Wednesday, October 3, 2012

Masih kuat bekerja

ISTIMEWA...sejak Eira berbadan dua, rezeki mereka suami isteri tidak pernah putus.
ISTIMEWA...sejak Eira berbadan dua, rezeki mereka suami isteri tidak pernah putus.
SEKILAS pandang, bagai langsung tidak mengenali siapa yang sedang menghayun langkah perlahan, mengendong beg dan berkaca mata, gayanya tidak ubah seperti seorang selebriti yang sedang sarat mengandung.
Namun makin dekat kelibatnya, seterusnya menegur bertanya khabar, wanita jelita yang berseri-seri itu adalah pelakon popular, Syazira Shuhaimi atau lebih dikenali sebagai Eira Syazira.
   
  • Foto
  • Foto
  • Foto
Tidak berdandan seperti biasa dengan susuk tubuh yang berisi, dramatis jelita yang kini sarat mengandung lima bulan ini setia hadir di Balai Berita bagi menemani suaminya juga pelakon popular, Azad Jazmin yang terikat dengan komitmen fotografi.

Terlanjur bersembang dengannya, bertanyakan khabar dan pengalaman manis mengandung anak sulung, terus jurugambar petang itu menyelaras lensa kamera ke arahnya.

Jelas wanita yang tidak henti mengukir senyum ini, ramai yang mengatakan wajahnya berseri sejak mengandung namun secara peribadi, Eira begitu bimbang akan susuk tubuhnya yang tidak lagi seperti dulu dan memikirkan proses untuk kembali langsing kemudian nanti.

“Suami dan teman-teman memang ramai yang memuji. Kononnya wajah saya bertambah ceria sejak mengandung namun sebagai seorang wanita yang begitu mementingkan soal penampilan dan berkerjaya sebagai pelakon, sudah pastinya timbul rasa bimbang juga apabila melihat keadaan diri kerana inilah pertama kali saya berisi sebegini.

“Namun itulah istimewanya menjadi seorang bakal ibu. Cuma saya perlu bersedia untuk bekerja keras bagi mendapatkan bentuk tubuh seperti sebelum ini selepas habis berpantang nanti,” katanya membuka bicara.

Petang itu, pelakon berbakat besar berusia 28 tahun ini begitu bersemangat berkongsi pengalamannya sepanjang hari menjadi wanita mengandung.

Selain mengakui dilayan bagai seorang permaisuri, pelakon yang dikenali menerusi banyak drama termasuk Ku Milikmu, Embun Mutiara dan Cinta Balqis ini menyifatkan setiap saatnya kini seakan diaturkan cerita tersendiri dengan pelbagai pengalaman berbeza.

“Alhamdulillah akhirnya apa yang saya dan suami impikan sebelum ini menjadi kenyataan. Memang sejak awal kami berkahwin lagi, masing-masing tidak sabar untuk menimang cahaya mata, cuma rezeki itu lewat hadir buat kami berdua.
Justeru apabila saya dikhabarkan mengandung saja, suami adalah insan paling bahagia dan seronok sekali.

“Kini selepas mengandung lima bulan, saya merasakan hidup ini banyak berubah.
Dari seorang anak gadis yang kemudiannya mengambil keputusan untuk berkahwin, kini saya diberi pengalaman luar biasa pula dengan mengandung. Jujurnya ia memberikan saya perspektif baru sebagai seorang wanita, isteri dan bakal ibu.

“Saya bersyukur kerana diberikan seorang suami yang begitu mengambil berat mengenai diri saya, menyayangi dan begitu sensitif dengan keadaan saya. Azad tidak pernah merungut walaupun terpaksa melayan kerenah saya dan syukur kerana kami berdua memang berkongsi keserasian dan persefahaman yang sempurna sejak dulu lagi.

“Betul kata orang, mengandung akan diberikan satu perasaan luar biasa. Sukar diceritakan atau dikongsi, namun hakikatnya ia begitu istimewa dan memberikan kebahagiaan dan keharmonian dalam sanubari. Hubungan kami berdua juga kian akrab dan sukar untuk berenggang walaupun ada kalanya masing-masing berlari-lari ke lokasi penggambaran.

“Jika ditanya soal alahan atau mengidam, syukur setakat ini saya masih stabil dan sihat cuma Azad pula yang mengambil alih alahan itu. Dia yang muntah-muntah teruk dan sering kali berdepan rasa loya. Itulah bukti suami yang begitu menyayangi saya rasanya,” katanya berseloroh sambil memerhati suaminya yang begitu bijak mengusik di sisi.

Tambah anak kedua daripada enam beradik juga kelahiran Kuala Lumpur ini lagi, istimewanya berbadan dua apabila rezeki mereka suami isteri tidak pernah putus dan ada saja peluang dan kepercayaan yang diberi.

Memegang kata-kata orang lama, anak yang dikandung memang memberikan rezeki.
Itu juga yang dipegang pasangan suami isteri yang berkahwin pada September tahun lalu ini.

“Percaya atau tidak, saya masih lagi berlakon hingga Ramadan yang lalu.
Sebanyak tujuh drama sempat saya habiskan termasuk yang terakhir bulan lalu, sebuah telefilem untuk stesen TV AlHijrah di samping Aqasha dan suami sendiri.
Tawaran tidak putus datang buat saya hingga niat awalnya ingin berehat sepanjang puasa tidak kesampaian kerana menyudahkan penggambaran drama.

“Mujur saya kuat dan tidak mudah rasa penat walaupun ketika itu perut sudah mula nampak membuncit. Memang saya sengaja tidak mahu memanjakan diri dan tidak mahu menjadi lesu atau lemah hingga menjejaskan rutin harian. Lantas saya masih mengemas rumah, memasak dan menguruskan hal-hal kebajikan suami.

“Namun kini selepas kandungan sudah berusia hampir enam bulan, saya memang mengambil keputusan untuk berehat seketika. Azad sendiri tidak membenarkan saya terlalu aktif kerana bimbangkan keadaan kandungan anak kami itu nanti,” katanya.

Eira bagaimanapun masih sempat menghabiskan dua telefilem lagi berjudul Antara 2 Deru dan Bungkusan Leman yang akan ditayangkan di RTM tidak lama lagi.

“Kelakarnya, ada produksi yang sanggup mengubah skrip semata-mata mengetahui saya sudah mengandung ketika ini. Alhamdulillah rezeki anak kami,” katanya lagi.

Pelakon yang pernah membintangi beberapa filem termasuk Bisikan Remaja, Ngangkung dan Aku Bukan Tomboy ini dijangka akan melahirkan anaknya pada Januari depan. Berdasarkan pemeriksaan doktor, pasangan yang mula menyemai cinta lebih tiga tahun sebelum berumah tangga ini akan dikurniakan seorang anak perempuan namun itu bukanlah soalnya lagi.

Mengakui suami memang idamkan seorang puteri, namun jelas Eira, apa yang lebih penting adalah kesihatan dan kesempurnaan bayi itu nanti.

“Tidak kisah lelaki atau perempuan anak itu nanti kerana apa yang penting saya doakan zuriat sulung kami itu nanti sihat. Ikutkan Azad memang dia inginkan anak perempuan supaya boleh menjadi kawan baiknya nanti namun semua itu saya serahkan pada takdir saja,” katanya.

Menyentuh soal kerjaya si suaminya pula, penyanyi lagu Prasasti Cinta ini memanjat rasa penuh syukur kerana tawaran filem tidak henti buat Azad walaupun kini terkejar-kejar memantau keadaannya sepanjang hamil.

Eira yang kini berhenti seketika daripada bidang nyanyian berkata, dia dan suami bakal berduet dalam lagu berjudul Sajak Dari Hati selepas melahirkan anak nanti.

Azad pula yang baru saja mempamerkan lakonan penuh emosi dalam filem S.A.M pada Aidilfitri yang lalu, akan kembali muncul dalam filem Paku, Mamak Cupcakes dan Naga dalam tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: