SITUASI PERTAMA: Masliana (bukan nama sebenar), mempunyai berat badan
dalam lingkungan 40 kilogram dan mahu kekalkan berat badan itu.
Merasakan nasi penyebab utama kepada 'kegemukan', andai 'termakan'
menu ruji itu, akan menyebabkan Masliana terus menuju ke biliknya untuk
bersenam sehinggalah berasa puas.
SITUASI KEDUA: Impian sejak kecil untuk menjadi model menyebabkan
Farina (bukan nama sebenar) sentiasa menjaga penampilan, melihat cermin,
menimbang berat badan dan merungut sekiranya berat badan naik sedikit.
Walhal, tambahan berat badan itu tidaklah sebanyak mana, namun ia
tetap menghantui Farina. Merasakan dirinya 'gemuk', dia mula mengelak
makan malam atas alasan: "saya tidak lapar."
Alasan dan senario sebegini, bukanlah baru dalam kalangan wanita muda
bekerjaya serta remaja perempuan yang mula meningkat dewasa. Apa sahaja
berkaitan kecantikan, semua dijadikan keutamaan.
Tidak salah untuk kelihatan anggun. Namun, bertindak sebaliknya
dengan merasakan diri berhadapan masalah berat badan, biarpun hakikat
sebenarnya tidak sepertimana yang difikirkan adalah tidak boleh
dipandang ringan.
Ini sekali gus menunjukkan budaya pemakanan dan diet seimbang dalam
masyarakat negara ini masih dipandang ringan, hanya semata-mata mahu
kelihatan kurus serta cantik.
Dirujuk sebagai masalah 'imej badan', golongan wanita dikenal pasti lebih cenderung menghadapi masalah ini berbanding lelaki.
Mulanya tidak mahu mengambil sarapan pagi, kemudian tengah hari dan
seterusnya malam. Ada segelintir wanita yang berhadapan dengan masalah
psikologi ini berasa puas sekadar mengisi perutnya dengan sebiji epal.
Semuanya kerana satu - mahu kurus.
Bagi mereka, seseorang wanita itu akan kelihatan cantik sekiranya
memiliki bentuk badan persis model. Disebabkan itulah, ramai sanggup
melakukan apa sahaja bagi mendapatkan potongan badan menawan,
termasuklah melakukan pembedahan.
Cantik selalunya merujuk kepada bentuk badan kurus atau langsing
selain daripada paras rupa menawan. Ini menyebabkan kebanyakan wanita
terlalu mengambil berat perihal berat badan mereka.
Walhal, konsep kecantikan itu sebenarnya luas pemahamannya. Tidak sekadar berlandaskan pemikiran sempit itu sahaja.
Menurut Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr. Tee E Siong, di
sebalik pengaruh gemerlapan bintang fesyen dan hiburan, masalah obesiti
turut dikenal pasti menyumbang kepada pencarian imej tubuh unggul dalam
kalangan wanita.
Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan kadar
peningkatan obesiti di negara adalah daripada 14 peratus pada 2006
kepada 15.1 peratus pada 2011. Ini menyebabkan ada antara wanita terlalu
takut dilabelkan golongan 'obes' sehingga menjaga pemakanan secara
keterlaluan.
"Apabila bercerita mengenai obesiti, saya harus berhati-hati kerana
ada kemungkinan orang salah faham. Mereka jadi terlalu takut sehingga
tidak mahu makan, sentiasa amalkan diet keterlaluan walaupun mereka
sebenarnya sudah kurus.
"Ini juga mungkin terjadi kerana penekanan keterlaluan yang diberikan
kepada masalah ini (obesiti) tanpa kita sedari konsep makanan seimbang
dilupakan semata-mata kerana ingin kelihatan kurus," katanya.
Ini termasuklah, pengambilan nasi seharusnya dielakkan kerana makanan
karbohidrat itu kononnya berpotensi menggemukkan atau meningkatkan
berat badan seseorang.
Menyangkal andaian itu, Dr. Tee menjelaskan, ramai orang salah faham.
Sebenarnya, nasi tidak akan menjadikan anda gemuk. Semuanya bergantung
kepada kuantiti pengambilannya. Kalau diambil dalam kuantiti kecil atau
sederhana, ia tidak akan menjadikan kita gemuk.
"Asalkan kita bergerak, kalori itu akan hilang apabila digunakan.
Jadi tidak perlu terlalu risau sehingga tidak makan satu-satu jenis
makanan langsung dan ini akan menyebabkan anda kehilangan zat penting
seperti vitamin B," katanya.
Apatah lagi dalam piramid makanan, panduan mencapai diet sihat
menunjukkan nasi berada di tangga paling bawah sekali, oleh itu ia perlu
diambil dalam kuantiti secukupnya.
Selain pengambilan nasi dielakkan, golongan yang menggilai kecantikan
bentuk badan sanggup mengikat perut agak keterlaluan sehingga
menjejaskan pemakanan sihat.
Ini termasuklah mereka yang sememangnya sudah kurus tetapi merasakan dirinya gemuk.
Diklasifikasikan sebagai penyakit berpunca daripada pelbagai faktor
dan pengaruh emosi, gangguan makan biasanya disebabkan oleh kurang harga
diri dan keyakinan terhadap paras rupa serta penampilan diri.
Terdapat beberapa jenis gangguan makan, namun umum lebih mengenali anoreksia nervosa dan bulimia, akibat daripada tindakan keterlaluan dalam penjagaan berat badan.
"Ada wanita sanggup makan seperti biasa, atau makan lebih banyak
daripada biasa tetapi akan mengeluarkan semula makanan dimakan sama ada
dengan memuntahkannya secara sengaja atau menggunakan julap. Ini
dipanggil bulimia.
"Terdapat juga wanita yang mengurangkan makan, atau terlalu kuat
bersenam mahupun tidak makan langsung ekoran merasakan pengambilan
sedikit makanan boleh menimbulkan kebimbangan, ini dipanggil anoreksia nervosa," katanya.
Jelasnya, inilah masalahnya. Bagi mereka kurus adalah untuk cantik,
bukannya untuk kesihatan. Apabila tidak makan atau memuntahkan balik apa
yang dimakan, mereka bukan sahaja tidak cukup nutrien, mineral malah
protein pun langsung tidak dapat diserap.
Dr. Tee berkata, badan kita memerlukan nutrien setiap hari untuk
proses pertumbuhan, mengekalkan atau menukar tisu lama. Bagi kanak-kanak
ia penting untuk proses pertumbuhan.
Pengambilan nutrien mencukupi juga amat penting bagi orang dewasa.
Ini membolehkan penukaran tisu dibuat bagi membantu seseorang itu
menjalani kehidupan seharian seperti berfikir, bekerja dengan lebih
bertenaga.
Harus diingat kekurangan nutrien yang teruk dalam jangka panjang boleh membawa maut, jelas Dr. Tee.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: