|
| GOTONG-royong perdana di masjid dilaksanakan dengan penuh komitmen oleh warga UIAM. |
SERAMAI 150 orang warga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar berkampung di Kg. Marhum, Kg. Beruas dan Kuala Pahang di Pekan, Pahang bagi menjalankan Program Tanggungjawab Sosial Korporat UIAM 2011.
Program ini dijalankan selama tiga hari yang dianjurkan oleh Pejabat Perhubungan Awam UIAM, baru-baru ini.
Program yang dijalankan ini mendapat kerjasama baik daripada ketiga-tiga buah kampung yang terlibat. Semangat dan kerjasama dapat dilihat di antara satu sama lain dalam setiap program yang dijalankan.
Antara objektif penganjuran program ini ialah untuk merapatkan lagi ukhuwah antara pihak universiti dengan penduduk kampung dan pada masa yang sama, dapat memberi peluang kepada warga UIAM untuk lebih mengenali rakan-rakan sekerja.
Selain itu, ia juga dapat mewujudkan semangat kekitaan dan semangat bekerjasama di antara penduduk kampung dan warga universiti.
Pada program tersebut banyak aktiviti yang dijalankan sepanjang ia berlangsung. Antaranya; acara gotong-royong perdana di kawasan tanah perkuburan dan masjid, mengadakan kenduri bersama-sama penduduk kampung serta menghulurkan bantuan makanan asasi bersempena dengan bulan Ramadan.
Di samping itu, program berbentuk pengisian rohani juga turut dijalankan dengan mengadakan majlis bertadarus, zikir, bertahlil dan doa selamat. Ceramah dan tazkirah juga diadakan di Masjid Kg. Marhum yang telah disampaikan Pengarah Masjid UIAM, Datuk Hamidon Abdul Hamid.
Bukan sahaja aktiviti yang melibatkan kerohanian dijalankan tetapi aktiviti seperti kempen kesedaran keselamatan jalan raya yang dianjurkan oleh Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UIAM dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pahang serta demonstrasi dan penerangan pemadaman api yang dilakukan oleh Jabatan Bomba Dan Penyelamat dari Balai Bomba Peramu Jaya, Pekan, Pahang.
Pemeriksaan kesihatan secara percuma turut dijalankan yang dianjurkan oleh Kampus Perubatan UIAM Kuantan, Pahang. Ia dimeriahkan dengan penyertaan seramai 30 orang pelajar perubatan yang terdiri daripada pelajar pergigian dan perubatan.
Orang kampung tidak melepaskan peluang untuk membuat pemeriksaan kesihatan yang ditawarkan secara percuma yang merangkumi pemeriksaan tekanan darah, kandungan kolesterol dan penerangan berkaitan dengan kesihatan gigi.
Menurut Penasihat Program, Abdul Rahim Ahmad berkata, dengan adanya program sebegini ia sedikit sebanyak dapat mendekatkan pihak UIAM sebagai warga universiti dengan penduduk kampung, selain program ini adalah salah satu usaha pihak mereka untuk sama-sama menyemarakkan lagi bulan Ramadan kepada komuniti luar.
Di samping mengadakan kerja-kerja gotong-royong, pengisian jiwa dan rohani turut disemai bukan sahaja kepada penduduk kampung malah kepada semua warga UIAM yang terlibat.
"Program tanggungjawab korporat sosial (CSR) ini adalah acara tahunan yang dijalankan oleh Pejabat Perhubungan Awam UIAM. Sebelum ini, program ini telah dijalankan di tempat perlindungan kanak-kanak HIV Rumah PERNIM Cheras pada tahun 2008. Tahun 2009 pula di rumah perlindungan untuk orang tua, anak-anak yatim di Rumah Titian Kasih, Titiwangsa.
"Pada tahun 2010, program CSR diadakan di Parlimen Jerlun, dengan membaiki dan membersihkan Masjid Ar-Rahmah, Melele dan Madrasah Al-Nahdah Hassanah, Jitra, Kedah. Program tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.
"Manakala, pada tahun ini program CSR ini mendapat kerjasama daripada semua warga UIAM dan pihak-pihak badan bukan kerajaan (NGO) serta badan-badan kerajaan," ujarnya seraya mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menjayakan program ini
Harapan Abdul Rahim semoga semua pihak dapat membantu dan sekali gus merapatkan kesepaduan ummah seperti apa yang dianjurkan oleh agama Islam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: