Sunday, October 7, 2012

Berhati-hati cari pengganti

Nabila atau Abil dan Wan Sharmila (Lala)
Nabila atau Abil dan Wan Sharmila (Lala)
SUASANA ceria, penuh de­ngan gelak tawa dan saling mengusik mengundang apabila dua personaliti popular, Nabila Huda Suhaimi dan Wan Sharmila Wan Muhammad, 31, digandingkan.
Nabila atau Abil dan Wan Sharmila (Lala), memang bijak bergaya di depan kamera. Tidak perlu arahan, jurugambar, Surianie Mohd Hanif leka merakam aksi mereka. Kedua-duanya kreatif untuk cuba memenuhi apa dimahukan.
   
  • Foto
  • Foto
  • Foto
  • Foto
Penat ketawa dan berdiri, sesekali kelihatan Lala cuba menahan sakit. Katanya, pembedahan buah pinggang yang dilakukan sebulan lalu belum sembuh sepenuhnya.
Namun, sikap profesionalnya harus dipuji kerana dia menahan sakit untuk menjayakan sesi fotografi bagi memberikan gaya menarik.
Kelihatan agak sesak nafas, Lala berkata, keadaan kesihatannya sedikit sebanyak mengganggu pekerjaannya sebagai pelakon namun ia bukan lesen untuk mengabaikan komitmennya.
“Tipulah kalau saya cakap ia tidak mengganggu pekerjaan saya. Sedangkan nak angkat seliter air mineral pun saya perlukan bantuan inikan pula berlakon yang memerlukan saya mengerah tenaga.

“Sekarang ini saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri Spy M untuk slot Aksi di TV3. Untuk babak aksi, tempat saya digantikan orang lain. Syukur, mereka faham dengan keadaan saya. Sebenarnya saya takut untuk menceritakan tahap kesihatan saya kerana bimbang nanti disebabkan masalah ini tawaran berlakon akan semakin kurang,” katanya menahan tangis.

Menjalani pembedahan yang mengambil masa selama empat jam dan berada di hospital selama sebulan sepanjang bulan puasa, Lala sangat berterima kasih pada rakan-rakan yang tidak pernah jemu melawat serta menjaganya di hospital.

Katanya, dia terharu apabila Sari Yanti sanggup datang melawat dan sesekali menjaganya ketika dia sakit. Masih solo selepas bercerai tiga tahun lalu, Lala tidak terlepas diajukan pertanyaan mengenai pasangan hidup apatah lagi pada usia 31 tahun.

“Saya terlalu sibuk bekerja. Mana ada masa jumpa lelaki. Lagi pun saya tak mahulah jumpa lelaki sembarangan. Saya bukannya jenis yang berani untuk berkenalan dengan mana-mana lelaki.

“Sekarang ini banyak sangat kes wanita ditipu. Adalah juga yang mahu berkenalan tapi saya tak nak,” katanya yang berpisah dengan suami, produser Fazli Baharom pada 23 Oktober 2009.

Pelakon dan pengacara kelahiran Johor Bahru pada 12 Oktober 1981 ini tidak kisah dianggap stereotaip, Lala tidak kisah dicop sebagai artis yang tidak versatile apabila sering membawa watak jahat. Baginya, kesempatan itu digunakan untuk mempelbagaikan cara pembawaan watak jahat.

“Karakter jahat ini tidak sama. Ini membuatkan saya lebih kreatif untuk mencipta cara membawa watak antagonis. Banyak tawaran berlakon yang memerlukan saya memegang watak jahat, saya terima saja. Sudah itu rezeki saya.

“Tapi, saya teringin sangat bawa watak seorang kurang upaya iaitu bisu tetapi jahat. Contoh, dia meraih simpati tetapi pada masa yang sama dia membuat ‘dajal’ agar orang itu hidup menderita,” ujar anak bongsu daripada dua beradik itu.

Lala dan Abil digandingkan dalam filem Bisikan Syaitan arahan sulung Faizul A Rashid yang bakal ditayangkan di pawagam pada 25 Oktober ini. Lala diberikan watak Kamilia dan mengakui mengalami sedikit kesukaran menjiwai karakter itu.

“Saya selalu membawa watak jahat, apabila diberikan watak baik agak susah kerana saya jarang membawa karakter itu. Babak paling mencabar apabila saya harus mandi pada jam tiga pagi. Bayangkan keadaan saya yang menggigil kerana penggambaran dilakukan di Fraser Hill,” katanya.

Berlainan dengan Abil, dia lebih suka mendapat watak berlainan dan sepanjang bergelar pelakon, dia bersyukur kerana sering mendapat watak yang berlainan.
Suka mencari kelainan, Abil tidak kisah sekiranya tidak mempunyai tawaran berlakon dalam filem kerana dia ikhlas untuk berada dalam industri seni. Bukan meraih populariti namun sekadar ingin menyerikannya dengan bakat dimiliki.

“Rasanya dapat berlakon filem ataupun tidak bukan masalah besar. Kalau hati benar-benar ikhlas untuk menceburi bidang lakonan, seseorang itu tidak akan pernah berfikir mengenai semua itu.

“Bersyukurlah selagi ada tawaran berlakon. Drama atau filem, sama saja. Tidak ada beza­nya. Kedua-dua naskhah itu masih memerlukan seorang pelakon untuk berlakon dan menghayati watak diberikan,” katanya.

Dalam Bisikan Syaitan, Abil memegang watak Soraya dan mengatakan tiada masalah memegang watak itu kerana sudah biasa.

“Soraya seorang wanita yang tidak sanggup hidup susah. Dia memujuk suaminya supaya membuat perjanjian syaitan supaya hidup senang. Namun, ada perjanjian yang dilanggar menyebabkan Kamilia menjadi mangsa,” katanya.

Filem terbitan Lightbulb Pictures dan edaran Grand Brilliance ini mengisahkan kehidupan Soraya (Nabila Huda) dan Kamil (Fizz Fairuz) bertukar menjadi porak peranda selepas membuat perjanjian berdarah dengan kuasa jahat demi mendapatkan kesenangan hidup.

Rahsia perjanjian pasangan ini mula terbongkar sedikit demi sedikit apabila keluarga Kamil mula diganggu makhluk ghaib. Turut berlakon, Farrah Nadiah Zilkifli, Azam Pit dan Fiza Halim.


Saya tak kongkong Johan

MEMILIKI anak perempuan, Keisha Laila, 2, hasil perkongsian hidup dengan bekas suami, Zaidy Zailani, kenyataan Abil ingin berkahwin tahun depan kerana rindu bermain dengan bayi mengundang spekulasi adakah anak rockers Amy Search ini sudah ada seseorang yang istimewa.

Tambah pula Abil sering digosipkan dengan bintang muda, Johan Asaari. Bagaimanapun, Abil hanya ketawa besar apabila diasak pertanyaan mengenai calon suaminya.

“Walaupun saya kata mahu berkahwin tahun depan, mana ada calon yang sesuai.
Banyak perkara yang harus saya fikirkan jika ingin berkahwin kali kedua.
Pertama, bukan senang cari calon suami sekaligus ayah buat Keisha. Kedua, bolehkah lelaki itu nanti terima saya dan Keisha seadanya?

“Sebab itulah saya suka melancong sekarang. Jalan-jalan mencari cinta. Mana tahu boleh jumpa jejaka idaman yang sesuai dijadikan suam. Baru-baru ini pilih Kenya, Afrika untuk bercuti seorang diri kerana teringin melihat keindahan Safari, taman haiwan terbesar.

“Saya merancang ke Itali pula pada November ini. Jamaica juga antara destinasi yang saya ingin lawati. Sebelum ke sana, saya akan ke Thailand, Kemboja dan Laos menaiki kereta atau bas,” katanya yang baru saja pulang dari Seoul, Korea menjalani penggambaran drama bersiri Julia yang kini disiarkan menerusi TV3.

Mengenai Johan, akui Abil, mereka hanya kawan baik dan tidak lebih dari itu.
Katanya, dia hairan apabila timbul isu dia mengongkong Johan walhal mereka tidak pernah bercinta.

“Kami hanya kawan baik. Saya sayang dia tetapi ia hanya sekadar rakan baik saja. Dia baru berusia 26 tahun. Banyak lagi yang dia ingin lakukan. Rasanya dia pun belum bersedia untuk berkahwin.

“Saya selesa berkawan dengan Johan kerana karekter saya yang lasak dan ringkas.
Dia suka berkawan dengan saya kerana saya banyak memberikan nasihat mengenai kehidupan, kerjaya dan imej. Tapi hanya nasihat dan pandangan, bukan mengongkong. Kalau dia terima dan ikut, itu pilihan dia. Entah macam mana timbul gosip mengatakan saya kongkong dia,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: