Wednesday, September 12, 2012

Rela cerai demi bisnes

WALAUPUN Hari Raya hampir ke penghujungnya, panas dalam dada ini masih belum reda lagi. Semakin difikirkan semakin terbakar hati ini. Segalanya berlaku semasa kami balik kampung beraya baru-baru ini. Sebenarnya ini bukan kali pertama, tahun lepas pun demikian juga,'' demikian cerita Nor Najwa dalam e-melnya.

''Berumur dekat 40 tahun, sudah empat tahun saya jadi ibu tunggal kepada tiga anak yang sudah bersekolah.

''Saya kahwin dalam usia agak muda. Jodoh saya rakan sekampung yang tiga tahun lebih tua. Bercinta memang lama, sampaikan emak bapa susah hati kerana jadi buah mulut orang kampung. Puncanya JJ selalu bertandang ke rumah, semakin ditegah semakin galak dia datang, alasannya ajak adik main bola, memancinglah dan macam-macam lagi. Tapi sebenarnya dia nak tengok muka saya.

''Akhirnya kami ditunangkan sebab emak bapa JJ pun naik malu bila jiran tetangga selalu bertanya. Bila dah bertunang semakin kerap JJ ke rumah. Namun segalanya terhenti bila masing-masing dapat kerja di bandar. Saya dapat kerja kerajaan dan JJ kerja dengan swasta.

''Walaupun pendapatan tak seberapa, tetapi saya simpan sedikit untuk buat belanja kahwin. Sebab emak cakap dia tak suka saya bertunang lama, saya berusaha menabung supaya kami segera kahwin.

''Bila JJ kata dia tak cukup duit, saya bantu setakat mampu untuk buat hantaran. Saya juga bersyukur emak JJ berusaha satukan kami segera.

''Selepas kahwin, kami menyewa di bandar di negeri kami jugalah. Hidup kami awalnya aman bahagia, walaupun tak ada kereta dan tak semewah orang lain. Kami bersyukur tak berhutang.

''Tetapi setelah mempunyai dua orang anak, JJ yang bercita-cita besar tak mahu lagi makan gaji. Katanya kalau makan gaji habis bulan habislah duit. Dia nak cuba jadi kontraktor mana tahu boleh hidup senang macam abang Karim sepupunya.

''Walaupun saya nasihatkan tetapi JJ tetap dengan niatnya. Berkat kerja kerasnya, pertolongan kawan-kawan dan abang Karim, JJ mencapai apa yang dihajatinya. Tetapi biasalah orang berniaga, dia sibuk kerja siang malam dan sering ke luar daerah.

''Awalnya nak mulakan perniagaan, saya terpaksa pinjam bank sebab JJ minta tolong bantu. JJ janji tidak akan lupakan jasa saya dan lebih penting akan bayar balik pinjaman. Saya yakin.

''Hampir setahun juga saya menderita bila kerja dah siap tapi terlewat dapat bayaran. Namun saya bersyukur emak bapa saya turut bantu. Bila dapat bayaran projek barulah saya lapang sikit, sebab JJ beri duit untuk bayar bank. Masa itu perniagaan merangkak tapi JJ rajin berusaha. Itu yang buat saya percaya dan saya buat pinjaman tambahan atas permintaannya.

''Untuk buat pinjaman kedua, saya minta JJ jelaskan dulu pinjaman pertama. Lega bila JJ dengar nasihat.

"Namun bila bisnes dah maju sikit, suara JJ mula meninggi. JJ bukan JJ yang saya kenal dahulu. Ketiak mula mengepak, hidung semakin kembang, hati mula tak jujur. Penampilannya banyak berubah. Berbeza dari dulu.

''Dipendekkan cerita, setelah beberapa tahun perubahan JJ disedari oleh saudara mara kami. Maklum dulu motor buruk dah pakai kereta, lepas tu dua tiga kali tukar kereta, terbaru pikap kemegahannya sebagai kontraktor.

''Oleh kerana saya tak mahu dia lupa anak bini, saya tegur JJ. Niat saya supaya dia cepat sedar diri.

''Tapi dalam diam, JJ rupanya sudah terikat dengan ibu tunggal yang sering membantu uruskan bisnesnya. Tanpa selindung dia minta saya terima kekasihnya jadi isteri keduanya. Katanya itu semua untuk masa depan kami sebab wanita itu banyak membantunya. Habis, saya tak bantu?

''Apa pun alasan JJ saya tak mahu bermadu. Sejak itu rumah tangga kami berantakan. Perang sentiasa meletus. JJ lari nikah ke Siam. Kerana saya bantah, saya diceraikan. JJ tak mahu korbankan perniagaan yang sedang meningkat. Dia lebih rela berpisah dengan kami anak beranak.

''Janji beri nafkah anak-anak cuma tinggal di bibir sahaja. Awalnya memang dia bagi setiap bulan, lepas setahun, sebulan bagi lagi dua bulan terlupa. Alasannya tak ada duit sebab syarikatnya kena bayar hutang bank.

''Bila saya bising, dia suruh saya buat pilihan nak nafkah ke atau bayar hutang bank yang saya pinjam. Dia lupa dua-dua tanggungjawab dia. Nafkah anak wajib, sementara hutang bank dia yang suruh saya pinjam untuk dia buat bisnes.

''Yang menyakitkan hati, nafkah anak dia tak mahu bayar, tapi dua anak tirinya dia boleh tanggung.

''Raya dua tahun lepas anak-anak pergi beraya rumah emak JJ, saya pakaikan baju raya, tak ada duit pun pasal anak-anak saya dulukan. Tapi nenek mereka puji JJ kerana beri nafkah walaupun sudah bercerai. Sedangkan JJ sesekali beri nafkah.

''Cerita raya tahun lepas lain pula. Saya tak beri anak-anak pakai baju raya, pakai baju biasa, nenek mereka komen, ''tak beli baju raya ke? Habis nafkah ayah kamu bagi emak kamu buat apa? Lain kali biar ayah kamu belikan baju tak payah bagi duit?'' Sakitnya hati. Ceritanya tak sudah di situ satu kampung bercerita.

''Tahun ini sebelum raya saya suruh anak-anak ke rumah nenek mereka minta belikan baju raya, kalau nenek tanya mengapa, ceritakan ayah tak bagi nafkah. Anak sulung dan kedua malu dan takut nak cakap, tapi yang kecil bukan saja berani tapi dengan muka 10 sen minta duit pada nenek belikan kasut sekolah sebab yang ada dah buruk.

''Mereka terkejut dengar cerita anak saya, tapi tetap tak belikan baju raya. Pengajaran yang saya cuba tunjukkan, jangan banyak cakap, nasihatkan anak dulu sebelum kutuk bekas menantu. Sepatutnya jadi tanggungjawab datuk nenek juga ibu dan ayah saudara bantu anak saudara, bukan menghina mereka. Nasihatkan JJ bagi nafkah anak-anak itu wajib, walaupun lepas kahwin baru. Bukannya mengumpat bekas menantu.

''Saya kecewa JJ dan keluarganya langsung tak pedulikan anak-anak saya, darah daging mereka. Sedihnya mereka anggap anak-anak saya macam budak-budak datang minta duit raya. Sakitnya hati ini!

''JJ ingatlah anak-anak ada hak mereka juga. Rezeki yang ada bila-bila masa Allah boleh tarik. Ingatlah sesal kemudian tak ada gunanya,'' keluh Nor Najwa mengenangkan nasibnya teraniaya dan ditinggalkan bekas suami tanpa nafkah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: