KETIKA Perang Dunia Kedua, ramai penduduk dari seluruh pelosok Tanah Melayu telah ditangkap oleh askar Jepun untuk dijadikan buruh paksa membina landasan kereta api maut di antara Thailand-Burma (kini Myanmar).
Bagaimanapun ada juga di antara buruh-buruh tersebut yang menawarkan diri secara sukarela kerana tentera Jepun menjanjikan gaji lumayan apabila bekerja dengan mereka.
Antaranya Halimi Ibrahim yang berasal dari Tanjung Tualang, Perak.
Dalam buku autobiografinya bertajuk Dari River Kwai ke Sungai Temboh yang diselenggara Daruis Lidin, Halimi yang sudah meninggal dunia pada 1950 akibat dibunuh gerila bintang tiga ketika menjadi forest guard di Jabatan Perhutanan Negeri Perak, mengakui telah memohon menjadi buruh secara senyap-senyap untuk membawa diri dan mencari ketenangan.
"Pada minggu pertama Mac 1943, telah tersebar berita bahawa tentera Jepun memerlukan beribu-ribu pekerja untuk dibawa ke Siam membina landasan kereta api.
"Jika pemuda-pemuda Cina dan India dipaksa menjadi buruh, berlainan pula dengan pemuda Melayu.
"Sebahagian pemuda-pemuda Melayu juga telah dipaksa menjadi buruh, manakala selebihnya pergi secara sukarela kerana hendakkan gaji bulanan yang lumayan," katanya dalam buku tersebut yang diterbitkan Yayasan Aminuddin Baki dan Persatuan Sejarah Malaysia pada 2005.
Pada 11 April 1943, Halimi bersama lebih 800 orang pemuda meninggalkan Tanah Melayu dengan menaiki kereta api dari Stesen Ipoh, Perak untuk menuju ke Siam.
Sebaik sampai di Haadyai keesokkan harinya, semua buruh telah dipaksa memakan nasi berlaukkan daging babi.
Melihatkan seketul daging tersebut dalam sayur taugeh rebus yang diberi, dia segera meminta garam bagi menggantikan lauknya itu.
Setelah bergerak selama enam hari enam malam dari Ipoh, mereka tiba di Bampong.
"Sementara menantikan kereta api tersebut diisikan air, ada antara kami yang mencuri-curi mandi untuk membersihkan badan.
"Usai mandi, saya naik ke tebing sungai sambil menyaksikan ragam rakan-rakan lain yang sedang bermandi-manda. Tiba-tiba, saya disapa dua orang Siam.
"Setelah berbual panjang walaupun ada kalanya kata-kata mereka itu tidak difahami, entah bagaimana timbul pula cerita kemungkinan saya dihantar ke Kanburi atau Chiangmai menjadi buruh membuat jalan kereta api," katanya.
Sebelum pergi, cerita Halimi, pemuda Siam itu sempat berpesan di sana mudah mendapat jangkitan penyakit sehingga beratus-ratus orang mati dalam sehari.
Alang-alang telah sampai sejauh itu, dia nekad meneruskan perjalanan biarpun terpaksa berjalan kaki selama sembilan hari menuju arah barat daya Thailand dan kemudiannya, tenaga dikerah seperti binatang.
Cerita Halimi, kedatangan musim hujan pada bulan Julai memburukkan lagi keadaan kerana semua buruh-buruh dipaksa bekerja siang dan malam walaupun hujan turun mencurah-curah menyembah bumi.
"Disebabkan bilangan buruh yang jatuh sakit semakin bertambah, askar Jepun menjadi lebih kejam.
"Asalkan buruh-buruh tersebut masih boleh berjalan, mereka akan dipaksa bekerja. Manakala yang terlantar sakit, dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang makanan dan ubat," katanya.
Pengalaman menemui mayat seorang pemuda Melayu berasal dari Ipoh yang sudah dua hari terbiar dalam keadaan mata terbuka dan tangan terkaku, kata Halimi, menimbulkan keinginannya untuk melarikan diri.
Nekad mahu melarikan diri daripada kekejaman askar Jepun, dia berusaha mempelajari bahasa Siam ataupun bahasa orang-orang Karen yang merupakan penduduk asli di pergunungan hutan Thailand itu.
Pergaduhan antara buruh-buruh di Kem Konkuita dengan pengawal-pengawal Jepun kerana tidak sanggup melihat pesakit-pesakit masih dipaksa bekerja dalam keadaan hujan lebat, telah membuka ruang untuk Halimi melarikan diri.
"Pesakit-pesakit yang tidak mahu bekerja, muka mereka dipukul bertalu-talu dengan tapak kasut yang berladam paku bulat.
"Melihat keadaan itu, buruh-buruh lain membawa cangkul atau apa sahaja yang termampu memukul askar-askar tersebut tetapi menyebabkan mereka melepaskan tembakan ke arah kami.
"Bertempiaran kami semua memasuki perkampungan orang Siam yang berhampiran tetapi penduduk kampung tersebut tidak berani menerima kami. Kemudian, masing-masing berlari ke dalam hutan yang dipenuhi pokok buluh," katanya.
Pada ketika itu, kata Halimi, peluangnya hendak melarikan diri hampir tertutup selepas dia berjaya ditangkap oleh askar-askar Jepun.
Setelah diikat tangan pada sebatang pokok buluh, askar-askar tersebut meninggalkannya bersendirian untuk mengejar buruh-buruh lain.
Tambah Halimi, kesempatan itu digunakan untuk melepaskan diri daripada terikat pada pokok buluh itu.
Setelah berjaya, dia berlari sejauh yang mungkin ke dalam hutan tersebut supaya tidak dapat dikesan oleh askar-askar Jepun yang masih berkeliaran memburu buruh-buruh yang lari.
"Mujurlah, saya terlihat seorang perempuan kaum Karen sedang mengepit bakul sambil memotong rebung-rebung buluh dengan sebilah parang.
"Dengan pertolongan gadis itu, saya berjaya melepaskan diri daripada ditangkap semula.
"Walaupun pelbagai cabaran perlu diharungi untuk kembali ke Tanah Melayu, saya lebih rela mati di dalam hutan akibat kebuluran daripada mati menjadi buruh paksa askar Jepun," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: