Monday, October 8, 2012

Hargai setiap kandungan

DI Malaysia pula, data daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada tahun 2004, menunjukkan hanya 50 peratus daripada remaja Malaysia mempunyai pengetahuan yang cukup dan betul tentang organ reproduktif lelaki dan wanita, selain hanya 47 peratus tahu bagaimana cara bayi dihasil dan dilahirkan.
Dalam pada itu, hanya 52 peratus wanita berusia 15 hingga 49 tahun yang menggunakan kaedah merancang kehamilan.
Jumlah ini merupakan paling terendah di rantau ini yang sekali gus menggambarkan beberapa persepsi iaitu sama ada wanita di negara ini sememangnya tidak memerlukan sebarang kaedah merancang kehamilan atau pun mungkin juga kerana kurang kesedaran mengenainya.
Presiden Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM), Dr. Suresh Kumarasamy, berpendapat rakyat negara ini amat kurang kesedaran dan lemah pengetahuan bahawa kaedah kontraseptif adalah efektif dan selamat.
"Isu seperti perancangan kehamilan memang tidak dibicarakan secara terbuka terutama di sekolah dan kalangan ibu bapa.
"Ibu bapa berpendapat ia terlalu sensitif untuk dibicarakan. Ada juga yang berpendapat bahawa mereka tidak akan mengandung dengan mudah dan berpegang hanya dengan kepercayaan tuah menyebelahi mereka semata-mata," jelasnya sempena sambutan Hari Kontraseptif Sedunia 26 September lalu.
Dr. Suresh menambah, isu ini bukanlah hanya tertumpu di luar bandar malah di bandar pesat membangun keadaannya tidak jauh berbeza.
Sebagai pengamal perubatan, beliau menyarankan setiap lelaki dan perempuan terutama yang telah berumah tangga patut mengambil tahu tentang kaedah-kaedah perancang kehamilan dan mempunyai ilmu tentangnya.
"Cara moden yang kita ada pada hari ini ialah kombinasi antara pil kontraseptif dan progesterone yang dimakan pada hari pertama haid datang.
"Jika tidak yakin boleh berdisiplin dengan cara pil terdapat cara suntikan yang diambil sekali setiap tiga bulan. Kalau tidak mahu disuntik boleh memilih teknik implan di mana cara ini memerlukan bantuan para doktor bertauliah yang dilakukan sekali untuk tempoh tiga tahun.
"Selain cara di atas terdapat juga cara di mana wanita boleh menggunakan cincin vagina yang dimasukkan ke dalam vagina sebelum memulakan hubungan seks.
"Alat intrauterine yang akan dimasukkan oleh pakar juga salah satu cara yang boleh digunakan untuk merancang kehamilan selain kondom yang digunakan oleh lelaki.
"Satu lagi cara ialah pensterilan lelaki dan wanita yang mana operasi tersebut dilakukan oleh doktor dan cara ini adalah cara yang kekal iaitu tidak akan memperolehi anak sampai bila-bila," ujar beliau.
Kaedah kontraseptif
Kaedah perancangan keluarga perlu diambil tahu sebaik sahaja kali pertama berhubungan.
Cara yang paling popular di kalangan rakyat Malaysia ialah Intrauterine device (IUD) sebab ia mudah diaplikasikan.
"Dengan hanya satu cara dilakukan oleh pakar, wanita tidak perlu susah mengingati bila waktu untuk makan pil atau menggunakan kondom setiap kali mengadakan hubungan seks. Ia juga satu kaedah yang murah," jelasnya.
Dr. Suresh berkata, memang ada pasangan yang selesa mengawal kehamilan dengan cara pancutan luar bagaimanapun ia tidak begitu efektif berbanding kaedah kontraseptif.
"Ada juga yang mengira waktu subur dan tidak subur untuk mengawal kehamilan tapi cara tersebut mungkin tidak sesuai bagi wanita yang menghadapi kitaran haid tidak tetap."
Kebaikan kontraseptif
Selain merancang kehamilan, perlu diketahui juga kaedah kontraseptif yang digunakan seperti pil merupakan salah satu cara untuk mengawal haid yang banyak.
"Pil kontraseptif ini juga mampu membuatkan kitaran haid lebih ringan dan tetap. Ia sekali gus mengurangkan kes anemia di kalangan wanita yang menghadapinya setelah makan pil tersebut.
"Ada juga wanita yang tidak lagi mengalami senggugut setelah makan pil kontraseptif malah jerawat juga boleh dikawal dengan pil ini.
"Ada juga pil yang direka untuk merawat sindrom pra haid (PMS) dan kecelaruan pra haid dystrophic (sindrom yang lebih teruk dari PMS) di mana ia memberi kesan buruk kepada kualiti hidup wanita yang mengalaminya.
"Ada yang mengalami radang pelvik menerusi jangkitan uterus dan tiub fallopio juga semakin kurang sakit sebanyak 50 peratus dengan pengambilan pil kontraseptif.
"Saya amat berharap agar kempen Hari Kontraseptif Sedunia ini memberikan impak buat rakyat Malaysia. Rakyat perlu tahu bahawa terdapat banyak cara yang boleh digunakan untuk merancang kehamilan dan pastinya ada satu cara yang sesuai dengan keadaan tubuh mereka," katanya

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: