WAJAH anak Malaysia sungguh unik. Walaupun berbeza budaya dan latar belakang, ia tidak pernah dirasai. Beza dan istimewanya Malaysia boleh dilihat kepada tiga wajah artis yang dipilih khas sempena menyambut Hari Malaysia hari ini - bekas ratu cantik, model dan selebriti popular, Deborah Priya Henry atau Deborah, 27, Soo Wincci (Wincci), 26, dan Maya Karin Roelcke (Maya), 32.
Keunikan diwarisi anak watan sekarang berikutan perkahwinan campur menyebabkan kurang sesuai untuk menjurus seseorang individu dalam kelompok kaum, sebaliknya perubahan berlaku dalam masyarakat majmuk menjadikan kita bangsa Malaysia mutlak.
Kenyataan ini disokong Deborah yang juga pengacara rancangan bual bicara Bella disiarkan di ntv7.
Deborah turut mengharumkan nama negara apabila dipilih mewakili Malaysia di pertandingan Miss World 2007 dan menjadi antara 16 peserta terbaik.
Memiliki kebijaksanaan dan personaliti tinggi, Deborah berdarah kacukan India sebelah bapa dan Ireland (Ibu) dipilih pula mewakili negara di pertandingan Miss Universe 2011.
Akui Deborah, ada juga masyarakat di negara lain hidup dalam suasana majmuk, tetapi Malaysia sangat berbeza memandangkan budaya terbentuk menjadikan kita sangat berbeza.
“Keistimewaan latar berbeza ini mungkin tidak disedari masyarakat tempatan memandangkan kita hidup di dalamnya, tetapi ia sangat dikagumi orang luar yang datang ke sini dan melihatnya sendiri.
Keistimewaan inilah yang seharusnya kita pegang kuat.
“Bayangkan kita ada Cina peranakan yang hidup seperti Melayu, Serani yang lahir daripada perkahwinan campur dan masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak.
Melihat latar ini, adakah sesuai jika kita menggunakan kaum untuk menentukan apa bangsa kita.
Jadi, jawapan paling tepat untuk menerangkan siapa kita sebenarnya adalah satu Malaysia,” katanya.
Berketurunan India dan Ireland serta dilahirkan di tanah kelahiran ibunya, ada yang mendakwa semangat kebangsaan dan cintakan negara yang ada dalam diri Deborah kurang tebal.
Hal ini disangkal Deborah yang kini sibuk menjelajah beberapa negara Asia bagi mengacarakan rancangan travelog mengenai perkahwinan dan bakal disiarkan di rangkaian televisyen berbayar Unifi, Travel Channel.
Katanya, cinta pada negara ini tidak berbelah bagi dan menilai semangatnya hanya melihat latar belakang adalah jumud. Apatah lagi sebahagian besar hayatnya di sini.
“Sepanjang mewakili negara di pertandingan Miss World dan Miss Universe, penganjur atau pengacara memanggil saya dengan panggilan Malaysia. Bangganya saya apabila orang memanggil saya Miss Malaysia. Ia tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.
Bulu roma saya tegak dan air mata bertakung kerana terlalu bangga.
“Waktu sama, saya dapat merasai semangat cintakan negara daripada semua orang di Malaysia tanpa mengira latar belakang. Saya bertuah kerana dapat merasai semangat itu dan pastinya ia terpahat kuat dalam jiwa sehingga ke akhir hayat,” katanya.
Hargai bakat tempatan
SEBAGAI pelakon, Maya Karin mengharumkan nama Malaysia di mata dunia apabila menang Aktres Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke 49 (FFAP49) di Fukuoka, Jepun dan Festival Filem Seram dan Fantasi Estepona, Malaga, Sepanyol.
Kejayaan ini membuktikan bakat seni anak tempatan setaraf dengan pengkarya luar, tetapi ia belum cukup untuk meyakinkan sesetengah pihak kerana ada yang masih mengagungkan pelakon dan filem luar berbanding karya anak tempatan.
Maya akui, kebanyakan kita mempunyai sifat rendah diri yang tebal, tetapi tidak perlu sampai tidak berbangga dengan bakat dimiliki anak tempatan.
“Sesetengah pihak suka membandingkan filem tempatan dengan karya luar. Lebih menyedihkan, mereka menyatakan filem yang dihasilkan orang luar jauh lebih baik. Mengapa kita harus berfikiran begitu?
“Kita harus berbangga dengan apa yang kita ada. Pada saya, ia sangat penting kerana ia membantu membentuk jati diri sebagai anak Malaysia. Malah, filem mencerminkan budaya sesuatu bangsa dan pastinya kita lebih kenal apa yang dipersembahkan orang kita.
“Banyak juga kejayaan diraih pembikin filem tempatan di majlis anugerah filem besar di serata dunia. Kalau hendak dinilai, kebanyakannya bukan filem bajet besar.
“Namun, juri nampak keistimewaan ditonjolkan. Bagi mereka, apa yang cuba kita persembahkan dalam kebanyakan filem dihasilkan anak tempatan unik dan tersendiri,” katanya.
Maya yang giat dengan kerja-kerja menjaga alam sekitar, bangga kerana Malaysia mempunyai keindahan pulau dan pantai yang tiada tandingnya sehingga disenaraikan antara 10 terbaik di dunia seperti Pulau Redang dan Perhentian.
Kehijauan hutan hujan tropika kaya dengan flora dan fauna menjadikan Malaysia menjadi tumpuan pengkaji daripada seluruh dunia.
Bahasa menunjukkan bangsa
APABILA Soo Wincci mengambil keputusan menghasilkan single dalam bahasa Melayu, ramai meluahkan rasa hairan, apatah lagi namanya dalam industri muzik Kantonis sudah kukuh dengan tiga album.
Wincci yang mula menjadi perhatian selepas menjayakan program Masterchef Selebriti, menjadi contoh terbaik untuk melihat bagaimana perkongsian budaya berlaku di kalangan masyarakat negara ini.
Sewaktu umat Islam berpuasa sepanjang Ramadan lalu, dia turut berpuasa genap sebulan.
Malah, Wincci turut berpuasa enam bagi mengikut rakan Islam melaksanakan ibadat sunat itu sepanjang Syawal.
Katanya, sewaktu menjayakan persembahan di Taiwan barubaru ini, Wincci memilih single Melayu pertamanya, Terus Teranglah dan ramai bertanya mengapa dia memilih lagu Melayu.
“Jawapan saya mudah.
Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan Malaysia dan saya orang Malaysia. Saya bangga dengan negara saya. Menyanyikan lagu Melayu adalah satu cara untuk saya menunjukkan betapa cintanya saya pada negara ini.
“Saya tidak faham mengapa ada orang malu dengan lagu Melayu. Kalau Korea berjaya mengembangkan empayar muzik K-Pop, mengapa tidak kita melakukan perkara sama?
Kita juga ada M-Pop.
Saya tidak faham mengapa orang tidak mahu menggunakan bahasa kebangsaan kerana bahasa menunjukkan bangsa,” katanya bersungguh-sungguh.
Ketika menyertai pertandingan ratu cantik Miss World 2008, Wincci mengakui sangat berbangga apabila sebahagian besar peserta kenal Malaysia. Katanya, ia secara langsung menunjukkan negara kita dipandang tinggi masyarakat luar.
Bahasa menunjukkan bangsa “Sewaktu melanjutkan pelajaran di University of Reading, United Kingdom, pada awalnya ramai tidak tahu di mana Malaysia tetapi sekarang, orang mula buka mata.
“Saya menjelajah banyak negara dan melihat tempat orang, tetapi ibarat kata pepatah, hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, lebih baik negara sendiri.
“Saya tidak dapat membayangkan bagaimana saya dapat hidup di negara luar selain dari Malaysia,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: