Sunday, August 14, 2011

Rumah berhias cermin


IDEA meletakkan cermin di dinding tumpu seperti di ruang makan ternyata berjaya mencipta kelainan.


LANGKAH yang diatur memasuki kediaman milik Nurul Haniz Jennifer Idris, 36, ini terhenti sebaik sahaja kaki melepasi muka pintu.

Sedang mulut ramah bertanya khabar, mata pula asyik memerhatikan persekitaran rumah yang tampak lebih luas daripada saiz yang sepatutnya.

“Saya sukakan hiasan bingkai cermin.

“Kalau dikira ada 35 bingkai cermin di rumah ini. Mungkin itu yang menyebabkan rumah ini nampak lebih luas,” ujar ibu kepada empat anak lelaki ini.

Dia yang mesra dengan panggilan Jennifer menambah, bingkai cermin sengaja digunakan sebagai identiti kediamannya bagi menggantikan bingkai gambar yang dianggap gaya biasa.

“Ia adalah alternatif terbaik untuk menjadikan rumah nampak lebih moden sekali gus memberi ilusi luas,” katanya yang juga jurusolek sambilan.

Tidak hairanlah, tetamu yang berkunjung ke kediaman ini dapat melihat pelbagai jenis bingkai cermin yang melekap kemas di dinding.

Bukan sekadar untuk membelek tubuh, fungsinya tidak terhenti setakat itu. Sebaliknya, ia turut dijadikan dinding tumpu yang menjadi titik fokal di beberapa bahagian rumah, antaranya ruang tamu, ruang makan dan kamar tidur.


BINGKAI cermin sengaja digunakan Jennifer sebagai identiti kediaman bagi menggantikan bingkai gambar yang dianggap gaya biasa.


Jahit sendiri

Terletak di Taman Kosas, Ampang, sentuhan peribadi anak kelahiran Melaka yang memilih konsep rekaan kontemporari gaya Eropah ini berjaya diserlahkan melalui pemilihan perabot dan aksesori daripada warna merah hati dan kuning air.

Latar dinding yang bercat cerah daripada skim warna rumah O’keefe Gray dan Jefferson tidak ditinggalkan polos tetapi sebaliknya dihias dengan bingkai jam yang diselangselikan dengan bingkai berisi bunga mawar.

Selain bingkai kaca, Jennifer turut mengunakan lilin dan kuntuman mawar sebagai hiasan.

Sementara itu, hamparan karpet tebal yang menutupi marmar kecoklatan menjadi pelengkap hiasan di ruang utama tersebut.

Mempunyai empat kamar tidur yang dilengkapi dengan bilik mandi, ruang privasi itu turut diberi sentuhan peribadi tersendiri.

Apa yang pasti, ada bingkai cermin lebar dan lukisan dinding kaca menjadi aksesori wajib yang turut menghuni kamar tersebut.

“Saya tidak gunakan barang import untuk memenuhi ruang tamu serta bilik tidur sebaliknya hampir 90 peratus hiasan dekorasi di rumah ini dihasilkan daripada barang kitar semula,” katanya.

Mula mendiami rumah tersebut selama setahun setengah, dia dan suami membelanjakan RM250,000 untuk mengubahsuai beberapa bahagian rumah selain membeli perabot serta aksesori hiasan mengikut cita rasa mereka.

Beralih ke ruang makan yang terletak di bahagian yang mengunjur ke belakang rumah, terdapat sebuah meja kayu yang dibeli dari Melaka.

Set yang dilengkapi kerusi empuk berwarna krim itu dipadankan dengan langsir siang rona putih dan langsir malam daripada rona coklat.

Dari ruang makan tersebut, jelas kelihatan ruang dapur yang dihias dengan warna cerah. Baik lapisan marmar, kabinet, perkakas elektrik dan aksesori semuanya hadir warna putih.

Di sebelah ruangan itu, ditempatkan sebuah bilik yang telah diubahsuai untuk pembantu rumah.

Selain gemar menghias rumah, Jennifer juga memiliki hobi menjahit.

“Saya juga suka menjahit ropol dan riben. Seperti ropol warna krim yang ditampal menghiasi papan lapis ini, saya sendiri yang menyiapkannya,” ujar isteri kepada seorang jurutera ini lagi.

Menginjak ke lantai atas kediaman seluas 278 meter persegi ini, terdapat ruang menonton yang menjadi lokasi santai Jennifer bersama keluarganya.


BILIK tidur utama dengan gaya Eropah diserlahkan melalui pemilihan cadar dan permaidani warna merah hati dan kuning air.


Putih

Selain katil siang dan kerusi solo, ruang ini turut dihias dengan bingkai lukisan pokok kaca daripada rona putih hitam yang diimport dari Bali, Indonesia.

Sekalipun memberi spektrum warna kontra kepada dinding tumpu yang dicat merah jambu batu yang terletak bertentangan, Jennifer akui, dia mudah mendapat ketenangan tatkala berehat di situ.

“Walaupun konsep hiasan rumah ala Eropah, ia hanya untuk ruang utama di tingkat bawah sahaja.

“Di tingkat atas, saya beri kebebasan kepada anak-anak untuk memilih sendiri warna cat kegemaran mereka untuk bilik tidur.

“Susun aturnya juga lebih mudah dan santai,” katanya.

Memasuki kedua-dua bilik milik anak bujangnya, masing-masing memilih rona firus dan putih sebagai latar dinding utama.

Di salah satu bilik, Jennifer sempat memberi sentuhan peribadi melalui lukisan motif bunga di atas dinding bercat firus.

Untuk bilik milik seorang lagi anaknya pula, ia diserikan dengan lima bingkai yang dihiasi bunga mawar sesuai dengan konsep minimalis yang dimahukan anaknya.

Ditanya tentang bakat kreatifnya, Jennifer akui dia melakukannya dari hati.

“Dalam menghias rumah, saya banyak merujuk pada majalah-majalah dekorasi dari dalam dan luar negara.

“Kadang-kadang bila timbul idea saya gabungkannya dengan apa yang pernah dilihat dalam majalah.

“Walaupun tidak sebaik yang dihasilkan oleh profesional, suami dan anak-anak puas hati. Itu sudah cukup buat saya,” ujarnya.

Memasuki kamar utama milik wanita manis ini, dia memilih warna putih dengan alasan ia nampak bersih selain mudah disuaipadankan dengan apa juga warna.

“Saya lebih gemar hias kamar tidur ini dengan warna putih. Letak sahaja apa juga warna, ia pasti menyerlah,” ujarnya yang mengecat sendiri kediamannya.

Sebagai destinasi istirehat, Jennifer tidak kisah membeli katil kayu berharga mencecah RM5,000 demi keselesaan tidurnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: