Monday, September 17, 2012

Karang angkat

SIT merupakan program untuk menjadi Pulau Tioman sebagai lokasi awal untuk menceburi hobi selam skuba.

PROGRAM Bermula di Tioman (SIT) kembali menemui peminat sukan selam skuba buat kali ketiga baru-baru ini.

Bertempat di Kampung Genting, kira-kira 160 orang peserta termasuk 35 pelajar baru yang mengambil lesen selam skuba dan penyelam profesional terlibat dalam aktiviti selama empat hari tiga malam itu.

Menariknya pada penganjuran program kali ini, pihak penganjur telah memperkenalkan inisiatif baru dalam usaha memelihara hidupan marin khasnya karang laut menerusi program karang angkat.

Ia berbeza dengan program tahun lalu apabila peserta program melepaskan karang ke laut sebagai usaha mengekalkan dan memupuk kesedaran memelihara hidupan marin di pulau bebas cukai itu.

Pengurus Villagers Travel and Tours, Syed Rizalman Syed Abu Bakar berkata, menerusi program karang angkat itu, setiap peserta selam skuba dan pelajar yang mengambil lesen akan meninggalkan sesuatu yang berharga di pulau ini.

''Dengan mengambil karang laut sebagai anak angkat dan meninggalkannya di sini, ia akan membuatkan peminat selam skuba untuk datang lagi dan menyelam bagi melihat perkembangan karang itu," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

SIT merupakan satu usaha daripada Kementerian Pelancongan, Kerajaan Negeri Pahang, persatuan penyelam skuba dan juga pengusaha selam skuba Pulau Tioman mempromosikan pulau bebas cukai tersebut sebagai lokasi awal untuk menceburi hobi selam skuba.

Selain itu, ia mampu mempromosikan Pulau Tioman sebagai destinasi selam skuba yang turut menggalakkan peserta memulihara alam marin agar terjaga dan tidak dirosakkan.

SIT diwujudkan bagi membolehkan peminat selam skuba yang ingin menceburi hobi ini menyertainya dengan kemudahan pusat sehenti di Pulau Tioman.

Mereka juga boleh kembali ke pulau itu untuk terus melakukan aktiviti selam skuba ekoran Tioman merupakan antara destinasi "mesti lawat" bagi penyelam skuba disebabkan keindahan dan kelestarian alam marin yang masih utuh di sini.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Pahang, Idros Yahya berkata, program karang angkat akan memastikan kesinambungan program SIT sebelum ini.

Katanya, dengan memiliki lesen selam skuba, ia akan membantu meningkatkan kesedaran di kalangan penyelam akan pentingnya memelihara kehidupan marin di dasar laut.

''Program ini juga akan memastikan karang dan hidupan marin di sini terus terpelihara," katanya.

Mengulas lanjut, Syed Rizalman berkata, kesemua karang angkat itu akan ditempatkan di Syed Nassir House Reef dan diletakkan sendiri oleh peserta program.

Karang yang diletakkan di dalam pasu itu katanya akan diletakkan pada kedalaman lapan hingga 10 meter sesuai dengan pertumbuhan hidupan marin tersebut.

''Semasa pelancarannya, sebanyak 122 pasu karang telah dijual dan ia akan ditambah lagi menerusi penyertaan agensi kerajaan negeri yang berminat dengan program ini," katanya.

Syed Rizalman menjelaskan, pihak yang berminat untuk mengambil karang angkat hanya perlu membayar sejumlah RM50 untuk sebuah pasu yang ditanam dengan karang laut.

Pasu itu mengandungi kombinasi campuran tanah liat, sodium, air dan bahan-bahan lain yang dapat membantu pertumbuhan karang laut.

Ia juga boleh dilekatkan dengan tag khas yang menunjukkan nama kepada pemiliknya yang mana program itu akan dipantau oleh Jabatan Laut.

''Karang yang ditanam itu berada di bawah seliaan pakar marin yang dilantik hingga enam bulan yang mana tahap perkembangannya akan dipamerkan di laman Facebook SIT dan laman web berkaitan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai SIT, Syed Rizalman memberitahu, bermula tahun ini, peminat selam skuba yang ingin menyelam di terumbu karang sekitar pusat peranginan itu boleh mendapat diskaun sebanyak 10 peratus menerusi pengenalan SITCARD.

Selain itu katanya, dia berharap SIT akan terus diadakan dan disertai pusat selam skuba yang ada di pulau tersebut bagi menjayakan program itu.

''Kita berhasrat membawa program ini ke kampung-kampung lain yang terdapat di pulau ini dan pelajar baru akan di bawa ke pusat skuba lain dari pulau ini yang menyertai program kita.

''Pada masa sama, kita akan meneruskan usaha menambah baik terumbu karang yang ada di sini khasnya Syed Nassir House Reef dan mencari kelainan supaya Kampung Genting akan menjadi lokasi menyelam baru yang wajib bagi pengunjung yang datang ke sini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: