Thursday, August 4, 2011

Vaio Z bagaikan komputer desktop


MODEL Sony Z dimulakan sejak tahun 2000 dan sentiasa dipertingkatkan teknologinya oleh Sony setiap tahun.


VAIO bukanlah suatu nama yang asing dalam industri teknologi maklumat. Umum mengetahui kualiti yang ditawarkan oleh komputer riba keluaran Sony itu yang membezakannya dengan komputer riba keluaran syarikat lain.

Ia juga terkenal dengan saiznya yang kecil, mudah untuk dibawa ke mana-mana tetapi pada masa yang sama menawarkan spesifikasi setara atau adakalanya lebih daripada sebuah komputer desktop biasa.

Terbaharu, Sony memperkenalkan model Vaio Z keluaran 2011, komputer ultraportable yang dilengkapi dengan ciri pengkomputeran terkini.

Jika anda seorang peminat Sony Vaio, anda mungkin mengetahui yang model Z itu telah wujud sejak tahun 2000.

Sama seperti model-model yang lain, saban tahun Sony mempertingkatkan model Vaio Z mereka bagi memastikan pengguna sentiasa dapat memanfaatkan teknologi terkini yang terdapat di pasaran.

Untuk keluaran tahun ini, Sony berjaya memuatkan unit pemprosesan (CPU) berkelajuan sehingga 2.7 gigahertz (GH)z i7-2620M yang pastinya mampu melaksanakan tugasan-tugasan dilakukan oleh komputer desktop tanpa sebarang masalah.


NIPIS adalah antara kelebihan yang ada pada Viao Z berbanding model-model lain.


Dari sudut grafik pula, Vaio Z 2011 dilengkapi unit pemprosesan grafik AMD Radeon HD 6650M yang disokong oleh memori video berkapasiti satu gigabait (GB) mampu menghasilkan grafik berkualiti dengan resolusi 1,920 x 1,080 piksel selain sokongan HDMI, VGA, USB dan slot untuk memuatkan pemacu cakera optikal.

Pendek kata, hampir kesemua ciri sokongan asas sebuah komputer terdapat pada Vaio Z ini.

Dengan berat hanya mencecah 1.2 kilogram (kg), Vaio Z 2011 boleh diklasifikasi antara komputer riba yang paling ringan ditawarkan di pasaran dan berjaya menewaskan pesaingnya.

Satu-satunya kekurangan yang barangkali terdapat pada komputer itu adalah sekiranya unit pemprosesan berkelajuan tinggi seperti 2.7GHz digunakan, peningkatan suhu yang ketara dapat dirasai pada komputer ini.

Ini mungkin berlaku akibat reka bentuk badannya yang padat dengan komponen. Walau bagaimanapun, isu itu boleh ditangani dengan menggunakan pad penyejuk yang mampu mengalirkan udara panas daripada komputer itu dengan pantas.


PENINGKATAN suhu yang agak ketara ketika penggunaan secara intensif mungkin antara kekurangan yang perlu diberi perhatian oleh Sony.


Sungguhpun bersaiz kecil dan berprestasi tinggi, Sony telah berjaya mengatasi isu bekalan kuasa. Hasil ujian bateri Vaio Z 2011 berjaya membekalkan kuasa sehingga 8 jam pada penggunaan yang sederhana, manakala 4 jam untuk penggunaan yang agak intensif.

Ditawarkan dalam tiga versi - 2.4GHz i5-2410, 2.6GHz i5-2420 dan 2.7GHz i-7-2620, Vaio Z keluaran 2011 itu amat sesuai bagi golongan yang memerlukan kuasa maksimum pengkomputeran tetapi pada masa yang sama mobiliti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: