KITA masih lagi dalam suasana Syawal. Ketika ini pasti ramai yang sibuk membuat majlis rumah terbuka. Anda bagaimana? Sudahkah memikirkan menu yang hendak dibuat untuk rumah terbuka yang bakal diadakan?
Sukalah saya menasihatkan agar anda merancang menu terlebih dahulu dan biarlah ia cukup dengan jumlah tetamu yang akan hadir. Perancangan awal yang teliti membolehkan anda menyediakan hidangan yang mencukupi dan dapat mengelakkan pembaziran.
Pada minggu ini saya akan berkongsi bagaimana membuat kek tanpa bakar. Janganlah anda berasa pelik kerana ada jenis kek yang tidak dibakar kerana kek jenis ini menggunakan gelatin sebagai bahan yang dapat mengeraskannya.
Kek yang menggunakan gelatin dikategorikan sebagai jenis kek dingin kerana ia perlu dikeraskan dalam peti sejuk dan disajikan ketika sejuk. Sebenarnya gelatin merupakan kolagen daripada sumber haiwan seperti lembu.
Kolagen akan diekstrak daripada bahagian haiwan seperti kulit, tulang, organ dalaman akan diproses menjadi gelatin.
Terdapat dua jenis gelatin yang biasa dijual iaitu dalam bentuk kepingan dan serbuk. Jenis yang paling mudah didapati adalah serbuk.
Anda boleh bertanya kepada pekerja di pasar raya jika sukar untuk mencarinya. Ia biasa terdapat di bahagian bahan-bahan membuat pastri.
Membuat kek tanpa bakar memerlukan kemahiran mengendalikan gelatin. Jika anda gagal mengendalikannya dengan betul kek tidak akan mengeras dan teksturnya kasar.
Ia tidak menggunakan telur dan tepung. Jadi ia tidak perlu dibakar dalam ketuhar. Dengan itu masalah kek terlebih bakar atau tidak naik dapat diatasi jika membuat kek tanpa bakar ini.
Kek ini rasa berlemak, halus, sedikit masam dan mencair di dalam mulut apabila dikunyah.
Kek jenis ini sungguh versatil kerana asasnya ini anda boleh pelbagaikan perasa mengikut cita rasa anda.
Perisakan kek ini dengan buah-buahan sitrus kerana rasa masam buah ini dapat meneutralkan rasa lemak dari keju krim jadi ia tidak berasa cepat muak apabila menikmatinya.
Untuk membuat kek ini, anda perlu menyediakan lapisan asas yang diperbuat daripada biskut hancur yang dicampurkan dengan mentega cair. Jenis yang biasa digunakan adalah biskut marie.
Untuk mengetahui sama ada menteganya sudah cukup digaul dengan biskut itu, anda boleh mengujinya dengan mengepal biskut itu setelah ia dicampur dengan mentega.
Jika ia boleh mengepal dan tidak berderai maka mentega yang dicampurkan sudah mencukupi. Lapisan biskut ini boleh anda gantikan dengan menggunakan kek span jika suka.
Anda boleh juga gunakan biskut oreo atau digestive biscuits. Untuk membuat kek ini anda memerlukan acuan khas untuk kek keju yang boleh dilaraskan di tepinya.
Pelaras ini memudahkan anda mengeluarkan kek selepas ia keras. Proses yang pertama adalah anda perlu memukul keju krim bersama gula kaster dan esen vanilla.
Sebaiknya pukul sehingga betul-betul sebati. Kemudian masukkan krim dan jus oren dalam adunan ini. Boleh juga menggunakan jus nanas atau epal.
Larutkan gelatin bersama air panas. Kacau gelatin sehingga tiada butiran. Pastikan ia tidak berketul-ketul. Tekstur gelatin yang dilarutkan akan kelihatan licin dan halus. Jika ia berketul anda perlu kacau di atas air mendidih dan terus mengacaunya sehingga halus.
Setelah larut masukkan gelatin dalam adunan keju. Kacau dengan segera dan rata. Supaya gelatin dapat melarut dengan sekata. Adunan akan menjadi sedikit cair dan ini adalah perkara biasa.
Seterusnya tuang atas lapisan biskut yang telah diratakan dalam acuan kek tadi. Dinginkan dalam peti sejuk selama tiga hingga empat jam.
Jika anda ingin cepat mengeras letakkan dalam peti beku tetapi keluarkan selepas ia hampir mengeras dan terus masukkan di bahagian peti sejuk.
Awas jangan sampai terlupa kek di dalam peti sejuk beku kerana kek anda akan menjadi ais pula.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: