Terkencing takut kena cekup
Usaha meloloskan diri dengan bersembunyi di kawasan semak gagal.
GEORGETOWN - Lari lintang pukang dan ada yang terkencing di dalam seluar. Itu antara gelagat sekumpulan warga asing apabila penempatan haram mereka di Jalan Teluk Tempoyak di Batu Maung, di sini diserbu sepasukan penguatkuasa Jabatan Imigresen malam kelmarin.

Melihat kelibat pasukan penguatkuasa menghampiri penempatan mereka, ada yang terus berlari meninggalkan tempat tidur dengan hanya memakai kain palikat dan ada yang cuba menyorok di dalam cerun bukit serta di sebalik semak.

Namun usaha meloloskan diri gagal apabila pergerakan mereka melarikan diri ke arah bukit bersebelahan penempatan haram itu sudah diperhatikan anggota pengguatkuasa.

Tiga warga asing termasuk seorang wanita yang ditahan ketika bersembunyi dalam kawasan semak termasuk seorang didapati terkencing dalam seluar kerana ketakutan.

Mereka antara 47 warga asing yang ditahan dalam pemeriksaan yang dijalankan bermula jam 12.20 tengah malam hingga 1.20 pagi.

Daripada jumlah itu, lapan yang ditahan itu adalah perempuan warga Indonesia, 24 lelaki warga Indonesia dan 15 lelaki Bangladesh.

Operasi yang diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan, Basri Othman sebelum itu turut menyerbu sebuah lagi kawasan penempatan haram warga asing di Jalan Persiaran Kelicap di Bayan Lepas.

Dalam serbuan pertama yang dilakukan kira-kira  jam 11.30 malam hingga 12.15 tengah malam itu, berjaya menahan 28 orang termasuk tiga lelaki Bangladesh, 10 lelaki dan tiga perempuan Myanmar, sembilan lelaki dan tiga perempuan Indonesia.

Basri berkata, serbuan dilakukan selepas itu hasil risikan pihaknya mendapati dua lokasi berkenaan menjadi tumpuan warga asing.

Menurutnya, kebanyakan yang ditahan terdiri daripada buruh binaan, pekerja pembersihan, pembantu kedai dan peniaga.

“Kawasan penempatan ini sengaja dibina di kawasan agak terselindung di kawasan berbukit. Mungkin bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Namun taktik mereka untuk mengaburi mata pihak berkuasa gagal,” katanya.

Basri berkata, kesemua yang ditahan itu didapati melakukan kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan, salah guna permit dan tinggal melebihi tempoh ditetapkan.