Wednesday, September 12, 2012

Pelajar SMAP Kajang, sekolah Jepun kongsi idea sains teknologi

Pelajar SMAP Kajang berinteraksi dengan delegasi dari Mukogawa Women's University High School, Jepun yang melawat sekolah itu di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Buat kali kedua berturut-turut, Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang menerima kunjungan delegasi Mukogawa Women's University High School dari Hyogo, Jepun, baru-baru ini.

Pengetua SMAP Kajang, Sakijan Muri berkata, jalinan yang mula terbentuk pada tahun lalu itu menjurus kepada perkongsian pintar tentang sains serta teknologi melibatkan kedua-dua institusi dari Malaysia dan Jepun.

"Melalui program seperti ini, pelajar kedua-dua negara juga dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi serta berinteraksi menggunakan bahasa Jepun dan bahasa Inggeris," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Dalam pada itu, menurut Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pengurusan Akademik, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran, Izzudin Ibrahim, program berkenaan diadakan sebagai aktiviti pengukuhan ko- akademik bahasa Jepun yang diajar di sekolah tersebut.

"Pengalaman serta kecemerlangan sekolah Jepun itu diharap dapat dipelajari dan dijadikan contoh oleh SMAP Kajang untuk lebih cemerlang sebagai sekolah berasrama penuh bertaraf Sekolah Kluster Kecemerlangan," tegasnya.

Sepanjang tempoh lawatan selama tiga hari itu, pelajar SMAP Kajang telah menyampaikan pembentangan, tayangan serta pameran sampel getah dan produk-produk daripada getah.

Manakala pelajar Jepun pula membuat pembentangan tentang negara dan senario kehidupan di sekolah mereka.

Selain itu, delegasi Jepun itu turut didedahkan dengan makanan tempatan, pakaian baju kurung, permainan tradisional dan demonstrasi menganyam ketupat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: