Wednesday, September 12, 2012

Muzium gelas Amrul

AMRUL menunjukkan almari kaca yang disediakan khas untuk mempamerkan koleksinya.

ALMARI kaca besar yang diletakkan di hadapan ruang makan rumah milik Amrul Ahmad ini menangkap mata penulis sebaik saja memasuki kediamannya di Bandar Seri Putra, Bangi itu.

Kagum menyaksikan kesungguhan Amrul dalam memelihara koleksi miliknya terutama gelas jenama minuman dengan menyediakan almari yang ditempah khas lengkap dengan lampu sorot bagaikan berada di muzium.

Cerita Amrul, dia rasa puas melihat koleksi kesayangannya itu tambahan apabila ia disusun atur dengan kemas sebegitu.

"Saya dan isteri sengaja meletakkan almari tersebut di hadapan meja makan kerana setelah seharian penat di tempat kerja, hilang tekanan apabila makan sambil melihat koleksi kesayangan kami.

"Lagipun, gelas kaca lebih menyerlah apabila diletakkan di dalam kabinet kaca yang berlampu kerana ia menyerlahkan lagi kilauan kaca walaupun ia sudah berusia.

"Idea membina almari ini muncul apabila melawat muzium yang terletak di Cameron Highland," ujarnya yang turut gemar mengumpul barangan tembaga dan set pinggan mangkuk lama.

Menurut Amrul, dia sudah lama suka memburu barang antik bersama isterinya, Roszana Abdul Salam tetapi tertarik untuk menjadikan gelas jenama minuman sebagai koleksinya selepas menjejakkan kaki ke Amcorp Mall, Petaling Jaya, pertama kalinya pada 2009.

KenanganEmpat biji gelas jenama F&N keluaran 1950-an menarik minatnya kerana terkenangkan gelas yang pernah dilihatnya sewaktu kecil ketika bapanya membuka kedai makan.

Tanpa berlengah, dia terus membelinya dan sejak itu matanya sentiasa meliar mencari gelas jenama minuman setiap kali dia ke lokasi yang menjual barangan antik seperti Amcorp Mall, Anggerik Mall, Shah Alam dan Loken, Ipoh.

Kesungguhannya memburu gelas-gelas tersebut membuatkan dia kini memiliki lebih 150 biji gelas jenama minuman yang terdiri daripada pelbagai jenama seperti F&N, Sprite, Pepsi dan pelbagai lagi.

"Jika diperhatikan, gelas lama ini lebih kualiti buatannya kerana kacanya lebih tebal.

"Malah mengagumkan apabila cop jenama minuman yang tertera pada gelas tersebut masih ada dan sukar dikikis berbanding gelas sekarang," ujarnya sambil membelek-belek koleksinya itu.

Tambahnya, kesukaran mendapatkan koleksi gelas jenama minuman berbanding barangan kaca lain membuatkan dia lebih teruja memburunya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: