Tuesday, August 9, 2011

Kasih Ramadan sinari nasib insan terpinggir


Jabatan Muzium Malaysia juga turut menyediakan charity-drive dengan menempatkan tabung derma di pintu masuk muzium di sepanjang bulan Ramadan ini.


SAAT yang dinanti-nantikan oleh mereka yang merindukan kelebihan beramal di bulan Ramadan tiba juga akhirnya. Bulan di mana ia ditangisi oleh para syaitan kerana keagungan dan keberkatannya mengatasi bulan-bulan lain.

Rasulullah SAW di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi daripada Abu Hurairah r.a bersabda: "Ketika tibanya malam pertama dari bulan Ramadan, seluruh syaitan akan dibelenggu dan seluruh jin yang derhaka akan diikat. Semua pintu neraka ditutup dan tidak ada satu pintu pun yang dibuka. Semua pintu Syurga dibuka hingga tidak ada satu pun pintu yang tertutup. Diseru, "Wahai orang yang mencari kebaikan! Datang ke sini! Wahai orang yang mencari keburukan! Jauhkanlah dirimu. Allah membebaskan ramai manusia daripada api neraka. Perkara tersebut berlaku setiap malam."

Semoga kita semua dapat menemui bulan Ramadan ini dan berpuasa sesuai dengan perintah Allah SWT dan menjadikannya sebagai saat dan kesempatan yang berharga untuk memperbanyak ibadah, amal soleh dan aktiviti lainnya demi meraih reda Allah SWT.

Sungguhpun begitu, bahang kemeriahan Ramadan sudah mula dirasai sejak berada di dalam bulan Syaaban lagi. Boleh dikatakan di mana-mana sahaja sudah terpapar mengenai promosi 'Berbuka Puasa'. Tidak kurang juga promosi jualan hebat sempena Syawal menjelma. Malah tidak ketinggalan program-program kemasyarakatan dan usrah anjuran masjid dan surau bagi mengisi kehadiran bulan yang penuh dengan ganjaran itu.

Namun dalam keceriaan menyambut bulan penuh keberkatan itu, masih ada insan yang terpinggir dan bagi mereka Ramadan ini sama saja seperti hari biasa. Yang membezakan mereka hanyalah niat puasa kerana berlapar di siang hari telah menjadi rutin dalam kehidupan mereka untuk meneruskan kehidupan ini.

Melihat akan situasi ini, Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia atau Pertubuhan IRM telah tampil dalam membela nasib golongan ini. Jika sebelum ini program 'Jejak Prihatin' telah diperkenalkan dan berjaya membantu golongan seumpama ini, tetapi bagi memberi keceriaan kepada golongan yang kurang berkemampuan, program 'Kasih Ramadan' telah diperkenalkan bagi meneruskan misi kemanusiaan demi membantu masyarakat terpinggir ini bersempena Ramadan al-Mubarak.

Justeru, bagi mereka yang mempunyai kemampuan dari segi harta benda, inilah masanya untuk kita berkongsi sedikit keceriaan dan beramal. Program khusus yang dinamakan program 'Kasih Ramadan 2011' merupakan program amal pengagihan pek makanan keperluan harian kepada golongan fakir miskin dan juga golongan yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban golongan tersebut untuk menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan.

Program yang bertemakan 'Bantulah Mereka Berbuka Puasa' ini juga turut melibatkan kempen kutipan dana daripada orang ramai bagi membantu golongan tersebut. Seharusnya sebagai seorang Muslim yang prihatin, peluang keemasan ini harus diambil dengan mengasingkan sebahagian daripada pendapatan yang diperoleh untuk berinfak.

Oleh itu, bagi merealisasikan misi ini, pihak Pertubuhan IRM dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia serta Radio Klasik Nasional telah melancarkan kempen 'Kasih Ramadan 2011' bertempat di Muzium Negara, baru-baru ini.

Pelancaran tabung 'Kasih Ramadan 2011' ini dilaksanakan bagi memudahkan orang ramai turut serta dalam memberi sumbangan untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan sepanjang Ramadan ini.

Lanjutan daripada majlis pelancaran tersebut, pihak Pertubuhan IRM turut membuat pengagihan pek makanan "Kasih Ramadan 2011" yang pertama untuk tahun 2011. Sebanyak 180 pek makanan telah diagihkan kepada golongan istimewa yang terdiri daripada masyarakat orang kerdil dan sebahagian lagi kepada ibu tunggal, golongan fakir miskin dan juga kakitangan Jabatan Muzium yang telah disenarai pendek layak untuk menerima sumbangan.

Atas keprihatinan terhadap usaha-usaha kemanusiaan yang telah dilaksanakan oleh Pertubuhan IRM serta kesedaran terhadap tanggungjawab sosial yang perlu diberi perhatian, Radio Klasik Nasional akan terlibat secara langsung dalam menjayakan misi program selaku radio rasmi dengan membuat hebahan. Program murni ini juga turut mendapat sokongan dan perhatian daripada Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur.

Lebih istimewa, program ini juga turut memperlihatkan sokongan dan keprihatinan daripada syarikat korporat. Syarikat Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. telah menjadi syarikat korporat pertama yang tampil dalam menyertai program 'Kasih Ramadan 2011' dengan membuat sumbangan sebanyak 80 pek makanan kepada golongan yang memerlukan.

Sementara itu, bagi mengumpul dana untuk menjayakan program ini, turut diadakan adalah 'Karnival Jualan Amal Barangan Terpakai.' Usaha murni ini telah mendapat sokongan dan kerjasama daripada Jabatan Muzium Malaysia yang begitu prihatin terhadap usaha-usaha kemanusiaan yang dijalankan oleh Pertubuhan IRM.

Pihak Jabatan Muzium Malaysia telah membantu pihak Pertubuhan IRM dalam mengumpulkan barangan terpakai hasil daripada sumbangan orang ramai. Aktiviti pengumpulan barangan terpakai ini telah berjalan lebih kurang tiga minggu dengan pembukaan pusat pengumpulan barang di Muzium Negara.

Selain itu, bagi menyokong usaha murni ini pihak Jabatan Muzium Malaysia juga turut menyediakan charity-drive dengan menempatkan tabung derma di pintu masuk muzium di sepanjang bulan Ramadan bagi memudahkan pengunjungnya membuat sumbangan sambil beramal.

Presiden Pertubuhan IRM, Zawahir Abdullah berkata, melalui kempen ini juga orang ramai boleh menyumbang sebanyak RM50 bagi satu pek sumbangan lengkap makanan keperluan harian untuk sebuah keluarga.

Pek barangan tersebut yang mengandungi makanan keperluan harian asas seperti beras, gula, garam, susu, tepung, minyak, sardin, kurma dan lain-lain ini diharapkan akan dapat membantu meringankan beban keluarga penerima.

"Untuk tahun ini sahaja , pihak Pertubuhan IRM telah mensasarkan untuk mengagihkan pek makanan tersebut kepada 5,000 penerima bantuan dari seluruh Malaysia yang terdiri daripada golongan fakir miskin, ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim dan mereka yang telah dikenalpasti layak menerima mengikut kriteria yang telah ditetapkan.

"Kami akan lakukan yang terbaik dalam menyalurkan sumbangan tersebut dan hanya mereka yang benar-benar layak saja yang akan menerima manfaat daripada program ini tanpa mengira latar belakang politik mereka.

"Program ini juga akan turut berkunjung ke negeri-negeri lain seperti Kedah, Kelantan, Perak, Johor dan Pahang bagi memenuhi tanggungjawab pengagihan pek makanan ini kepada mereka yang benar-benar memerlukan," katanya yang sangat berterima kasih kepada rakan sukarelawan Pertubuhan IRM yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini.

Di samping itu, Zawahir turut menyeru agar lebih banyak lagi syarikat korporat tampil menjayakan program 'Kasih Ramadan 2011'.

Sebarang bantuan yang ingin dihulurkan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia (Islamic Relief Association Malaysia-IRM) iaitu www.irmalaysia.org.my atau menyumbang terus ke Akaun Maybank No: 564070002424 / CIMB No: 12470000477108. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai usaha kemanusiaan, pertubuhan ini boleh dihubungi di talian 03-8948 5939/019-397 3558 (Farouq Zauji).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: