Mohd. Sayuti Mohd. Zahit berbangga dengan kedai basikal miliknya.
Ini kerana basikal merupakan pengangkutan yang amat diminatinya sejak kecil selain turut terlibat secara langsung dalam bidang tersebut.
Pernah mewakili negara dalam apa jua pertandingan sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa, kelibatnya juga sering ditunggu-tunggu peminat sukan berbasikal tanah air.
Itulah pengalaman manis dan paling bermakna bagi anak muda kelahiran Pasir Puteh, Kelantan ini sepanjang bergelar pelumba negara.
Kini setelah tidak lagi aktif di dalam sukan tersebut sejak tahun 2008, Mohd. Sayuti Mohd. Zahit, mengambil keputusan untuk meneruskan minatnya itu dengan melibatkan diri dalam dunia perniagaan.
Tanpa perlu berfikir panjang, Mohd. Sayuti atau lebih mesra disapa Sayuti telah membuka sebuah kedai basikal yang terletak di No. 60, Jalan SS 15/4, Subang Jaya, Selangor. Kedai basikalnya itu menawarkan pelbagai jenis basikal sama ada untuk golongan profesional mahupun amatur.
Baru sahaja mengendalikan perniagaannya setahun yang lalu, ujar Sayuti, keputusan yang diambilnya itu merupakan pilihan yang tepat memandangkan dia sendiri mempunyai kemahiran serta kepakaran dan tidak salah sekiranya dikongsi bersama.
"Bidang yang diceburi ini merupakan sudah sebati dengan jiwa saya.
"Daripada ia terbiar terkubur begitu sahaja apa salahnya saya berkongsi minat dengan mereka yang juga minat menunggang basikal atau apa sahaja berkaitan pengangkutan beroda dua itu.
"Sekurang-kurangnya apa juga ilmu dan pengalaman yang saya ada boleh dikongsi bersama," katanya ketika ditemui di premis perniagaannya, baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, sejak kedainya, Biketech Subang dibuka, sambutan yang diterima amat menggalakkan.
Malah, selain mempunyai pelanggan tetap dari seluruh negara, pelanggannya juga terdiri daripada mereka yang tinggal di sekitar kawasan Shah Alam, USJ, Sunway, Bukit Jelutong dan luar negara.
Jelas bekas pelumba kebangsaan ini lagi, kedainya bukan semata-mata menjual basikal malah turut menawarkan pelbagai jenis aksesori basikal seperti sarung tangan, bekas air, topi, baju serta seluar dan pelbagai lagi.
Selain itu jelas Sayuti lagi, pihaknya turut memberikan perkhidmatan mencuci basikal di samping khidmat nasihat kepada mereka yang memerlukan.
Dia yang dibantu dua orang pekerja lagi turut memberitahu segala barangan yang terdapat di dalam kedainya itu ada yang diimport dan juga produk tempatan.
Yang pasti, jelas anak muda ini, segala yang dijual di kedainya merupakan barang yang berkualiti.
Bagaimanapun, Sayuti dilihat tidak mampu melupakan terus aktiviti tersebut.
Ini dapat dilihat apabila dia menganggotai Kelab Basikal Bukit Jelutong dan kadang kala turut sama mengikuti aktiviti berbasikal ke mana-mana sahaja yang dianjurkan persatuan tertentu.
Berbicara lanjut mengenai hala tuju perniagaannya itu, menurut Sayuti, walaupun kedainya baru setahun jagung dibuka, dia sudah mempunyai perancangan yang lebih besar.
Selain ingin mengembangkan lagi perniagaannya, Sayuti bercita-cita ingin menjadi pengedar basikal dan peralatannya.
"Apa yang dicita-citakan ini memerlukan perancangan yang rapi selain memerlukan masa yang panjang.
"Ini kerana selain memerlukan modal yang besar, kita juga perlu membuktikan terlebih dahulu kemampuan di dalam bidang ini.
"Insya-Allah, sekiranya ada rezeki apa yang dicita-citakan ini akan menjadi kenyataan satu hari kelak," katanya sebelum mengakhiri bicara.
Bagi mereka yang ingin melihat dengan lebih dekat produk-produk basikal yang ditawarkan Sayuti bolehlah mengunjungi premis perniagaannya yang dibuka setiap hari kecuali hari Isnin bermula 10.30 pagi hingga 8.30 malam (Ahad mula beroperasi pada pukul 12 tengah hari hingga 8.30 malam).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: