KALAU dah jodoh, tak ke mana, itu antara kata bidalan. Ia sesuai dikaitkan dengan pasangan suami isteri ini yang tidak menyangka pertemuan tanpa dirancang lebih tiga tahun lalu telah memateri kasih sejati sehingga membawa kehidupan penuh harmoni.
Begitulah kisah menarik atlet angkat berat kebangsaan, Mohd. Faiz Musa, 23, bersama pasangannya, Azita Aziz, 24, dari Kampung Datuk Sheikh Ahmad, Beseri, Padang Besar, Perlis. Mereka membuktikan ungkapan itu ada kebenarannya.
Menceritakan detik manis pertemuan dengan isteri tercinta, Mohd. Faiz yang pernah mengharumkan nama negara dalam sukan angkat berat kategori 94 kilogram termasuk memenangi pingat perak Sukan SEA Laos 2009 dan pingat emas Sukan Komanwel Junior 2008 di Cyprus memberitahu, segala-galanya tidak dirancang.
Katanya, ia bermula dengan kunjungan sempena Hari Raya Aidilfitri ke rumah Azita pada tahun 2008.
"Saya berhari raya ke rumah Azita kerana kebetulan kakaknya, Habrina adalah rakan sekolah saya dan mempunyai aktiviti yang sama dengan saya dalam kumpulan pengakap. Memang saya tak pernah mengenali isteri saya ketika itu.
"Sewaktu berhari raya, saya terpandang Azita tetapi tidaklah pula sehingga dibuai perasaan, cuma melihat begitu sahaja, maklumlah mungkin kemeriahan hari raya mengatasi segalanya," katanya.
Bagaimanapun, jelas Mohd. Faiz, selepas kunjungan tersebut iaitu dalam minggu hari raya itu juga, kakak Azita meminta supaya dia membantu adiknya menghantar permohonan jawatan sebagai guru sandaran kerana kebetulan bapanya, Musa Nayan berkhidmat di Jabatan Pelajaran Negeri Perlis.
"Kebetulan butir-butir permohonan Azita tercatat nombor telefonnya, jadi tahulah bagaimana hendak saya hubunginya. Kemudian saya bawa dia ke tempat temu duga walaupun kami tidak banyak bercakap ketika itu tetapi saya dapat rasai bahawa kami sudah mulai rapat.
"Ini ditambah pula usaha daripada kakak Azita yang terus memujuk kami supaya menjalin ikatan," kata Mohd. Faiz sambil ketawa mengenangkan saat-saat manis tersebut.
Mendengar kisah tersebut, Azita terus mencelah dengan menyatakan pada ketika itu, dia langsung tidak meminati Mohd. Faiz yang dikenalinya sebagai atlet angkat berat.
"Memang saya bukan peminatnya, malah saya tidak suka melihat atlet angkat berat dengan susuk badan besar dan tegap," usik Azita sambil menjeling Mohd. Faiz di sebelahnya.
Namun, Azita mengakui bahawa sekuat mana pun perasaannya tidak meminati Mohd. Faiz, selembut itu pula hatinya menerima lamaran pemuda tersebut sehinggalah mereka mengambil keputusan berkahwin pada 2010.
"Sejak 2008, kakak terus pujuk saya terima Mohd. Faiz. Selepas kenal rapat, akhirnya saya akur dia insan yang penyayang, jujur dan bertanggungjawab dan mula mendapat tempat dalam hati saya," katanya.
Apatah lagi disusuli dengan kehadiran cahaya mata, Aqaef Fathullah, 2, menambah seri keluarga kami yang sememangnya bahagia.
Mohd. Faiz yang tersenyum mendengar celoteh isterinya berkata, sewaktu mulai rapat dengan isterinya dahulu, dia tidak mempunyai banyak masa untuk keluar bersama atau 'berdating' sebagaimana orang lain.
"Boleh dikatakan 'dating' pertama saya ialah ketika membawa Azita ke tempat temu duga. Banyak kisah cinta kami selepas berkahwin, itulah uniknya hubungan kami.
"Lebih manis, hubungan tambah erat, siapa sangka kami kini berkhidmat di bawah satu bumbung sebagai kakitangan UniMAP (Universiti Malaysia Perlis)," tambahnya.
Menurut Mohd. Faiz, walaupun bergelar atlet, isterinya tiada masalah khususnya dalam penyediaan makanan kesihatan, vitamin atau suplemen kerana ia disediakan sendiri olehnya.
"Isteri saya pun tahu saya tidak cerewet tentang makanan, malah penyediaan makanan kesihatan dan sebagainya dibuat sendiri khususnya pada saat-saat menghadapi kejohanan," ujarnya.
Diaju soalan kepada Azita adakah sampai kini dia masih tidak meminati bidang sukan yang diceburi suaminya, Azita menjelaskan, hubungan suami isteri menjadi pendorong kepadanya dalam membakar semangat Mohd. Faiz agar dia berjaya dalam setiap kejohanan yang disertainya.
"Kalau dulu saya mungkin tidak peduli tentang sukan ini, tetapi kini saya jadi orang pertama beri dorongan setiap kali dia bertanding tidak kira peringkat apa sekalipun.
"Malah, saya harap biarlah dunianya (angkat berat) merapatkan lagi hubungan kami suami isteri," tegasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: