HAKIKATNYA bukan mudah menghasilkan hidangan yang sedap tanpa bakat, ilmu, pengalaman dan keikhlasan pada si tukang masak.
Walaupun menggunakan bahan, resipi dan kaedah yang sama, tetapi ia tidak akan dapat menghasilkan rasa yang sama kerana penangan air tangan juga penting.
Demikian ujar Chef Zainal Mohd. Saad, 50, yang ditemui selepas pelancaran Central Kitchen Katering Cita Rasa Chef Zainal (KCCZ) yang terletak di Spring Ville, Ukay Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Chef Zainal yang pernah muncul dalam rancangan Masterchef Selebriti bersama Soo Wincci, telah berkhidmat di Hotel Merlin dan Hotel Federal di Kuala Lumpur serta Hotel Awana Porto Malai Langkawi sejak berkecimpung secara serius dalam bidang masakan.
Selain itu, dia pernah berkhidmat dengan Chef Ismail di Restoran Rebung. Selepas sekian lama menimba ilmu, dia akhirnya memilih untuk menjalankan perniagaan sendiri.
Chef Zainal bergelar chef pada usia sembilan tahun berkata, dia memang suka ikut ibu angkat memasak untuk kenduri di kampung.
"Satu hari, ketika umur saya sembilan tahun saya curi-curi buat kek pisang, kek pisang itu saya siap tambah kacang tumbuk dan tak sangka jadi sedap.
"Kemudian saya cuba buat rendang tok resipi opah saya. Semuanya bermula pada usia sembilan tahun," ujar Chef Zainal yang berasal dari Sungai Siput, Perak.
Menyelusuri perjalanan hidup Chef Zainal, dia sejujurnya mengakui tidak mempunyai sebarang pendidikan formal dalam bidang masakan. Ilmu memasak yang ada padanya dikumpul menerusi pengalaman kerja dan sifat dirinya yang tidak pernah malu bertanya.
"Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya datang ke Kuala Lumpur dan duduk dengan kakak. Kerja pertama saya ialah di bahagian dapur di KFC Sungai Wang.
"Kemudian saya memberanikan diri kerja di dapur hotel dan bertukar-tukar hotel. Dalam pada itu saya belajar juga menerusi Internet, ikut kawan-kawan seperti Chef Zam dan pernah juga bekerja di sebuah restoran Cina dengan gaji yang sedikit semata-mata untuk mempelajari tentang masakan Cina," ujarnya yang kini menjalankan perniagaan katering bersama rakannya, Akram Ibrahim.
Chef Zainal juga pernah menjadi tukang masak peribadi seorang jutawan di Sri Hartamas. Tugasnya ialah memasak untuk tiga orang anak jutawan tersebut.
"Pada mulanya saya memang berbelah bagi. Tetapi jutawan tersebut bersungguh-sungguh menawarkan pekerjaan tersebut kepada saya. Dengan gaji yang dinaikkan ke RM6,000, saya menerima tawaran tersebut.
"Setelah berkhidmat beberapa tahun di sana, saya akhirnya dapat mengumpul modal memulakan perniagaan katering ini bersama Akram," ujar bapa kepada dua anak perempuan berusia 20 dan 14 tahun itu.
Perniagaan katering yang diberi nama KCCZ itu mampu menyediakan masakan untuk 3,000 hingga 5,000 orang serentak.
"Memasaki memang kena berseni. Lain orang masak, lain rasanya. Sedap itu dinilai dari bakat dan air tangan masing-masing.
"Insya-Allah saya akan turut menghasilkan buku masakan tradisional cara mudah. Ini semua atas kesedaran untuk mengajak golongan muda mengenali dan mampu masak sendiri di rumah," jelasnya yang diberi kepercayaan memasak untuk pemain bola sepak Manchester City dan Arsenal yang bertandang ke Malaysia baru-baru ini.
Memegang prinsip bukan senang nak senang, Chef Zainal yang pakar dalam penyediaan masakan Cina dan Barat juga dalam perancangan membuka cawangan Central Kitchennya yang kedua di Seri Kembangan, Selangor selepas hari raya ini.
Chef OKU
Chef Zainal kehilangan sebelah pandangan mata selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya kira-kira 10 tahun yang lalu di Bukit Beruntung, Selangor.
"Selepas bercerai saya agak tertekan apabila terjadi kes perebutan anak. Dalam kemalangan tersebut saya sebenarnya cuba mengelakkan seorang wanita yang mendukung anak melintas jalan secara tiba-tiba pada pukul tiga pagi. Mata saya terhantuk pada bahagian stereng dan menyebabkan retina rosak.
"Doktor kata ia tidak boleh pulih kecuali dengan pemindahan mata dari seorang individu hidup. Sejak mata kiri saya buta, saya mengambil masa selama setahun untuk menyesuaikan pandangan. Alhamdulillah walaupun sebelah mata saja berfungsi saya boleh meneruskan cita-cita dengan sempurna, insya-Allah," jelasnya.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang KCCZ, boleh menghubungi talian 03-41647324.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: