Wednesday, September 12, 2012

Duta muda seni digital

Proses karya Muid bermula dengan penyelidikan kandungan, kemudian melakar menggunakan pen penanda atau pensil dan buku lakar.

Mungkin tidak ramai mengenali Muid Latif tetapi karya seninya banyak berlegar bukan saja di sekeliling kita bahkan hingga ke luar negara dalam seni digital.

Kalangan peminat seni digital, siapa yang tidak pernah melihat laman web Puteri Gunung Ledang, menonton animasi Saladin, muka depan album penyanyi tempatan seperti Atilia Haron atau menggenggam karyanya dalam sarung telefon pintar Blackberry atau Samsung - popmycase.

Sebenarnya jejaka kelahiran Kuala Lumpur, berusia 33 tahun lulusan Seni Halus, Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini banyak membantu menyumbangkan idea kreatif bagi kempen atas talian.

Antaranya Maxis Hotlink, Pusat Petrosains dan Toyota, malah Microsoft Singapura pernah menggunakan khidmatnya.

Anak pasangan tentera dan polis ini meminati bidang seni sebelum ke bangku sekolah lagi.

“Ketika itu saya mula mengumpul kertas dan kadbod lalu ‘menukarnya’ kepada robot atau apa saja barang permainan," katanya semasa ditemui di tempat lepaknya - Urban Village Bangsar.

Di zaman remaja, selepas mengenali permainan komputer seperti Quake, Muid berjinak-jinak dengan perisian Photoshop untuk mendalami seni digital.

“Ketika itu saya amat teruja untuk mengetahui bagaimana grafik dicipta dan digunakan," katanya.

Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran di UiTM sehingga 2001. Di sana, beliau mendapat didikan daripada seniman dan karyawan seni digital seperti Ramlan Abdullah dan Jailani Abu Hassan.

“Saya juga mendapat pendedahan seni elektronik daripada seniman seni digital lebih senior seperti Hasnul Jamal Saidon, kini Pengarah Galeri Seni dan Muzium Tunku Fauziah juga pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM).

“Ketika itu saya guna komputer untuk berinteraksi dan bereksperimen secara digital dan gunakan media campuran," katanya.

Pengasas

Tidak lengkap rasanya bercerita tentang obsesinya itu jika meninggalkan nama pengasas seni komputer negara Allahyarham Ismail Zain yang bertanggungjawab memperkenalkan seni digital pada akhir 80-an.

“Allahyarham Ismail Zain ialah idola saya," kata Muid.

Tamat belajar, Muid menceburi bidang rekaan dan aturcara laman web secara komersial dengan menjadi pereka laman web sejak 2002 di syarikat Webguruasia.

Beliau kemudian menceburi bidang animasi bersama kumpulan praproduksi Saladin di Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) selama dua tahun bermula 2006.

Muid berkata, MDeC banyak memberi peluang kepada usahawan kreatif tempatan memulakan usaha mereka dengan geran seperti Cabaran Pencipta Harta Intelek (IPCC).

“Animasi Saladin memenangi pelbagai anugerah dan pengalaman manis bersama mereka apabila tercalon dalam International Emmy 2011.

“Dari situ saya banyak belajar mengenai seni digital bersama rakan artis konseptual digital," katanya.

Proses karyanya bermula dengan penyelidikan kandungan, kemudian beliau akan melakar pen penanda atau pensil pada buku lakar sebelum menggunakan mesin pengimbas dan mewarnakan ilustrasi, corak serta warna menggunakan perisian Adobe Photoshop.

“Selepas 13 tahun menceburi dunia kreatif, saya dipilih sebagai duta rangkaian kreatif ‘Behance’ yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) dua tahun lalu. Di sana peranan saya adalah mengembangkan bakat kreatif, memberi nasihat dan mendidik serta memberi peluang kerjaya kepada mereka," katanya.

Behance Malaysia, tambah Muid turut mengadakan pameran secara berkumpulan antaranya di PUBLIKA, Solaris Dutamas dan Galeri Shah Alam baru-baru ini.

Di samping memberi ceramah kreatif di kolej, Muid juga bercadang mengadakan pameran dan memberi inspirasi kepada golongan kreatif yang baru menceburkan diri dalam bidang ini agar mereka dapat menghasilkan hasil seni digital dan grafik berkualiti serta menjadi usahawan kreatif berjaya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: