Sunday, August 7, 2011

Risiko berpuasa penghidap diabetes


PESAKIT diabetes yang mengalami kesan melampau berpuasa seperti pengsan dan sawan, dinasihatkan untuk berbuka dengan minuman bergula. - Gambar hiasan


PENGHIDAP penyakit kencing manis tergolong dalam golongan berisiko untuk melakukan ibadah berpuasa pada bulan Ramadan.

Namun sekiranya penghidap diabetes tekad untuk melaksanakan rukun Islam ketiga itu, dia perlulah menjalani penilaian perubatan untuk menentukan risikonya dalam tempoh sebulan sebelum tibanya Ramadan.

Menurut Pakar Perunding Endikronologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Madya Dr. Norlela Sukor, pesakit diabetes yang berhasrat melaksanakan ibadah tersebut perlu mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan ketidakseimbangan kandungan gula dalam darah.

“Doktor perlu memastikan sama ada pesakit tergolong dalam kelompok berisiko tinggi, sederhana atau rendah.

“Sekiranya seseorang pesakit terdiri dalam golongan berisiko tinggi dia dinasihatkan agar tidak berpuasa kerana ia boleh membawa banyak mudarat,” katanya kepada Jurnal.

Biarpun begitu, bagi golongan pesakit yang tidak memerlukan suntikan insulin dan mempunyai berat badan berlebihan pula, Norlela menjelaskan bahawa mereka digalakkan untuk berpuasa.

Jelas Norlela, tabiat makan sepanjang Ramadan menjadi faktor utama yang menambah risiko komplikasi kepada penghidap diabetes jenis dua.

Antara risiko-risiko berkaitan termasuklah hipoglisemia atau kadar gula rendah dalam darah, hiperglisemia atau kadar gula tinggi dalam darah dan dehidrasi atau kekurangan air.

“Risiko itu boleh terjadi sekiranya pesakit tidak mengambil berat jenis makanan yang dimakan.

“Mereka sepatutnya mengikut nasihat yang disarankan oleh doktor terlebih dahulu,” ujarnya kepada Jurnal.

Sekiranya seseorang berhadapan hipoglisemia atau fenomena kandungan gula rendah dalam darah, ia boleh mengakibatkan pesakit berhadapan dengan keadaan tidak sedarkan diri dan sawan.

Jelasnya, seseorang penghidap diabetes tahap dua perlu tahu bagaimana untuk mengesan simptom-simptom hipoglisemia.

Amalan kurang mengambil makanan dan ubatan diabetes pada bulan ini merupakan faktor utama yang menimbulkan hipoglisemia.

“Tanda-tanda kandungan gula rendah dalam darah (hipoglisemia) boleh dikenal pasti melalui simptom lemah badan, teramat lapar, pucat, berdebar, menggeletar, denyutan nadi yang kuat dan rasa gelisah.

“Jika berlaku simptom itu, pesakit perlu segera berbuka dan minum minuman manis untuk mengembalikan kandungan gula dalam darah.

“Anda perlu berbuka sekiranya paras gula berada pada bacaan kurang 3.3 atau lebih 16.7 mmol/L,” katanya yang menjelaskan bahawa penghidap diabetes jenis dua mempunyai risiko 7.5 kali ganda untuk mendapat hipoglisemia.

Bagi mengelakkan seseorang penghidap berhadapan dengan risiko tersebut, Norlela menjelaskan bahawa amalan mengikut sunah Nabi Muhammad SAW memberi manfaat kepada pesakit iaitu dengan bersahur dan mempercepatkan berbuka puasa.

Berhubung makanan paling sesuai diambil oleh penghidap diabetes ketika bersahur dan berbuka puasa, Norlela tetap menyarankan pemakanan seimbang.

Norlela turut menyarankan pesakit mengambil makanan yang mengandungi bijirin dan serat seperti bijirin, kekacang, beras perang dan sayuran.

“Perlu diingatkan agar pesakit perlu mengurangkan mengambil makanan berminyak.

“Pesakit haruslah merekodkan apakah makanan yang diambil pada setiap hari selain minum air dengan mencukupi,” jelas Norlela lagi.

Tambahnya, amalan solat sunat tarawih yang dilakukan dalam tempoh lebih sejam selepas berbuka puasa membantu meningkatkan kesihatan pesakit diabetes.

Selain itu, penghidap turut digalakkan melakukan senaman ringan dalam tempoh berpuasa.

“Namun begitu pesakit perlulah mengelakkan daripada melakukan senaman berat sebelum waktu berbuka dan mereka boleh melakukan kerja-kerja seharian seperti biasa,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: