Monday, September 17, 2012

Asam pedas asli Melaka

Salim Shaari bersama sebahagian hidangan popular di Restoran Cawan.

PEMINAT tegar asam pedas harus mencuba sajian makan tengah hari asam pedas di Restoran Cawan ini.

Ikan pedas resipi dari Melaka ini bertambah enak hasil tangan ketua chefnya, Hafsah Majid.

Hafsah yang sememangnya mewarisi bakat memasak dari kedua orang tuanya, memilih beberapa jenis ikan seperti terubuk, baung dan sembilang laut untuk asam pedasnya.

Malah ada kalanya dia turut mengikut permintaan pelanggan terutama yang membuat tempahan menerusi perkhidmatan kateringnya.

Terletak di kawasan rumah kedai Selayang Jaya, Selayang, Selangor, Restoran Cawan merupakan satu-satunya restoran yang menyediakan sajian Melayu di kawasan berkenaan.

Bermula dari hidangan pagi seperti nasi lemak, bihun, mi, lontong dengan lauk pauk pilihan, tumpuan pelanggan makin menjadi-jadi ketika waktu makan tengah hari.

Pengarah Urusan Restoran Cawan, Salim Shaari berkata, pelanggan yang datang ke sini tidak mengira bangsa.

Pernah ada seorang pelanggan berbangsa Cina merungut-rungut kerana asam pedas ikan terubuk habis cepat.

"Makanan tengahari terutama asam pedas memang cepat licin. "Asam pedas memang menjadi kegemaran pelbagai bangsa. Selain asam pedas, ikan keli goreng bercili juga menjadi tumpuan pelanggan.

"Memang kebanyakan yang datang adalah pelanggan tetap sebab kami menawarkan kualiti dan kesedapan makanan dalam harga yang berpatutan.

"Walau harga barangan mentah naik, kami tidak menaikkan harga makanan yang dijual," jelas Salim yang membuka restoran ini sejak Februari tahun ini.

Menurut Salim, sebelah malamnya pula mereka menyediakan tomyam dan pelanggan juga dapat merasa kesedapan mi kari dan rojak buah yang dibuat dengan cara tradisional.

Selain menikmati makanan yang membuka selera, pelanggan harus menikmati air teh tiga lapis yang memang sedap dan penuh krim.

Selain asam pedas, Salim juga mencadangkan menu mesti cuba seperti ikan bakar berempah, rendang ayam ala Minang Cawan dan ikan tenggiri kari mamak Melayu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: