DALAM rumah tangga, masyarakat selalu bersikap negatif terhadap suami. Sebab di kaca mata manusia, lelaki mempunyai peratusan lebih untuk tidak bertanggungjawab terhadap rumah tangga.
Tanggapan masyarakat terhadap keburukan suami turut meletakkan mereka sebagai insan paling tidak disukai oleh wanita dalam rumah tangga disebabkan sikap mereka yang tidak melayan isteri dengan baik.
Namun tidak semua lelaki bersikap begitu, ada juga yang baik hati dan melaksanakan tanggungjawab tanpa berbelah bahagi, sayangkan isteri dan menghargai setiap pengorbanan yang isteri telah lakukan.
Lelaki bernama suami yang seperti ini adalah hero di hati isteri yang bahagia hidup bersama mereka. Namun tidak semua lelaki bernasib baik dapat isteri yang baik hati, penyayang dan menjadi isteri solehah. Beruntung mereka yang memperoleh isteri seperti itu kerana pastinya hidup mereka dilimpah rahmat berganda oleh Allah SWT.
Selalu kita didedahkan dengan cerita suami yang lalai dan menganiaya isteri dan anak-anak. Tapi kali ini saya terpanggil memaparkan kisah yang berlainan daripada biasa, pengakuan ikhlas seorang suami yang bertindak melepaskan isteri kesayangannya kerana sikap isteri yang tidak mendengar kata dan ingkar kepada perintahnya.
Biarpun hati masih sayang namun kerana terpaksa dan tidak mahu terus menanggung dosa, tindakan terpaksa diambil demi menyelamatkan maruah dan masa depan anak-anak.
Kepada saya lelaki ini yang mahu dikenali sebagai Zek (bukan nama sebenar) berkongsi cerita sedihnya sebagai pengajaran buat isteri di luar sana yang masih keliru tentang tanggungjawab dan status mereka.
Kata Zek, bersosial tidak salah tetapi maruah suami perlu dijaga agar suami tidak dilabel sebagai dayus.
Begini cerita Zek.
"Saya berusia awal 30-an, bekerja di sebuah bank. Isteri saya Nani (bukan nama sebenar) bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah hotel berusia 28 tahun.
"Kami bernikah empat tahun lalu setelah berkenalan selama tiga tahun di universiti. Perkahwinan kami direstui keluarga kedua-dua pihak.
"Sejak zaman anak dara, isteri seorang yang bergaya. Dia mencuba apa sahaja fesyen yang disukainya walaupun ia menjolok mata asalkan dia suka dan nampak cantik apabila digayakannya.
Apabila berkahwin, saya menegurnya dan minta dia berubah terutama dalam soal berpakaian. Tapi dia menolak dengan alasan dia perlu menjaga penampilan agar klien tidak lari.
"Seperkara lagi katanya, kerja di hotel memerlukan komitmen yang tinggi, ertinya bila-bila masa diperlukan mereka harus bersedia untuk dipanggil tidak kira siang atau malam.
"Saya faham tugasnya, tetapi sebagai suami saya ada hak untuk menegurnya terutama tentang pakaian, kerja dan pergaulannya yang pada saya agak keterlaluan.
"Malah setelah kami bernikah, Nani berjanji akan berubah dan kalau perlu mencari kerja lain yang sesuai dengan statusnya sebagai isteri. Malangnya dia tidak berbuat demikian.
"Hasil pernikahan kami dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia dua tahun. Saya berharap kelahiran anak akan merubah sikap Nani terhadap rumah tangga.
"Sayangnya setelah anak kami berusia dua tahun, saya tidak nampak perubahan yang dijanjikan Nani. Dia langsung tidak ambil kisah dengan anak kami.
"Semua kerja rumah diserahkan kepada pembantu yang menguruskan A hingga Z. Bukan setakat menjaga anak kami malah memasak, mengemas dan pakaian saya semuanya pembantu rumah yang lakukan.
"Saya berkali-kali minta dia berikan sedikit tumpuan terhadap anak dan rumah tangga dengan baik. Pujukan saya semuanya tidak menjadi kerana Nani beranggapan saya cuba mengongkong kehidupannya.
"Katanya dia tahu apa yang dia lakukan dan saya tidak boleh campur dalam urusan kerjanya. Tapi apakah saya sebagai suami boleh duduk diam apabila setiap hari melihat isteri ke hulu ke hilir bersama lelaki lain untuk urusan kerja.
"Kalau setakat siang hari, bagi saya tidak ada masalah tetapi ini kadang-kala sampai ke pagi baru balik. Sudahlah begitu ada masanya dihantar oleh lelaki yang berlainan.
"Jika ditanya, jawabnya teman sekerja, klien, kawan dan macam-macam lagi. Sekali dua saya boleh sabar tetapi jika sudah macam jadi satu amalan tentu saya juga syak sesuatu yang tidak kena.
"Siasat punya siasat akhirnya saya dapat tahu isteri sudah menjalin cinta dengan seorang lelaki asing yang bertugas di hotel tersebut. Mereka bertugas di jabatan yang sama.
"Hubungan mereka menjadi bualan warga kerja hotel tersebut. Rupanya sudah lama hubungan mereka terjalin, saya yang tidak tahu kerana telalu percayakan isteri.
"Ibu saya juga marahkan saya sebab terlalu percayakan isteri dan langsung tidak mengambil tahu pergerakannya. Saya menjadi serba salah. Setiap kali ibu saya datang ke rumah, Nani tidak balik dengan alasan kerja banyak dan terpaksa tidur di hotel.
"Saya tahu dia beri alasan itu kerana tidak mahu bertembung dengan ibu saya yang selalu menegur perangainya yang tidak mengutamakan rumah tangga.
"Saya tidak pernah putus asa untuk mengajak Nani kembali ke pangkal jalan. Saya boleh maafkan dia jika dia mahu berubah tetapi masalahnya sekarang, Nani yang tidak dapat menerima teguran.
"Dia langsung tidak menurut kata saya sebagai suami, malahan sanggup bertikam lidah dengan saya apabila kisahnya saya ungkit. Akhirnya saya tidak ada pilihan melainkan bersemuka dengan kekasihnya itu.
"Biasalah orang tengah mabuk cinta, yang masin pun dikatakan manis. Di hadapan lelaki itu, Nani bukan mempertahankan saya tetapi membela kekasihnya itu.
"Katanya dia bosan hidup bersama saya yang selalu mengongkong hidupnya. Dia mengaku tidak serasi dengan saya dan mahu dilepaskan.
"Kata-katanya itu menjadikan saya kecewa. Kenangan manis bersama ketika kami mula-mula kahwin dulu terbayang depan mata. Tapi saya pujuk hati, mungkin jodoh kami hanya setakat ini sahaja.
"Demi maruah, saya jatuhkan talak satu kepada Nani bersaksikan ibu bapanya dan ibu bapa saya. Saya tidak ada pilihan. Jika saya biarkan dia akan terus bergelumang dengan dosa.
"Anak saya yang jaga sebab Nani tidak mahu menjaganya. Selalunya kita tahu seorang ibu akan mempertahankan anaknya dengan apa cara sekalipun tetapi tidak bagi Nani. Dia tidak mahu menjaga anak kami dengan alasan sibuk dan tidak ada masa.
Apa pun itu semua sudah berlalu. Kini saya bahagia dengan kehidupan saya bersama anak lelaki kami. Saya menjaganya sendiri. Dalam usia dua tahun, dia bijak membawa diri tanpa ibunya yang tidak pernah menjengahnya.
"Siang saya hantar ke tadika dan sebelah petangnya saya jemput. Mujur saya tidak ada kerja luar. Walaupun ibu minta untuk menjaganya, namun saya tidak akan benarkan, sebab susah macam mana sekalipun saya akan membesarkan anak saya sendiri.
"Soal mencari pengganti bukan masanya sekarang. Saya mahu tumpukan perhatian terhadap kerjaya dan anak kami. Biarlah saya susah tetapi anak mendapat kasih sayang secukupnya.
"Semoga Allah beri saya kekuatan untuk terus hidup dan menjaga anak saya hingga dewasa. Saya nasihatkan para suami supaya bertegas dengan isteri.
"Jangan manjakan isteri keterlaluan kerana apabila sudah terlambat, kita tidak ada pilihan, sama ada memendam rasa atau melepaskan mereka. Apa yang berlaku adalah pengajaran yang amat berharga untuk saya. Saya doakan kebahagiaan dia. Amin," Zek menamatkan cerita.
Terkedu saya seketika setelah Zek selesai mencurahkan perasaannya. Memang saya bangga dan kagum dengan Zek yang sanggup bertindak bukan sahaja untuk kepentingan dirinya tetapi menjadi contoh kepada pasangan suami isteri lain yang mana rumah tangga mereka sedang dilambung ombak.
Iktibar daripada kisah ini adalah seorang isteri perlu tahu batas sempadan tugasnya semasa di luar rumah dan statusnya sebagai isteri dan ibu. Tanggungjawab hakiki sebagai isteri dan ibu hendaklah didulukan agar rumah tangga sentiasa terpelihara.
Dalam hubungan ini, persefahaman antara suami isteri amat penting. Jangan ambil kesempatan di atas kebaikan suami, sebaliknya sentiasa patuh dan taat dengan suami bagi mendapatkan keberkatan hidup.
Menamatkan catatan, pesanan saya, jangan terlalu bersedih atas apa yang telah hilang daripadamu, tetapi bergembiralah dengan apa yang bakal datang kepadamu.
Salam
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: