SAYA selalu mengalami perasaan waswas dalam ibadah. Setiap kali
berwuduk, saya membasuh muka berkali-kali kerana tidak yakin semua
bahagian telah tersentuh air. Dalam solat pula, saya sering merasa
waswas dengan takbiratul ihram, sama ada ia sudah sempurna atau belum?
Akibatnya saya selalu mengulang takbir beberapa kali sebelum meneruskan
solat. Tambah menyedihkan apabila di pertengahan solat, ada ketikanya
saya lupa dan waswas dengan jumlah rakaat yang telah dikerjakan dan saya
sungguh tersiksa dengan keadaan ini. Bagaimanakah cara mengubatinya?
JAWAPAN
WASWAS adalah muslihat syaitan untuk merosak ibadah manusia. Anda
bukan satu-satunya orang yang mengalami perasaan seperti ini. Malah
ramai di luar sana yang mengalami perkara yang sama.
Saya pernah melihat seseorang yang waswas dalam lafaz niat dalam solat. Ia berkata: Usolli fardu…usolli fardu tanpa pernah masuk ke dalam solat. Ia berjaya masuk ke dalam solat hanya selepas 10 minit kemudian.
Ada juga yang begitu waswas dalam istinjak. Ia belum merasa bersih meski telah membasuh tangannya berkali-kali.
Semua ini tidak lain adalah perangkap syaitan. Orang yang menjadi
mangsa biasanya mereka yang belum menguasai ilmu agama dan hukum-hakam
dengan sempurna.
Berkata Imam Al-Syarbini dalam kitab Al-Iqna: "Waswas ketika takbiratul ihram adalah permainan syaitan. Sikap ini menunjukkan kelemahan dalam ilmu agama."
Justeru ubat yang paling efektif bagi mengubati penyakit ini adalah
ilmu. Pelajarilah ilmu agama secara mendalam dan berdampinglah dengan
para ulama. Anda akan melihat bahawa ajaran Islam sebenarnya sederhana
lagi mudah. Dan berlebihan dalam ibadah sama sekali tidak disukai oleh
Islam.
Dengan ilmu kita tahu bahawa niat sebenarnya di hati, bukan di lisan. Ucapan kalimat usolli
hanya untuk membantu menghadirkan niat di hati. Maka mengulang kalimat
ini berkali-kali sama sekali bukan tuntutan agama menurut kesepakatan
ulama.
Ilmu juga memahamkan kita bahawa pembaziran air sesuatu yang
terlarang. Maka, berlebih dalam membasuh anggota wuduk atau beristinjak
bukan sahaja tidak dianjurkan, malah tidak disukai. Oleh itu menurutkan
bisikan dan waswas hanya menjauhkan kita daripada kesempurnaan ibadah.
Abaikan
Dalam pelbagai hadis, Rasulullah mengajarkan kita agar selalu
mengabaikan waswas setiap kali syaitan membisikkannya ke dalam hati
kita. Jangan sekali-kali menurut bisikan ini apalagi hanyut dalam
tuntutannya. Sebaliknya, mintalah bukti atas kebenaran dakwaannya.
Setakat dakwaan tanpa bukti tidak boleh diterima.
Rasulullah SAW bersabda: "Jika syaitan mendatangi salah seorang
daripada kamu lalu membisikkan: "Wudukmu telah terbatal", maka
katakanlah: "Engkau dusta!" Kecuali jika ia mencium bau atau mendengar
suara (kentut)." (riwayat Abu Dawud.
Jika perasaan waswas itu tidak juga hilang, maka lakukanlah perkara
yang bertentangan dengannya. Sebab syaitan akan sangat kecewa jika kita
bukan setakat mengabaikan perintahnya, malah melakukan sesuatu yang
bertentangan dengan perintah itu.
Seseorang pesakit waswas pernah mendatangi Kyai Zuhri Mutamim, ulama
besar di Singapura yang wafat pada 1985. Ia berkata: "Saya selalu merasa
waswas setiap kali selepas beristinjak. Saya merasa tangan saya belum
bersih meskipun saya telah membasuhnya berkali-kali. Bagaimanakah
caranya untuk meyakinkan hati saya bahawa tangan saya telah benar-benar
bersih?"
Beliau menjawab: "Ceduklah air dengan kedua tanganmu, lalu minumlah."
Sungguh bijak jawapan beliau.
Zikir
Terakhir, jangan lupa untuk selalu menghadirkan nama Allah setiap
saat. Sebab syaitan akan mengecil dan menyusut setiap kali disebut nama
Allah SWT.
Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: "Jika
seseorang berkata: Bismillah, maka syaitan mengecil hingga sebesar
lalat."
Ibnu Kathir dalam Tafsir-nya berkata: "Sanad hadis ini kuat. Ini
menunjukkan bahawa apabila hati kita menyebut nama Allah, syaitan akan
mengecil dan kalah. Namun apabila kita tidak mengingat Allah, ia menjadi
semakin besar dan kuat."
Sebahagian ulama menganjurkan membaca Lailaha illallah setiap
kali seseorang merasakan perasaan waswas dalam wuduk, solat atau ibadah
lainnya. Sebab kalimat tauhid ini adalah zikir yang terbesar. Demikian
anjuran ini terdapat dalam kitab Tuhfat Al-Habib 'ala Syarh Al-Khatib.
Bacaan lain adalah ta'awwuz, yakni membaca: "A'uzubillah minasyaitannirrajim. Maknanya: "Aku berlindung kepada Allah daripada (kejahatan) syaitan yang direjam."
Selain bacaan-bacaan ini, bacalah zikir yang anda mampu. Semakin hati
kita penuh dengan zikir, semakin syaitan dan tipu dayanya menjauh
daripada diri kita. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: