|
SECARA kimia, rasa dan landskap fikiran ketiga-tiga jiwa ini berkongsi titik temu. Bunga persahabatan yang terbentuk menjalinkan sebuah keharmonian sama ada dalam suasana bekerja mahupun peribadi.
Bahasa siulan mereka kedengaran pada satu gelombang, bezanya hanya di atas padang dan peluang.
Sharifah Amani bergerak di landasan seni visual manakala Yunalis Zarai dan AG, sang gitaris band Coco dan Hujan di sektor audio yang menjual melodi. Selayaknya, mereka itu bergelar pengkarya dan hebatnya, mereka bermula ketika darah masih remaja.
Khas sempena sambutan Hari Malaysia hari ini, tiga anak Malaysia itu bercerita tentang citra dan cinta mereka.
Keterbukaan jendela pandangan dan cara mereka memperhalusi kemahuan dan ekspresi jiwa sepatutnya menjadi inspirasi generasi baharu.
Visual dan muzik
Mukadimah penceritaan bermula dengan kerjasama dua seni yang menyatukan tiga jiwa itu. Jujur kata AG atau nama sebenar Hedzry Hafiz, di matanya, dia melihat belum banyak kolaborasi membabitkan dunia muzik dan visual yang mencakupi filem dan drama.
Bercakap dalam nada protes tetapi masih berlapik santun, dalam loghat Kedah yang lunak di telinga, AG melepaskan rasa kecewa.
"Drama kita masih banyak pakai lagu Indonesia. Muzik latar dilihat sebagai satu tempelan dan tiada ketulenan.
"Lihat semasa zaman (Allahyarham) Tan Sri P. Ramlee, muzik dan visual berjalan sekali dan saling mendukung. Orang yang menonton filem mahu juga tahu siapa yang membikin lagu.
"Sepatutnya medium ini boleh membantu tugasan promosi lagu pengkarya kita," ujarnya panjang lebar.
Pengamatan AG itu tidak salah. Ia pengamatan dari kaca karyawan muda yang mencari dan mengharap banyak ruang untuk berkembang.
Disokong pula oleh wanita muda yang bukan sembarangan orang, penyanyi dan komposer Yunalis Zarai yang melakar karya dan saham sampai ke Amerika Syarikat (AS).
"Negara kita sangat kecil dan seharusnya kita saling menyokong antara satu sama lain. Budaya itu sangat digalakkan di luar negara.
"Kolaborasi muzik dan filem diterapkan sejak dari kolej lagi. Macam budak-budak di AS, LA Film Academy akan bekerja rapat dengan pelajar dari LA Music Academy.
"Di Malaysia, kalau ada kerjasama pun ia bermusim dan bertumpu pada satu-satu artis sahaja. Dari situ saya lihat nilai kreatif kena lebih," kata Yuna yang kemudian dicelah oleh AG dan Nani.
Kata AG, pembelajarannya sewaktu di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dulu juga sama seperti yang diulas oleh Yuna namun, amalan sedemikian jarang berlaku apabila memasuki alam pekerjaan profesional.
"Industri kita masih baharu, masih dalam pembelajaran. Sekarang, pembikin filem atau drama generasi baharu semakin menampakkan gelombang itu.
"Penting untuk dua seni itu saling menyokong. Kerjasama itu sudah ada tapi tak cukup," celah Amani sambil menzahirkan kekagumannya terhadap pencapaian Yuna.
Kata Amani: "Saya bukan seorang pendengar muzik yang hardcore tapi Yuna benar-benar memberi inspirasi buat saya.
"Dia artis pertama yang saya miliki kesemua naskhahnya. Berbalik kepada industri, orang filem atau orang muzik, mereka sepatutnya saling menjadi inspirasi."
Ikatan emosi
Jenaka kecil AG dan mimik muka Amani memecahkan hilai Yuna. Gelagat tiga anak seni itu melambangkan tautan setiakawan yang sedang terbina antara mereka.
"Saya dan AG selalu buat kerja bersama. Saya tulis lagu, AG buat muzik. AG boleh faham bunyi yang saya mahukan.
"Mula-mula kenal dulu ada juga benda yang AG tak boleh nak masuk dengan saya tapi bila sudah lama, kami cukup serasi dan mempelajari skil masing-masing.
"Dengan Nani, dia rujukan saya berkaitan filem dan lakonan. Kami ada pendapat yang sama.
"Kami mula lepak bersama sejak tahun lepas," cerita Yuna tentang pertembungan citra bersama Amani, aktres muda yang cemerlang menerusi filem Sepet dan Gubra.
Daripada mulut Nani pula, dia melihat pengkarya bidang muzik seperti Yuna sebagai insan seni yang cukup bertuah.
Bukan tidak bersyukur kerana lahir dalam keluarga yang memberi galakan untuk berkarya dengan lakonan tetapi sehabis baik pun dia bekerja, akhirnya nilai karya itu ditentukan oleh kerja berkumpulan.
"Komposer dan penyanyi boleh berdiri sendiri. Macam Yuna, dia boleh petik gitar dan terbitkan lagu sendiri. Kami pelakon nak begitu, pelakon kena bergantung kepada banyak aspek.
"Rasanya, saya buat kerja yang sama. Yang bezanya pelakon berlainan dan lokasi. Pemuzik lebih bebas mewarna karya mereka," jelas Amani yang kemudian dipintas oleh AG.
"Awak kerja dengan televisyen, ramai orang. Kami buat lagu. Orang nak guna (ikut selera), orang tak nak guna, tak guna (dipaksa)," sampuk AG selamba.
"Ya, bila jadi pelakon, setiap kerjanya harus bergerak sebagai pelakon. Kalau buat sesuatu benda, tindakan atau keputusan yang lebih cenderung untuk diri sendiri, ia jadi rosak.
"Saya cuma beri contoh Yuna, sebab dari hujung rambut sampai hujung kaki semuanya dia putuskan sendiri, ada juga penyanyi lain yang dicipta. Saya pilih untuk kagum terhadap pengkarya," kata Nani.
Buka mata
|
|
Berpesan-pesan agar anak Malaysia hari ini tidak terperangkap dengan susur masa di laman sosial Twitter, Facebook atau Instagram, kata penyanyi yang mula popular dengan lagu Dan Sebenarnya itu, sebaik-baiknya mulakan langkah, keluar dan lihatlah dunia.
"Bila berada di AS, saya lihat etika kerja orang di sana sungguh berlainan. Negara itu nampak cantik sebab penduduknya bekerja keras.
"Etika kerja mereka terbaik. Bila berada di persekitaran begitu, saya sendiri kena tingkatkan tahap kerja dua kali ganda. Kalau di sini semuanya bergantung kepada AG, di sana saya kena belajar untuk buat susunan muzik sendiri. Kena serba boleh.
"Mereka bekerja pada awal usia. Persaingan di sana sangat sengit tak macam di sini. Negara kita aman, hidup sama rata tapi ada yang tidak tahu bersyukur.
"Jadikanlah kerja keras sebagai prinsip hidup," cerita Yuna yang berpangkalan di New York di bawah pengurusan Fader Label.
Sambung Amani, sejauh mana pun dia merantau, ke Mexico, India dan Eropah, dia tetap rindu untuk pulang ke Malaysia.
"Saya setuju bab jangan terperangkap dengan susur masa di laman sosial tadi. Kita kena ada ilmu, cari apa sahaja ilmu.
"Apa pun, saya cintakan negara saya. Sebab itulah bila ada yang memberontak, marah dan kecewa dengan persekitaran, saya akan terkilan dengan orang yang langsung tidak mahu ambil kisah.
"Kita kena prihatin dengan nasib negara kita kerana inilah masa depan anak-anak dan generasi akan datang," ujar Amani bernada patriotik.
Tiba giliran, AG yang banyak memerhatikan gelagat Amani meluahkan rasa dan pengalamannya:
"Malaysia adalah sebuah tempat yang selesa. Di sini sangat banyak grup yang sebenarnya tidak tahu arah tuju mereka.
"Sepanjang saya menjelajah Britain mahupun Indonesia, mereka tidak dibekalkan dengan alat muzik mahupun pertolongan untuk membuat gig.
"Kalau di sini, semua disediakan. Kerjasama berpasukan merekalah yang membentuk profesionalisme."
Tambah AG, rakyat Malaysia masih banyak menelan hiburan luar.
"Saya rasa sudah sampai masanya untuk kita keluarkan bunyi Malaysia dalam lagu-lagu kita, ini yang patut dibanggakan. Kena penting dan banyakkan identiti Malaysia dalam muzik mahupun filem kita," ujar AG.
Pendek kata, menjadi anak Malaysia itu satu keberuntungan namun cara menghargai ruang kesejahteraan itu harus bijak agar tidak terlepas peluang yang sepatutnya ada dalam genggaman.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: