MESKIPUN kurang digeruni berbanding penyakit utama lain, penghidap hepatitis turut berdepan risiko yang sama iaitu maut.
Bukan sahaja disebabkan virus ‘jahat’, bahkan pesakit boleh dijangkiti jika mengambil ubat secara salah.
Terdapat lima jenis virus hepatitis iaitu hepatitis A, B, C, D dan E. Namun, hanya hepatitis B dan C yang boleh bertukar kronik yang memungkinkan kerosakan teruk pada hati.
Dianggarkan seorang daripada 12 penduduk dunia dijangkiti hepatitis B dan C dengan kematian sejuta orang setiap tahun.
Menurut Perunding Hepatologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Rosmawati Mohamed, virus hepatitis terutamanya hepatitis B dan C kronik telah menyerang sebanyak 2.5 juta penduduk negara ini dengan suku daripada mereka berdepan risiko kerosakan hati yang serius.
Virus
Jelasnya, biarpun kematian akibat penyakit itu menyamai jumlah korban penyakit kanser, malaria serta HIV dan AIDS, kesedaran mengenainya masih kurang dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Virus hepatitis boleh mengancam nyawa. Ia bertambah serius apabila sebahagian besar masyarakat memandang remeh perkara itu.
“Kadangkala ada yang tidak sedar yang mereka sudah dijangkiti ataupun membawa virus tersebut. Ia memang berbahaya kerana boleh mengakibatkan kanser hati,” katanya.
Disebabkan kurang kesedaran itu, Rosmawati bersama pakar perubatan lain di Asia membentuk sebuah badan yang dikenali sebagai Gabungan Membasmi Virus Hepatitis Asia Pasifik (CEVHAP).
Beliau berkata, penyakit itu tidak menunjukkan simptom yang jelas sehingga ramai yang tidak menyedari mereka telah mendapat jangkitan.
“Tiada cara lain melainkan orang ramai sendiri berjumpa doktor untuk mengesan penyakit itu.
“Kepada orang dewasa, pergilah menjalani ujian dan mengambil vaksin hepatitis,” katanya lagi.
Ujarnya, hepatitis B boleh dikesan melalui ujian darah walaupun mereka tidak menunjukkan simptom penyakit itu.
“Namun begitu, setelah simptom itu muncul, pesakit sudah mencapai tahap kronik. Simptom itu merangkumi demam, kelesuan, kesakitan pada abdomen dan penyakit kuning,” katanya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada sambutan Hari Hepatitis Sedunia baru-baru ini menjelaskan bahawa virus hepatitis B dan radang hati adalah antara penyebab utama kanser hati di negara ini.
Lelaki
“Kanser ini banyak menyerang golongan lelaki berbanding wanita,” jelas Tiong Lai dalam blog peribadinya.
Tambah Tiong Lai, hepatitis B lebih mudah merebak berbanding HIV kerana ia adalah 50 hingga 100 kali lebih mudah berjangkit berbanding virus itu. Beliau menyarankan orang ramai agar sentiasa menjaga kebersihan.
Ini kerana virus hepatitis mudah merebak melalui air liur, air mani dan bendalir vagina.
Virus hepatitis boleh merebak melalui hubungan seks yang tidak selamat dengan seseorang yang dijangkiti virus itu.
“Virus itu mungkin datang daripada pasangan anda sendiri, berkongsi pisau cukur dan berus gigi ataupun ketika kelahiran bayi,” jelas Tiong Lai.
Menteri itu turut berkongsi pengalamannya iaitu bagaimana seorang sahabat isterinya maut akibat penyakit itu.
“Suami kawan isteri saya mengalami rasa sakit dan mendapati satu benjol di bahagian atas abdomennya.
“Malangnya, apabila mereka menemui doktor, kanser itu telah berada pada tahap teruk dan tidak boleh dirawat melalui pembedahan.
“Si isteri tidak menyangka bahawa selama ini suaminya itu menghidap hepatitis. Jika tidak, mungkin suaminya boleh dirawat sebelum merebak menjadi kanser.
“Kita semua harus belajar daripada kisah tragis ini,” ujar Tiong Lai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: