebut.
"Jika lagu berentak balada ditulis sempurna untuk penyanyinya dan pada masa yang sama kena dengan masa, insya-Allah lagu tersebut pasti mendapat sambutan ramai," katanya lagi.
Mengulas mengenai nasihat yang dapat diberikan kepada Bunkface sempena dengan kolaborasi tersebut, ujar Amy, apa sahaja peluang yang ada perlu direbut walaupun ia bukan seperti apa yang dicita-citakan.
"Pada saya, banyak band Indie kurang mendapat perhatian kerana enggan mengambil peluang yang diberikan kepada mereka.
"Sebagai contoh, mereka sering memandang negara-negara besar seperti Amerika Syarikat dan Britain untuk mengembangkan karier, sedangkan negara paling dekat dan mempunyai kuasa pendengar yang ramai hanya dipandang sepi," tegas Amy.
Menurut Amy lagi, mereka seharusnya cuba untuk menembusi pasaran yang berkongsi bahasa dan tradisi lebih kurang sama dengan rakyat di negara ini sebelum cuba untuk melangkah lebih jauh ke negara Barat.
"Bukan mudah untuk mengatur karier ke peringkat yang lebih tinggi. Jika band-band tempatan dapat menguasai 250 juta pendengar di Indonesia dan menembusi pasaran muzik di sana, saya yakin ia sudah cukup memadai untuk membentuk perkembangan karier yang sihat," jelasnya.
Dalam pada itu, Amy turut berkata, dia telah memberikan apa yang termampu menerusi kolaborasi tersebut. Selebihnya, dia menyerahkan kepada band yang pernah popular dengan lagu Silly Lily itu.
"Sebagai penyanyi yang lebih senior, saya sudah memberikan bahagian saya. Apa yang penting selepas ini adalah kerja keras mereka," jelasnya lagi.
Bermula dari bawah
Bagi tiga anak muda yang menganggotai Bunkface ini, mereka berdiri bersandarkan usaha keras dan hanya berpaksikan pada bakat yang ada.
Menurut salah seorang ahlinya, Ahmad Farhan Hashim atau lebih senang disapa Paan, karier awal kumpulan itu bermula sama seperti kumpulan-kumpulan Indie yang lain.
![]()
AMY ada pandangan tersendiri tentang kebanjiran artis produk program realiti TV.
|
"Ketika zaman permulaan, kami sering menyertai pertandingan Battle of the Band dan pertandingan-pertandingan lain.
"Pada masa yang sama kami juga turut menjual album EP secara persendirian selepas tamat setiap persembahan.
"Itu sahaja cara yang kami ada ketika itu untuk mempromosikan kumpulan kami. Atas usaha itu jugalah kami mempunyai pengikut tersendiri," ujarnya.
Tangkis kontroversi
Dalam memperjuangkan karya muzik mereka, Bunkface turut tidak terkecuali daripada dilanda pelbagai kontroversi suatu ketika dahulu.
Walaupun agak lali dengan tohmahan yang dilemparkan, mereka tetap bersemangat dan berusaha untuk terus memperjuangkan muzik mereka.
Kembali berdiri, mereka menegaskan, setiap band harus menjadikan 'zaman gelap' sebagai suatu pengajaran dalam memperbaiki diri untuk terus maju ke hadapan.
Menurut Paan: "Kami harus bijak menangkis kontroversi dan menjadikan ia sebagai pedoman untuk memperbaiki diri.
"Pada masa yang sama, alternatif lain turut difikirkan agar pendengar dapat merasai evolusi muzik kami dan tidak bosan dengan karya-karya yang sama setiap kali album baharu dikeluarkan."
Lagu yang ditulis sepenuhnya oleh Bunkface ini berkisar seratus peratus mengenai kumpulan itu. Irama, lirik dan komposisinya turut senada dengan apa yang ingin disampaikan oleh mereka.
"Lagu ini menggambarkan Bunkface. Apa yang diceritakan dalam lagu ini semuanya berkisarkan tentang kumpulan kami.
"Ditambah dengan gabungan suara Amy Search, membuatkan lagu ini menjadi lebih istimewa," ujar mereka yang baru sahaja menyanyikan lagu tersebut pada Anugerah Planet Muzik 2013 di Singapura baru-baru ini.
Bunkface turut berkongsi cerita, mereka akan mengadakan persembahan di Jakarta sempena festival JackCloth pada 7 Disember depan.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: