Sunday, September 23, 2012

Jaga keselamatan

TAJUKNYA saja sudah membawa ke isi penting. Memanglah tiada apa yang pelik kaitan wanita dan bank zaman ini.
Tapi jika anda berhenti sejenak dan merenung kembali perjuangan wanita zaman dahulu dan kini memang banyak berbeza.
Imbas kembali zaman awal kemerdekaan, wanita dilihat begitu agresif memperjuangkan hak mereka. Memang semua sedia maklum peranan wanita zaman dahulu tidak lain tidak bukan hanyalah mengemas, memasak dan menjaga keperluan anak serta suami.
Jarang sekali kita melihat wanita keluar rumah walau untuk tujuan penting seperti mengundi apatah lagi membeli-belah. Semua urusan yang melibatkan pembayaran bil dan segala yang melibatkan luar rumah semuanya diuruskan oleh suami.
Namun seiring perubahan masa, wanita kini diberi lebih peluang dan lebih berdikari. Apa yang dinikmati wanita hari ini adalah satu impian yang pernah dibayangkan oleh wanita terdahulu. Hari ini, wanita di seluruh dunia turut membuktikan kehebatan dalam bidang yang diceburi masing-masing.
Malah wanita hari ini juga memastikan kualiti kehidupan mereka bertambah dengan penggunaan teknologi yang membantu mempermudahkan pelbagai urusan. Sama ada untuk keluarga, kerjaya mahupun keperluan diri sendiri.
Wanita alaf 21 bukan sekadar menyedari potensi masing-masing sebagai ibu, malah ada yang menjadi usahawan, pengiklan yang bijak dan mempunyai pandangan yang luar biasa.
Walau sejauh manapun kehebatan dan ketangkasan seorang wanita dalam setiap tugasan yang dipikulnya, hakikatnya wanita menghadapi satu ancaman yang tidak kurang hebatnya iaitu aspek keselamatan.
Tidak perlu belek jauh ke muka surat akhbar. Di muka depan sahaja cukup untuk memaparkan kisah wanita koma akibat diragut, pelbagai jenayah jalanan dan rompakan.
Paling membimbangkan dilaporkan bahawa kadar jenayah di Malaysia kini menaik hingga 13.4 peratus pada tahun lalu. Dengan pecahan kenaikan sebanyak 30 peratus untuk kes rogol dan 160 peratus untuk kes rompakan.
Pada waktu inilah sepatutnya isu keselamatan diri menjadi perkara asas dalam diri setiap individu terutamanya wanita.
Rasa selamat
Jika ada satu tempat yang membolehkan wanita rasa selamat, tentulah dengan cara perbankan dalam Internet.
Apa yang bagusnya tentang sistem ini ialah wanita boleh menggunakan sepenuhnya kemudahan perbankan yang ada tanpa perlu bersusah payah keluar memandu atau menaiki bas ke bank sekali gus mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko.
Berpandukan perbankan Internet, wanita boleh membuat bayaran, melihat transaksi akaun, melihat baki, memohon kad kredit dan pinjaman hanya dari ruang keselesaan mereka di rumah.
"Apabila bercakap tentang wanita moden yang berkerjaya , saya percaya wanita adalah penentu utama trend pasaran kerana mereka adalah tergolong dalam kumpulan pengguna yang memang berpengaruh.
"Sama saja, siapa yang mempunyai wang pasti akan mencari produk, perkhidmatan yang boleh dikatakan menepati dengan cara hidup dan memberikan kesenangan seperti yang dihajati," ujar Narmadah Devi, 29, ibu kepada seorang cahaya mata yang juga seorang jururawat.
Narmadah juga puas hati dan seronok dengan perbankan digital kerana terbukti telah memberikan terlalu banyak fleksibiliti dan keselesaan.
"Saya pasti ramai lagi wanita turut bersetuju dengan saya. Cabaran sebagai ibu dengan tanggungjawab untuk keluarga dan kerjaya dan pelbagai lagi tugasan lain bukan mudah. Perbankan digital membolehkan saya menjalankan urusan berkaitan kewangan pada bila-bila masa dan di mana saja," jelasnya.
Narmadah menambah, proses pembayaran pelbagai jenis bil dalam keadaan selesa dari rumah menerusi komputer riba atau telefon bimbit memang membantu.
"Ia sekali gus menghilangkan kebimbangan apabila terpaksa membawa sejumlah besar wang tunai dari satu lokasi ke satu lokasi hanya untuk membuat pembayaran," katanya.
Hari ini pelanggan perbankan digital ditawarkan dengan pelbagai jenis perkhidmatan.
Selain memberikan keselesaan kemudahan urus niaga, menjelaskan ansuran pinjaman, memohon laporan urus niaga dan memindahkan wang ke akaun lain, pelanggan kini boleh menikmati kemudahan membayar bil dan cukai, membeli tiket wayang atau kapal terbang dan lebih menarik membeli segala barangan keperluan hanya menerusi Internet.
Kebanyakan laman web perbankan digital kini juga amat praktikal terutama untuk wanita profesional. Ia membolehkan golongan ini 'menjejaki' semula ke mana wang telah dibelanjakan, membantu membuat belanjawan dan menetapkan matlamat.
Kemudahan praktikal ini sebenarnya semakin meningkat sejak sepuluh tahun perbankan Internet diperkenalkan.
Sementara itu seorang wartawan, Amy Chatterton, 24, berkata, kemudahan perbankan digital sungguh melegakan kerana ia membolehkannya menjalankan urusan kewangan di samping komitmen kerja dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
"Saya pasti sesiapa saja yang menggunakan kemudahan ini bersetuju bahawa perbankan digital ini memang satu kemudahan yang memudahkan anda tanpa halangan dan tekanan.
"Saya dapat luangkan lebih masa sendiri dan saya pasti tiada wanita yang tidak mahukan peluang tersebut.
"Elakkan memandu dalam kesesakan, susah mencari tempat letak kereta, beratur jauh dan yang paling penting selamat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: