Saturday, October 27, 2012

Guna pengalaman di kelab

KEENA...beraya di Abu Dhabi.
KEENA...beraya di Abu Dhabi.
MUNGKIN namanya kurang menyerlah di kalangan peminat dunia seni tanah air. Perkembangan kariernya juga kurang diikuti ramai. Namun itu bukanlah alasan besar buat Keena Mentor menghentikan terus perjuangannya dalam bidang seni.
Percaya kepada rezeki yang ditentukan Allah pada setiap hamba-Nya, gadis berusia 25 tahun yang bernama sebenar Suriana Abdul Wahab ini tidak pernah gentar menongkah arus yang datang.
  • Foto
  • Foto
Hasilnya, selepas empat tahun meninggalkan Mentor 3 pada 2009, gadis kelahiran Kelantan yang pernah bergelar protege Awie ini masih bertahan dalam bidang yang diminatinya.

Pelbagai perancangan dirangka untuk mengembangkan lagi kariernya. Bukan sekadar berbakat dalam nyanyian dan lakonan, bahkan Keena boleh dianggap anak seni versatil kerana berkebolehan menulis novel serta melukis.

“Syukur kerana saya dianugerahkan kebolehan ini. Biarpun publisiti mengenai karier saya jarang keluar di media massa, saya tetap ada rezeki dalam bidang seni.

“Boleh dikatakan jadual saya sering terisi dengan pelbagai undangan yang diterima. Mungkin bayaran yang diterima tidak banyak berbanding artis lain, tapi saya tetap bersyukur dengan limpahan rezeki setakat ini,” katanya yang sentiasa ceria.

Tambah Keena, single pertamanya, Cinta Luluh berjaya diterima baik oleh peminat. Untuk terus kekal bersaing, dia perlu produk terbaru dan sekarang dia tampil dengan single kedua berjudul Hitam Puteh.

“Lagu ciptaan Sam/Kuman ini dinyanyikan secara duet dengan penyanyi Farhan Haidid. Saya yakin percubaan ini akan diterima baik kerana konsep begini sememangnya menjadi trend di kalangan peminat.

“Bercakap mengenai lakonan pula, saya sebenarnya sudah lama berlakon dan kemunculan pertama adalah menerusi filem Cinta Fotokopi membawa watak tambahan.

“Selepas itu, watak saya terus berkembang menerusi drama siri Nur, Akademi Polis, Hotel Mania, Cinta Liasari dan terbaru Abang Misi sebanyak 13 episod terbitan Juanridz Pictures Sdn Bhd.

“Dalam pada sibuk menyanyi dan berlakon, novel berjudul Cinta Luluh juga sudah siap dan menunggu masa untuk dilancarkan. Malah saya turut berjaya siapkan lukisan berkonsep abstrak sebanyak 30 keping yang sedia dijual pada bila-bila masa.

“Menambah lagi mungkin sudah rezeki, saya juga baru selesai berlakon teater pertama berjudul Nurnilamsari bersama kumpulan Anak Seni Warisan Selangor & Kuala Lumpur (Aswa). Saya pasti akan berlakon lagi sekiranya ada peluang selepas ini.

“Selain itu, saya juga kerap buat iklan komersial dan bertambah menggembirakan, saya baru habis buat ‘meminjam suara’ untuk siri animasi The Almighty Dark dalam bahasa Melayu.

“Sepanjang November, saya akan terbabit dengan sesi jelajah Aman College. Saya pernah menyanyi untuk mereka ketika majlis rumah terbuka dan selepas itu saya terus ditawarkan terbabit dalam program mereka.

“Kebolehan saya tak berhenti di sini kerana saya juga buat pakej mengacara. Selepas ini saya akan mengacara sebuah program TV sebanyak 13 episod,” katanya yang turut berlakon filem berjudul Aiman Tak Kisah dan Tokak terbitan Mar Energetic.

Pengorbanan datang dalam pelbagai bentuk. Buat pertama kali dalam kariernya, Keena terpaksa berkorban meraikan ketibaan Aidiladha atau sinonim dengan panggilan Hari Raya Haji di perantauan.

Tuah menyebelahinya apabila diundang menjayakan persembahan di Abu Dhabi, sempena sambutan Aidiladha untuk kakitangan kedutaan dan pelajar Malaysia di sana semalam (26 Oktober).

Ditemani kakaknya, Suriani, Keena sudah berangkat meninggalkan Malaysia pada 23 Oktober (Selasa lalu) untuk menjalani latihan dengan band dan koir yang disediakan. Mereka dijadualkan pulang pada 28 Oktober.

“Memang agak sedih juga kerana sebagai anak bongsu daripada lapan adik beradik, saya biasanya sambut Aidiladha bersama keluarga. Tapi kalau difikirkan, peluang ini bukannya selalu hadir.

“Bahkan, ia ditunggu-tunggu oleh semua artis tanah air yang belum berkesempatan merasainya. Saya nak kejar sesuatu dalam karier. Sayanglah nak tolak kerana peluang begini sukar nak diperoleh lagi.

“Biarlah saya rasa pengalaman sambut Aidiladha di tempat orang pula. Lagipun saya ditemani kakak. Sekurang-kurangnya tak terasa sunyi dan terasing sangat nanti.

“Untuk persembahan ini, saya akan menyampaikan lagu Someone Like You nyanyian Adele, Aku Tak Biasa (Alda) dan lagu sendiri Cinta Luluh. Awalnya saya disuruh menyanyikan lagu Arab, tapi saya yang minta nak nyanyikan lagu sendiri.

“Saya dikira mewakili negara, takkanlah saya nak menyanyikan lagu orang lain pula kerana persembahan ini akan turut ditonton oleh jemputan luar, sudah pasti saya akan buat yang terbaik,” katanya yang menyediakan pakaian yang sesuai antaranya baju kurung.

Mengulas mengenai pemilihannya, Keena berkata, segala-galanya ditetapkan oleh kedutaan Malaysia. Ia berdasarkan pengalamannya menyanyi di kelab dan pernah menyanyikan lagu-lagu Inggeris.

“Ramai yang tak tahu saya sebenarnya bermula di kelab sebelum menyertai Mentor.
Saya pernah bersama kumpulan Adam And The Outrageous sejak 2007 dan pernah menyanyi di kelab Aloha, Planet Hollywood, Rum Jungle.

“Selepas masuk Mentor, barulah saya bergerak menyanyi secara solo.
Alhamdulillah pengalaman menyanyi kelab banyak bantu beri keyakinan untuk saya apabila beraksi depan khalayak ramai,” katanya yang turut mempunyai impian bergelar ahli perniagaan suatu masa nanti.

Keakraban Keena dengan Wan Cromok, pemilik syarikat Juanridz Pictures Sdn Bhd menerbitkan persoalan apakah mereka sedang bercinta? Namun pantas dia menafikan dan menjelaskan hubungan mereka tidak ubah seperti adik dan abang.

“Saya kenal dia sejak berlakon drama Nur lagi. Kebetulan pula dia berasal dari Kelantan, jadi hubungan kami terus rapat. Saya juga banyak belajar mengenai lakonan daripadanya.

“Bagaimana kami boleh dikatakan kami bercinta kerana dia sudah ada kekasih.
Jadi sesuai kalau dianggap hubungan ini seperti adik dan abang dan tak lebih daripada itu,” katanya yang juga pernah dikaitkan bercinta dengan Mohd Mentor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: