BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Hampir 65 tahun berlalu, namun sehingga hari ini, Alias Ismail, 75, masih tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh arwah abangnya, Adam Ismail yang 'diculik' askar Jepun ketika dia berumur 19 tahun.
Daripada mata kasar, cerita Alias, tidak pula abangnya itu kelihatan trauma selepas berjaya melarikan diri daripada terus menjadi buruh paksa membina landasan kereta api maut di antara Thailand-Burma (kini Myanmar) semasa Perang Dunia Kedua dahulu.
Setelah kecederaan yang dialaminya pulih, Adam masih cekal meneruskan kehidupan seperti biasa seolah-olah dia tidak pernah melalui detik-detik hitam itu.
Namun Alias mengakui, jurang usia antara mereka yang hampir mencecah 10 tahun mungkin penyebab abangnya itu lebih rela menyembunyikan kedukaan di hatinya sahaja.
Tambahnya, walaupun baru berumur sembilan tahun ketika arwah abangnya ditangkap askar Jepun, namun kenangan itu masih utuh dalam ingatannya.
"Walaupun sedar tentera Jepun sentiasa meronda dan menangkap pemuda-pemuda di sekitar kampung, namun abang perlu keluar rumah untuk mendapatkan bekalan makanan yang semakin berkurangan.
"Apabila abang Adam tidak pulang ke rumah setelah keluar membeli barang-barang dapur, kami mengesyaki dia sudah ditangkap tentera Jepun dan tiada apa yang boleh kami lakukan kerana askar Jepun memang ganas pada masa itu," cerita Alias kepada wartawan S2 yang berkunjung ke rumahnya di Kampung Tualang. Temerloh baru-baru ini.
Alias yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Kereta Api Siam ke Burma 1942-1946 Malaysia itu berkata, kemunculan semula Adam dalam keadaan tidak terurus selepas hampir setahun menghilang sememangnya mengejutkan mereka sekeluarga.
"Walaupun kami gembira dengan kepulangannya tetapi pada masa sama kami berasa sayu apabila melihat keadaannya yang jauh berbeza sebelum dia ditangkap tentera Jepun.
"Bertambah sedih kami jadinya apabila abang Adam menceritakan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh buruh-buruh paksa lain yang diperlakukan seperti binatang," katanya yang tinggal bersama Adam sehingga akhir hayat abangnya itu.
Menurut cerita Adam, kata Alias, selepas ditangkap oleh askar Jepun mereka telah dibawa menaiki kereta api dari stesen Mentakab hingga ke Thailand.
Katanya, di situlah bermulanya seksaan fizikal dan mental yang terpaksa ditanggung buruh paksa dari Tanah Melayu.
"Bukan sahaja makanan dicatu, abang Adam juga berkata mereka sering saja dipukul tanpa belas ihsan, malah ada antara rakannya mati akibat kecederaan teruk selepas dibelasah askar Jepun.
"Tidak tahan diperlakukan begitu, abang Adam bersama lima buruh paksa lain yang berasal dari Pahang nekad melarikan diri daripada kekejaman tersebut biarpun terpaksa bersabung nyawa untuk menyelamatkan diri.
"Pada suatu malam sekitar pukul 2 pagi, abang Adam berkata mereka berjaya melarikan diri daripada pengawasan askar Jepun dan bersembunyi di dalam hutan untuk mengelakkan dikesan," kata Alias sambil mengesat air matanya.
Daripada cerita yang didengarinya itu, Alias berkata, mereka berenam terpaksa berjalan kaki selama enam bulan mengikut jalan hutan kerana bimbang terserempak dengan tentera Jepun.
Tambahnya, abangnya itu ada berkata yang mereka akan meminta belas ihsan daripada penduduk kampung yang ditemui dalam perjalanan bagi mendapatkan bekalan makanan.
"Walaupun pelbagai penderitaan yang terpaksa ditempuhi sepanjang menjadi pelarian, saya bersyukur mereka berenam dapat kembali ke kampung halaman masing-masing dalam keadaan selamat.
"Cuma yang saya kesalkan, abang Adam tidak berpeluang merasai pampasan yang dibayar kerajaan Jepun kepada penduduk Tanah Melayu yang dipaksa menjadi buruh membina landasan kereta api tersebut," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: