Sunday, August 7, 2011

Waris bomoh resdung


NASRIAH menyelia kakitangannya yang memberi rawatan di Pusat Rawatan Resdung Naza Anggun di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.


SEBAGAI seorang anak kepada bomoh resdung yang terkenal di Jitra, Kedah, Nasriah Aziz, 39, terdedah dengan pelbagai cara perubatan tradisional malah ada ketikanya dia turut sama membantu mengubati pesakit yang datang ke rumah.

Bapanya yang dikenali sebagai Paksu Aziz Bomoh Resdung sememangnya berhajat besar untuk menurunkan semua ilmunya dalam perubatan resdung kepada Nasriah.

Namun, Nasriah tidak menunjukkan minat untuk mengikuti jejak langkah bapanya. Paksu Aziz tidak berputus asa, sebaliknya terus menyemai minat dalam diri anak keempat daripada tujuh beradik itu.

Ketika itu, Nasriah masih belajar di tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di Jitra.

Menurut Nasriah yang lebih senang dipanggil Kak Yah, dia kerap menolak apabila bapanya cuba mengajar tentang selok-belok perubatan resdung dan hanya membantu jika diminta.

“Selepas habis sekolah, saya terus bekerja sebagai pembantu farmasi di sekitar Alor Setar sebelum mendirikan rumah tangga.

“Bagaimanapun, setelah beberapa tahun bekerja, saya rasa pendapatan tidak mencukupi dan sejak daripada itu otak saya ligat berfikir mencari jalan untuk menceburi bidang perniagaan,” katanya ketika ditemui di Pusat Rawatan Resdung Naza Anggun di Kompleks Persiaran Sultan Abdul Hamid, Jalan Pegawai, Alor Setar, Kedah.

Selepas tercari-cari apakah bidang perniagaan yang sesuai, Kak Yah mula teringat perniagaan perubatan resdung tradisional yang boleh diwarisi daripada bapanya, Aziz Senawi, 86.

“Minat saya tolak ke tepi dan apa yang penting ketika itu adalah untuk menambah pendapatan keluarga dan bagi saya minat boleh dipupuk dari semasa ke semasa,” katanya.

Kata Kak Yah, beliau mula belajar secara mendalam tentang perubatan tradisional daripada bapanya daripada A hinggalah Z sebelum memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah pada 2002.

“Alhamdulillah, saya dapat sambutan yang hangat sehingga rumah saya sentiasa dikunjungi pesakit resdung siang dan malam.

Serius untuk memantapkan perniagaan itu, Kak Yah dan suaminya membuka sebuah pusat rawatan resdung yang lebih lengkap pada 2006 dengan modal awal sebanyak RM60,000.

Memperkenalkan kaedah rawatan resdung secara moden, Kak Yah tidak lagi menetapkan sirih pinang sebagai pengeras.

“Bilik perubatan kita hiaskan seperti butik kecantikan dan selain perubatan resdung, Naza Anggun juga menawarkan pelbagai khidmat lain antaranya rawatan muka, sauna, urutan badan, mandi susu, mandi bunga serta pakej pengantin,” katanya sambil memberitahu perubatan yang dilakukan juga cara Islam kerana ada doa tertentu sebelum perubatan dilakukan.

Harga yang ditawarkan untuk rawatan bermula dari RM18 hingga RM250.

Menurut ibu kepada tiga anak lelaki itu, semua bahan yang digunakan dalam proses perubatan resdung diadunnya sendiri manakala sebahagian lagi dari sebuah kilang di Kelantan.

“Saya gulung sendiri rokok resdung menggunakan resipi turun temurun dan antara bahan-bahannya adalah akar mengkunyit dan kulit kayu manis,” jelasnya.

Produk-produk lain adalah seperti set penjagaan seperti pencuci muka, penyegar dan minuman kesihatan V-Juice Sri Bonda. Kak Yah turut mengeluarkan krim urutan dan skrub yang hanya didapati di premis Naza Anggun.

Bagai klinik

Beroperasi tujuh hari seminggu, Pusat Rawatan Resdung Naza Anggun tidak putus-putus dikunjungi pelanggan.

“Pusat rawatan saya ini juga tidak ubah seperti klinik kerana setiap pelanggan yang dikesan mempunyai gejala resdung yang teruk, saya akan memanggil pelanggan ke dalam bilik dan berbincang cara terbaik untuk mengubati penyakitnya.

“Dengan cara ini, pelanggan akan lebih selesa menceritakan penyakitnya secara tertutup dan memberi peluang kepada saya melayan pelanggan secara individu,” katanya.

Ceritanya, masalah resdung juga boleh menyebabkan hubungan suami isteri terjejas dan ia perlu dibincangkan secara lebih privasi kerana ia satu isu yang sensitif.

“Ramai tidak tahu, penyakit resdung menyebabkan pernafasan dan badan berbau sehingga hubungan suami isteri terjejas,” katanya.

Jelas Kak Yah, selain perkhidmatan dan produk, beliau juga amat mementingkan kepuasan dan keselesaan pelanggan kerana ia merupakan antara faktor kejayaan sesebuah perniagaan.

“Naza Anggun menerima lebih 50 pelanggan setiap hari malah sebahagian mereka menjadi pelanggan melalui program keahlian,” jelasnya.

Bagi mempromosikan perniagaan, Kak Yah memilih pengiklanan radio melalui slot Naza Anggun di Radio Kedah FM semalam 45 minit pada pukul 2.30 petang setiap Isnin bagi membincangkan topik resdung.

Hama

Berkongsi cerita tentang pengalaman salah seorang pesakit resdung, kata Kak Yah, seorang pesakit dari Sungai Petani, Kedah menderita telinga berair selama 13 tahun dan dia sembuh selepas mendapatkan 16 kali rawatan di Naza Anggun.

“Dengan izin Allah, pesakit itu sembuh,” ceritanya.

Menurut beliau, resdung sememangnya satu penyakit yang agak sinonim dengan orang Melayu dan ia perlu diubati dengan segera sebelum ia menjadi lebih teruk.

“Perubatan moden mengatakan resdung atau sinus sebagai radang atau jangkitan kuman dan alahan pada saluran pernafasan, telinga serta mulut sementara orang kita pula percaya ia berlaku akibat cara pemakanan terutama mereka yang selalu makan makanan laut dan belacan,” katanya.

Resdung boleh membuatkan seseorang itu mempunyai nafas berbau, bersin, muka berjerawat, gatal atau bengkak di hidung, mulut dan telinga.

Simptom yang lebih teruk melibatkan nanah di telinga atau kecacatan pada hidung akibat kerosakan pada bahagian rongganya.

Rawatan terbaik ialah dengan mengasapkan muka menggunakan rokok resdung bagi mengeluarkan ‘hama’ yang hidup di sekitar rongga wajah seterusnya mengurangkan bendalir yang menyekat saluran pernafasan.

1 comment:

  1. Teringin nak try...tapi jauhnya diutara...

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: