Saturday, October 27, 2012

Gegaran dua pentas Rockaway


PENONTON dilanda histeria menyambut kemunculan Radhi dan kumpulannya, OAG mengalunkan lagu-lagu hit mereka.


KEHEBATAN band antarabangsa dan tempatan menggegarkan pentas Festival Rockaway 2012 yang berlangsung pada minggu lalu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang, Selangor melakar sejarah tersendiri apabila dua persembahan berjalan serentak menggunakan dua pentas yang berbeza.
Festival muzik metal rock yang berlangsung selama 12 jam itu juga menyaksikan beberapa buah band tempatan yang sudah lama tidak beraksi kembali menunjukkan taring masing-masing di depan peminat.
Anggota kumpulan ska terkenal, Gerhana Ska Cinta (GSC) buat pertama kalinya bergabung semula di atas pentas persembahan setelah lima tahun menyepi tanpa sebarang perkembangan baharu.
Ternyata, kehadiran mereka bukan sahaja mengubat rindu peminat, malah lagu-lagu yang disampaikan oleh mereka masih diingati oleh sebahagian besar penonton yang hadir.
Vokalis kumpulan tersebut, Widi memberitahu, mereka berasa puas kerana dapat menghiburkan penonton, lebih-lebih lagi setelah sekian lama tidak muncul dengan lagu mahupun album baharu.
"Walaupun masing-masing sibuk dengan keluarga dan komitmen lain, kami tetap mencari masa yang sesuai untuk berlatih bagi menjayakan Rockaway Festival pada kali ini," katanya ketika ditemui selepas selesai membuat persembahan.
Selain Gerhana Ska Cinta, turut sama menghangatkan pentas utama Rockway Festival 2012 yang terletak di ruang helipad itu ialah kumpulan OAG yang diterajui vokalisnya, Radhi.
Radhi yang baru sahaja selesai menjalani rawatan di rumah Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) kelihatan cukup bertenaga mempersembahkan rangkaian lagu-lagu baharu ciptaannya.
Penonton seperti diserang histeria apabila Radhi mula menyampaikan lagu-lagu popular OAG seperti Generasiku, Di Tanah Airku dan 60s TV.
Radhi memberitahu, selain dirinya, OAG kini turut dianggotai empat pemuda berbakat besar yang merupakan penuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Dalam pada itu, kumpulan Go Gerila tidak ketinggalan menghangatkan Rockaway Festival 2012.
Aizat Amdan selaku vokalis Go Gerila berkata, dia serta ahli kumpulannya berasa sungguh teruja kerana ini adalah kali pertama mereka diundang untuk membuat persembahan di hadapan ribuan peminat muzik rock tempatan.

KETERUJAAN jelas terpancar pada wajah tiga anggota I-Revival (dari kiri) Adam, Johan dan Khairul.


Go Gerila menghiburkan peminat dengan lagu-lagu popular mereka seperti Hadiah, Outlaw, Biso Benar, Soldier's Eyes dan Black Box.
Dianjurkan oleh Livescape Asia dan Telekom Malaysia Berhad, festival yang bermula sejak pukul 12 tengah hari Sabtu dan berakhir tengah malam yang sama itu nyata memberikan impak positif buat peminat-peminat muzik di Malaysia.
Kumpulan The Padangs memulakan persembahan di pentas utama, manakala konsert di pentas kedua dicetuskan oleh The Johnny Comes Lately.
Pentas utama Festival Rockaway 2012 turut digegarkan lagi dengan persembahan mantap kumpulan Unearth, Set Your Goals, MXPX All Stars, I-Revival, Massacre Conspiracy, Bunkface, Love Me Butch, Hujan dan Koffin Kanser.
Kumpulan heavy metal tersohor dari Amerika Syarikat, Soulfy menjadi band terakhir membuat persembahan sekali gus menutup acara yang sudah masuk tahun ketiga penganjurannya itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: